Archive for 14 Mei 2012


Program Kembara Dakwah Pengubatan Islam anjuran Darussyifa Sabah dan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Urus Setia Sabah dengan kerjasama Masjid Pg Hashim Pekan Sipitang ini sebenarnya sudah diatur sejak lebih sebulan lalu. Saya diamanahkan menjadi orang tengahnya yang berhubung dengan pihak tuan rumah iaitu Tuan Imam Haji Raffee Haji Mohd Salleh selaku imam daerah Sipitang.

Alhamdulillah, rombongan kami kali ini agak besar dengan 9 buah kenderaan bertolak dengan membawa keluarga masing-masing. Rombongan diketuai oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim dan turut bersama ialah Ustaz Nazri Yaakob, Ustaz Dr Nor Azamuddin Umar, Ustaz Ku Azam, Tuan Haji Pozi Awang, Hamran Jawan, Chef Abdullah Ahmad, Ustaz Hamdan dan Ustaz Osman bertolak pada petang sabtu. Sementara Ustaz Musally Moksin, Peguam Hamid Ismail dan saya   bertolak pada awal pagi ahad.

Pada malam minggu sebenarnya ada ceramah di tiga buah masjid, iaitu Masjid Pekan Sipitang bersama Ustaz Haji Muchlish, Masjid Ulu Sipitang bersama Ustaz Nazri Yaakob dan Masjid Kg Luagan bersama Ustaz Dr Nor Azamuddin Umar. Khabarnya sambutan yang sangat baik diterima dengan kehadiran penduduk kampung ke masjid-masjid berkenaan terutamanya Ustaz Dr Azam.

RAWATAN PAGI AHAD

Program bermula dengan sesi pendaftaran sekitar jam 8.30 pagi, dan kami melihat penduduk Sipitang datang satu demi satu mendaftar dan ia tidak putus-putus sehingga waktu zuhur. Ustaz Haji Muchlish memimpin bacaan surah yasin dan doa sebelum sesi rawatan dimulakan.

Dua bilik digunakan di sayap kanan dan kiri untuk sesi rawatan lelaki dan perempuan. Perawat perempuan hanya tiga orang iaitu Ustazah Hajjah Elfy, Hajjah Nora dan Ustazah Aisyah. Ia dibantu oleh Sdr Hamid, Hamran dan saya kerana pesakit kalangan wanita lebih ramai berbanding lelaki. Sehingga sesi rawatan berakhir selepas zuhur, rekod jumlah pesakit ialah 92 orang, walaupun sebenarnya ada lagi beberapa orang yang tidak sempat mendaftar.

Kami mendapat respon yang sangat baik dalam kunjungan ini, apatah lagi beberapa pesakit terkejut apabila rawatan kami dilakukan secara percuma, tiada bayaran walaupun sesen. Kami turut mendengar aduan dan cerita orang-orang kampung yang dikenakan bayaran ratusan ringgit untuk mendapatkan air yang sudah diruqyah atau ditawar.

Semoga kerja dakwah dan amal yang sedikit ini ada ganjarannya di sisi Allah SWT dan menjadi asbab umat Islam setempat berubah ke arah yang lebih baik dalam kehidupan beragama mereka. Rombongan kami bertolak pulang ke Kota Kinabalu sekitar jam 3.00 petang, semoga dapat berkunjung lagi ke daerah ini.

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10304-pas-bina-surau-al-harakah-di-pulau-shanghai-

SANDAKAN: Cita-cita penduduk pulau Shanghai, yang terletak setengah jam perjalanan bot dari Sandakan, untuk memiliki sebuah surau dan tempat berkumpul menjadi kenyataan apabila sebuah surau didirikan dan dirasmikan hari ini. Surau ini dinamakan Al-Harakah sempena penyumbang utama untuk pembinaannya adalah datangnya dari pembaca Harakahdaily.

Ia selamat dilancarkan hari ini oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang disertai sama oleh Haji Hamzah Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah. Turut serta adalah anggota Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat yang menjadi penganjur kepada pembinaan surau ini. Lebih 150 penduduk tempatan turut sama dalam majlis pelancaran surau ini hari ini.

Majlis pelancaran surau itu dibuat melalui tandatangan ke atas plak surau itu yang disempurnakan oleh Tuan Ibrahim dengan disaksikan penduduk tempatan. 31 Disember tahun lalu Tuan Ibrahim yang memimpin ekspedisi ke pulau ini memacakkan tiang tanda janji untuk membina sebuah surau di pulau itu.

“Kita mahu surau ini menjadi pusat perpaduan penduduk di pulau ini. Pusat aktiviti, pusat kerjasama,” kata Tuan Ibrahim dalam ucapannya hari ini. Tuan Ibrahim ketika mengimbau kembali lawatan pertamanya ke sini Disember lalu berkata, apabila ditanya penduduk di sini, apa yang mereka perlukan di sini mereka berkata banyak yang tak ada di sini.

“Dari banyak yang takda, air bersih, letrik, dewan, surau, kami pilih buat surau tempat berhimpun dan berjamaah,” katanya. Selepas itu, kempen dibuat untuk mengumpul dana untuk surau ini keseluruh dunia termasuk ke Arab Saudi. Ekoran itu lebih RM60,000 berjaya dikumpul khasnya dari pembaca Harakahdaily ekoran iklan yang disiarkan dalam laman web ini.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat memberikan sumbangan khasnya pembaca Harakah kerana menjayakan projek ini. Atas dasar itu kita namakan surau ini Al-Harakah,” kata Tuan Ibrahim. Tuan Ibrahim yakin PAS dan Pakatan Rakyat akan berbuat lebih lagi untuk rakyat Sabah jika diberikan mandat untuk mentadbir negara.

“Ini tempat untuk semua orang untuk memenuhi keperluan didik agama kepada anak-anak, program motivasi, solat dan sebagainya. Kami serahlah kepada tuan-tuan semua untuk mengisi program di sini agar surau ini sentiasa hidup dengan program,” katanya. Beliau juga berkata, selepas ini surau kedua pula akan dibantu oleh PAS untuk dibina iaitu di Keningau.

“Di sana ada satu kampung yang gereja ada dua buah tetapi tidak ada satu pun surau di situ sedangkan orang Islam ramai,” katanya.

%d bloggers like this: