Tidak keterlaluan, barangkali ini pertama kali saya turut diraikan secara meriah bersama kawan-kawan lain dalam majlis ‘Hari Guru’ di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah. Selama ini saya hanya sekadar pernah menerima ucapan tahniah dan selamat sempena hari guru.

Maahad Tahfiz suatu hari nanti apabila saya tiada lagi berada di sini akan menjadi kenangan terindah saya dan kami semuanya, insya Allah. Manakan tidak, para pelajarnya yang sangat memahami dan mudah diatur, apatah lagi dunia tilawah dan menghafaz al-Quran yang kedengaran setiap hari. Kini para warganya semakin meningkat dengan siswa siswi semuanya sudah berjumlah 42 orang, jumlah teramai dalam sejarah maahad ini.

Acara pada hari berkenaan, kami berpanas dan berpeluh, mengikut arahan para pelajar kami sendiri, untuk menyertai acara-acara yang telah ditentukan. Saya yakin acara berkenaan bukan saja-saja tetapi ada tujuan dan objektif tertentu walaupun sebahagiannya kelihatan keanak-anakan. Tidak mengapalah, sesekali mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak dan remaja.

Oleh kerana majlis ini untuk kami, maka foto-foto kali ini majoritinya saya dedikasikan kepada rakan-rakan pensyarah Maahad. Walaubagaimanapun setinggi penghargaan kami buat siswa siswi yang mengendalikan sepenuhnya program ini sehingga ke akhirnya. Kami betul-betul kena ‘ulun’.