Archive for 21 Mei 2012


Menurut keputusan perbincangan AJK Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah  baru-baru ini, mesyuarat masih lagi membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai kelas pengubatan Islam (KPI) anjuran Syukbah Dakwah.

Pada pagi semalam, berlangsung taklimat kepada mereka yang hadir yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim dan Ustaz Nik Anwar Zakaria. Taklimat yang berlangsung di Bilik Kuliah 2 Masjid Negeri Sabah, dengan menyentuh objektif dan suasana masyarakat semasa. Berdasarkan pengalaman, ramai orang yang berjumpa untuk meminta rawatan khususnya berkaitan gangguan makhluk halus.

Ia bukan semata-mata jin dan gangguan makhluk halus sahaja, bahkan ia mempunyai kaitan yang sangat hampir dengan soal aqidah dan keimanan kepada Allah SWT. Bayangkan Rasulullah SAW pernah menyebutkan tentang dosa-dosa besar dan meletakkan sihir sebagai dosa besar yang kedua selepas syirik. Pengubatan Islam ini juga sebenarnya sangat berpotensi dengan peluang dakwah kepada masyarakat, jadi kepada pembaca blog ini di sekitar Kota Kinabalu, saya mengalu-alukan kebersamaan kalian dalam kuliah ini.

Kelas Pengubatan Islam (menangani makhluk halus) anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah secara bersiri akan bermula pada 27 mei 2012, berterusan selama 10 minggu, setiap ahad antara jam 8 pagi sehingga 12 tengahari di bilik kuliah Masjid Negeri Sabah. Jika berminat boleh daftar pada 27 mei. Jumlah yuran pelajar baru ialah RM300 (kuliah + amali = 30 jam dalam 10 sesi). Pendaftaran RM50. Baki RM250 bayar secara ansuran. Pembimbing Ustaz Nik Anwar Ibn Zakaria. Pertanyaan sila hubungi Ustaz Amir Hussin – 013-8366475 atau Hj Pozi Awang – 019-8025254. Terima kasih. Sebarkan.

Kuliah Sirah secara bulanan bersama Syukbah Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu berjalan lancar sebagaimana yang dijadualkan sabtu lepas. Kehadiran kelihatan lebih ramai berbanding bulan lalu. Saya sangat positif kehadiran mereka dan satu sisi lain mencabar diri saya untuk persediaan yang lebih rapi.

Sebenarnya, saya jarang mengajar atas subjek Sirah Nabawi kecuali sekali ketika mengajar di Maahad Tahfiz sekitar tahun 2004-2005 menggunakan kitab ar-Rahiqul Makhtum yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. ‘Keberanian’ saya menerima pelawaan mereka khususnya Ybhg Dr Hajjah Suzain Datuk Suhaimi  lebih kepada supaya saya lebih banyak membaca buku-buku rujukan dan mempelbagaikan kebolehan dalam mengisi kuliah atau ceramah agama.

Kalau bulan lepas kuliah muqaddimah itu lebih kepada memperkenalkan tujuan dan keperluan mempelajari sirah nabawi, kaitan sirah nabawi dengan aqidah islamiyah, serta salsilah daripada Nabi Adam AS sehingga Nabi Muhammad SAW. Pertemuan kali ini pula membincangkan tentang beberapa kisah Nabi Adam AS seperti kejadiannya, tujuan baginda dijadikan, penciptaan Hawa, godaan iblis sehinggalah Nabi Adam dan Hawa diturunkan ke bumi serta kisah anak mereka Qabil dan Habil.

Sedikit masa di hujung kuliah saya mempersilakan satu kumpulan kalangan mereka untuk membentangkan berkenaan Nabi Nuh AS. Sebenarnya dalam kuliah siri 1 pada bulan lepas, ada tugasan untuk mereka membentangkan 5 Rasul Ulul Azmi. Kumpulan yang membentangkan kisah Nabi Nuh AS ini nampaknya melakukan kerja rumah mereka dengan baik, pembentangan lengkap dengan dalil ayat al-Quran daripada pelbagai surah.

Semoga bertemu lagi pada bulan hadapan.

%d bloggers like this: