Program Kembara Dakwah Pengubatan Islam anjuran Darussyifa Sabah dan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Urus Setia Sabah dengan kerjasama Masjid Pg Hashim Pekan Sipitang ini sebenarnya sudah diatur sejak lebih sebulan lalu. Saya diamanahkan menjadi orang tengahnya yang berhubung dengan pihak tuan rumah iaitu Tuan Imam Haji Raffee Haji Mohd Salleh selaku imam daerah Sipitang.

Alhamdulillah, rombongan kami kali ini agak besar dengan 9 buah kenderaan bertolak dengan membawa keluarga masing-masing. Rombongan diketuai oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim dan turut bersama ialah Ustaz Nazri Yaakob, Ustaz Dr Nor Azamuddin Umar, Ustaz Ku Azam, Tuan Haji Pozi Awang, Hamran Jawan, Chef Abdullah Ahmad, Ustaz Hamdan dan Ustaz Osman bertolak pada petang sabtu. Sementara Ustaz Musally Moksin, Peguam Hamid Ismail dan saya   bertolak pada awal pagi ahad.

Pada malam minggu sebenarnya ada ceramah di tiga buah masjid, iaitu Masjid Pekan Sipitang bersama Ustaz Haji Muchlish, Masjid Ulu Sipitang bersama Ustaz Nazri Yaakob dan Masjid Kg Luagan bersama Ustaz Dr Nor Azamuddin Umar. Khabarnya sambutan yang sangat baik diterima dengan kehadiran penduduk kampung ke masjid-masjid berkenaan terutamanya Ustaz Dr Azam.

RAWATAN PAGI AHAD

Program bermula dengan sesi pendaftaran sekitar jam 8.30 pagi, dan kami melihat penduduk Sipitang datang satu demi satu mendaftar dan ia tidak putus-putus sehingga waktu zuhur. Ustaz Haji Muchlish memimpin bacaan surah yasin dan doa sebelum sesi rawatan dimulakan.

Dua bilik digunakan di sayap kanan dan kiri untuk sesi rawatan lelaki dan perempuan. Perawat perempuan hanya tiga orang iaitu Ustazah Hajjah Elfy, Hajjah Nora dan Ustazah Aisyah. Ia dibantu oleh Sdr Hamid, Hamran dan saya kerana pesakit kalangan wanita lebih ramai berbanding lelaki. Sehingga sesi rawatan berakhir selepas zuhur, rekod jumlah pesakit ialah 92 orang, walaupun sebenarnya ada lagi beberapa orang yang tidak sempat mendaftar.

Kami mendapat respon yang sangat baik dalam kunjungan ini, apatah lagi beberapa pesakit terkejut apabila rawatan kami dilakukan secara percuma, tiada bayaran walaupun sesen. Kami turut mendengar aduan dan cerita orang-orang kampung yang dikenakan bayaran ratusan ringgit untuk mendapatkan air yang sudah diruqyah atau ditawar.

Semoga kerja dakwah dan amal yang sedikit ini ada ganjarannya di sisi Allah SWT dan menjadi asbab umat Islam setempat berubah ke arah yang lebih baik dalam kehidupan beragama mereka. Rombongan kami bertolak pulang ke Kota Kinabalu sekitar jam 3.00 petang, semoga dapat berkunjung lagi ke daerah ini.