Archive for 20 Mei 2012


Kredi foto : FB Haji Razali Kadir.

Ini kesempatan sulung saya hadir mengisi slot tazkirah sempena Hari Guru di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu, walaupun saya difahamkan pejabat ini setiap bulan mengadakan tazkirah jumaat dengan menjemput para pendakwah di pejabat mereka.

Saya juga pernah dijemput beberapa kali oleh sahabat saya Ustaz Arbaen, tetapi majlis tazkirah diadakan sebelum jam 8 pagi menyebabkan saya bimbang untuk memberikan komitmen. Maklumlah waktu itulah jalanraya di Kota Kinabalu sangat sesak dengan kenderaan masuk ke pusat bandaraya.

Kali ini undangan majlisnya bermula sekitar jam 8.00 ke 8.30 pagi dan terdahulu sebelum itu mereka mengadakan bacaan yasin dan doa selamat sempena sambutan Hari Guru. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pegawai Pelajaran Daerah Kota Kinabalu Tuan Haji Bad Hamid Haji Musli, pegawai dan warga PPDKK, para pengetua beragama Islam daerah Kota Kinabalu dan wakil Majlis Guru Besar Kota Kinabalu.

Dalam kesempatan ini, saya mengongsikan kepada mereka beberapa perkara antaranya hadith-hadith motivasi tentang ganjaran mereka yang mengajar perkara kebaikan kepada orang lain, beberapa adab mengajar dan belajar yang banyak ditinggalkan, dan beberapa perkara lain. Kepada tuan PPD dan semua yang hadir, terima kasih atas kesempatan yang diberikan. (Saya suka cenderamata sajadah hijau yang mereka hadiahkan).

Khatib : Ustaz Syahrul Husni

Lokasi : Masjid Nur Islam, IPK Kepayan

Islam  mengajar  umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar pengorbanannya. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.

Kepayahan dan pengorbanan ibu bapa dalam mendidik dan membesar anak-anaknya sekurang-kurangnya dalam tiga keadaan, pertama: ketika mengandung, kedua: Saat melahirkan dan ketiga: ketika kita masih kecil sehingga dewasa. Marilah kita merenung kembali wajah terindah ibu bapa  kita, mungkin ada di antara kita ini  ibu bapanya telah pergi buat selama-lamanya dan mungkin ada yang masih lagi bersama kita di dunia. Cuba kita hayati seketika mungkin pada saat dan ketika ini wajahnya telah kedut ditelan usia, telah lesu kerana keletihan, namun diwajahnya tetap tersimpul senyuman yang mengambarkan kasih sayang yang terpahat dihati  mereka kepada kita.

Ingatkah kita semasa kecil dulu apa yang telah dilakukan oleh kedua ibu bapa, merekalah yang memberi susu, menyuap makanan, memandikan, memakai pakaian, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala kotoran di badan,  menghantar kita ke sekolah demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di kemudian hari. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kasih ibu bapa kepada anak-anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang-malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan dari anak kerana menginsafi anak itu adalah lahir dari kandungannya yang dijaga selama sembilan bulan.

Ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan  dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24 :

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.

%d bloggers like this: