Kuliah Sirah secara bulanan bersama Syukbah Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu berjalan lancar sebagaimana yang dijadualkan sabtu lepas. Kehadiran kelihatan lebih ramai berbanding bulan lalu. Saya sangat positif kehadiran mereka dan satu sisi lain mencabar diri saya untuk persediaan yang lebih rapi.

Sebenarnya, saya jarang mengajar atas subjek Sirah Nabawi kecuali sekali ketika mengajar di Maahad Tahfiz sekitar tahun 2004-2005 menggunakan kitab ar-Rahiqul Makhtum yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. ‘Keberanian’ saya menerima pelawaan mereka khususnya Ybhg Dr Hajjah Suzain Datuk Suhaimi  lebih kepada supaya saya lebih banyak membaca buku-buku rujukan dan mempelbagaikan kebolehan dalam mengisi kuliah atau ceramah agama.

Kalau bulan lepas kuliah muqaddimah itu lebih kepada memperkenalkan tujuan dan keperluan mempelajari sirah nabawi, kaitan sirah nabawi dengan aqidah islamiyah, serta salsilah daripada Nabi Adam AS sehingga Nabi Muhammad SAW. Pertemuan kali ini pula membincangkan tentang beberapa kisah Nabi Adam AS seperti kejadiannya, tujuan baginda dijadikan, penciptaan Hawa, godaan iblis sehinggalah Nabi Adam dan Hawa diturunkan ke bumi serta kisah anak mereka Qabil dan Habil.

Sedikit masa di hujung kuliah saya mempersilakan satu kumpulan kalangan mereka untuk membentangkan berkenaan Nabi Nuh AS. Sebenarnya dalam kuliah siri 1 pada bulan lepas, ada tugasan untuk mereka membentangkan 5 Rasul Ulul Azmi. Kumpulan yang membentangkan kisah Nabi Nuh AS ini nampaknya melakukan kerja rumah mereka dengan baik, pembentangan lengkap dengan dalil ayat al-Quran daripada pelbagai surah.

Semoga bertemu lagi pada bulan hadapan.