60 peserta kalangan ustaz ustazah menghadiri Muzakarah Hakim sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah yang diadakan pada pagi semalam di Bilik Hikmah 1 Wisma MUIS. Program ini sebenarnya berobjektif untuk meningkatkan kefahaman dan kualiti penghakiman tilawah bagi para peserta yang menjadi panel hakim dalam majlis-majlis tilawah al-Quran pelbagai peringkat.

Dalam majlis tilawah al-Quran, ada empat bidang yang dihakimi iaitu tajwid (40 markah), fasohah (20 markah), tarannum (25 markah) dan suara (15 markah). Para pembimbing yang merupakan hakim tilawah di peringkat kebangsaan menegaskan perkara-perkara yang perlu dinilai oleh para hakim ketika menghakimi tilawah seseorang peserta.

Antara perkara yang saya sukai dalam majlis ini apabila melihat para ilmuan dan ustaz yang sudah berkecimpung lama turut hadir menambah ilmu dan bertanya dalam sesi soal jawab. Antaranya Ustaz Haji Ghazali Sulaiman, Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ustaz Parmin Sahlan dan lain-lain. Kehadiran dan komitmen mereka sebenarnya memberi semangat kepada ustaz-ustaz muda seperti kami untuk mendalami ilmu penghakiman tilawah al-Quran.

Terima kasih kepada urus setia JHEAINS yang menyenaraikan nama saya dalam program ilmiah dan barakah ini.