Sekali lagi saya mendapat pengalaman berharga apabila diundang hadir dan mengisi slot ‘Tilawah Interaktif’ di Sabah FM sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah yang diadakan pada 17 dan 18 Mei. Kalau tidak salah ini ┬ápengalaman kali ketiga untuk tilawah interaktif selepas 2011 dan 2010. Tahun 2010 adalah sempena MTQ Kebangsaan yang diadakan di Kota Kinabalu.

Kalau mengikut perbincangan asal, Sabah FM menyediakan 10 malam berturut-turut untuk mengadakan program tilawah interaktif ini dengan tempoh masa 30 minit setiap kali ke udara. Tiga malam pertama dibimbing oleh Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok dan saya pula sepatutnya mengendalikan hanya 3 malam kedua dan baki seterusnya dikendalikan oleh Ustaz Zulfauzi Ag Besar.

Walaubagaimanapun, setelah 3 malam giliran saya selesai, saya terpaksa menyambung lagi pada malam ke-7 dan ke-9 dan mengabaikan malam ke-8 dan malam ke-10. Rupanya malam ke-8 itu ada siaran langsung bola sepak dari Stadium Likas sementara malam terakhir adalah malam ini sudah bermula MTQ peringkat negeri walaupun tiada siaran langsung melalui Sabah FM.

Tentang kaedah program tilawah interaktif ini, ia dimulakan dengan saya membaca beberapa ayat al-Quran yang kemudiannya saya huraikan secara ringkas makna dan kesimpulannya, kemudian kami akan bermula menerima panggilan daripada pendengar. Setelah pemanggil selesai memperdengarkan bacaannya, barulah saya mengulas kesilapan-kesilapan yang berlaku sekiranya ada.

Dengan sokongan yang baik daripada para pemanggil, saya mengharapkan pihak bertanggungjawab iaitu JHEAINS dan Sabah FM akan memikirkan rancangan ini dapat diteruskan secara mingguan walaupun diluar musim Majlis Tilawah al-Quran. Ketika berada di konti atau di studio, saya melihat lampu telefon kerapkali berkelip untuk para pemanggil menghubungi studio walaupun ketika itu program baru bermula, sedang iklan atau program baru berakhir.

Harap-harap program ini boleh bermula apabila konti Sabah FM berpindah sepenuhnya ke kompleks bersepadu mereka di Jalan Lintas Kepayan.

FFoto lama RTM Sabah..