Kredi foto : FB Haji Razali Kadir.

Ini kesempatan sulung saya hadir mengisi slot tazkirah sempena Hari Guru di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu, walaupun saya difahamkan pejabat ini setiap bulan mengadakan tazkirah jumaat dengan menjemput para pendakwah di pejabat mereka.

Saya juga pernah dijemput beberapa kali oleh sahabat saya Ustaz Arbaen, tetapi majlis tazkirah diadakan sebelum jam 8 pagi menyebabkan saya bimbang untuk memberikan komitmen. Maklumlah waktu itulah jalanraya di Kota Kinabalu sangat sesak dengan kenderaan masuk ke pusat bandaraya.

Kali ini undangan majlisnya bermula sekitar jam 8.00 ke 8.30 pagi dan terdahulu sebelum itu mereka mengadakan bacaan yasin dan doa selamat sempena sambutan Hari Guru. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pegawai Pelajaran Daerah Kota Kinabalu Tuan Haji Bad Hamid Haji Musli, pegawai dan warga PPDKK, para pengetua beragama Islam daerah Kota Kinabalu dan wakil Majlis Guru Besar Kota Kinabalu.

Dalam kesempatan ini, saya mengongsikan kepada mereka beberapa perkara antaranya hadith-hadith motivasi tentang ganjaran mereka yang mengajar perkara kebaikan kepada orang lain, beberapa adab mengajar dan belajar yang banyak ditinggalkan, dan beberapa perkara lain. Kepada tuan PPD dan semua yang hadir, terima kasih atas kesempatan yang diberikan. (Saya suka cenderamata sajadah hijau yang mereka hadiahkan).