Sepanjang hari menerima ucapan selamat hari guru daripada pelbagai pihak rakan-rakan ahli masjid, pelajar sekolah dan maahad dan juga rakan-rakan yang bergelar guru juga. Kalau diri ini mempunyai sedikit jasa sehingga ramai yang mengucapkan selamat dan mengutus doa, jika ada, itu adalah hasil keberkatan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru terdahulu sejak zaman kanak-kanak hinggalah sekarang.

Ibu bapa adalah guru terbaik mendidik tentang kehidupan, walaupun ibu tidak tahu membaca dialah mendidik dan mentarbiah diri sebagai seorang anak kampung yang tidak mahu membiarkan anaknya hidup tanpa ilmu pengetahuan. Bapa yang memang profesionnya seorang guru, sering memberikan kerja-kerja dan latihan di buku saat saya bersembunyi di balik pintu kerana tidak mahu ke sekolah. Beliau melatih dan sering membawa saya ke masjid, sehingga akhirnya kini saya menjadi pencinta masjid.

Saya juga terkenangkan guru tadika saya yang pertama bernama Cikgu Salina, entah di mana dia sekarang dan guru kelas darjah satu Puan Norsiah Saman. Apabila masuk sekolah menengah, antara guru yang memberi kesan dalam kehidupan saya sehingga kini ialah Ustaz Adam Abdul Hai sehingga Allah mentakdirkan saya menceburi dunia tahfiz sepertinya juga.

Ketika di Maahad, guru yang sangat mempengaruhi ilmu tajwid ialah Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi sementara yang mempengaruhi minat dan kecintaan saya dalam bidang ilmu fikah, tauhid dan hadith ialah Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim. Di Mesir, saya akrab dengan Shaikh Muhammad Abdun Nabiy sehingga saya khatam talaqqi al-Quran dengannya.

Apabila terjun dalam masyarakat, ilmu-ilmu para ulama yang mengesankan saya ialah Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus dan Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari, Tuan Guru Dr Haron Din selain Ustaz Haji Muchlish sendiri yang menjadi rujukan saya. Semoga guru-guru saya sama ada yang disebut atau tidak, mudah-mudahan dilimpahi rahmat dan pahala yang tidak putus-putus daripada Allah SWT. Tidak ketinggalan semua guru yang bergelar pensyarah, cikgu, ustaz ustazah, tuan-tuan guru, para masyaikh, terima kasih semuanya.