Archive for 11 Mei 2012


Sumber : http://tarbawi.my/index.php/en/inspirasi/isu-ummah/288-rahsia-kekuatan-umat-islam

Saudara-saudara sekalian! Umat Islam hari ini sedang menghadapi suatu masalah yang hampir sama seperti apa yang pernah berlaku di zaman Rasulullah S.A.W dahulu. Ibaratnya seorang yang berkata, “Alangkah samanya sejarah semalam dengan hari ini”. Dari hal itu, Allah Taala telah menurunkan wahyu bagi menyelesaikan masalah tersebut, seperti mana firmanNya di dalam al Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman”.

“Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (al Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Nabi Muhammad)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)” – Surah ali ‘Imran:100-101

Di dalam ayat berikutnya, Allah berfirman lagi : “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam”.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepijurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah merijelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya” – Surah ali ‘Imran:102-103

Ayat di atas diturunkan apabila “Negara Islam” yang pertama berjaya ditegakkan di Madinah al Munawwarah. Generasi Islam yang pertama ini hidup di atas perpaduan kukuh apabila Rasulullah telah berjaya menyatu-padukan golongan Muhajirin yang berhijrah dari Makkah dengan golongan Ansar yang merupakan penduduk asal Madinah memeluk Islam. Bukan sekadar itu sahaja, malah Baginda telah berjaya mendamaikan masyarakat Arab Madinah, iaitu qabilah Aus dan Khazraj yang dahulunya sering bersengketa dan berperang sesama sendiri, sehingga sebaliknya kemudian menjadi pembantu perjuangan Rasulullah yang paling setia.

Negara Islam Yang Pertama

Kewujudan Negara Islam di Madinah bukan sahaja diterima oleh masyarakat Islam malah diakui oleh penduduk Yahudi, Nasrani dan golongan-golongan yang masih belum memeluk Islam (masyarakat majmuk). Masing-masing menyatakan kesetiaan dan kesediaan untuk tunduk di bawah pemerintahan Islam. Dengan termetrinya Sahifah Madinah yang merupakan perlembagaan bertulis yang pertama di dunia, meletakkan Rasulullah sebagai ketua Negara yang mempunyai rakyat yang berbagai bangsa, agama dan adat resam.

Islam bukan sahaja berupaya menjalankan pemerintahan di kalangan umat Islam semata-mata malah berhasil mentadbir sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama, dan hal ini merupakan yang pertama berlaku di dalam sejarah dunia. Kewujudan negara bermasyarakat majmuk dan ‘adil ini menjadi impian dan khayalan ahli-ahli falsafah Romawi dan Yunani, tetapi telah menjadi suatu kenyataan di dalam sejarah umat Islam.

Negara yang ditegakkan oleh Rasulullah S.A.W di Madinah adalah dibina di atas dasar iman dan pengabdian diri kepada Allah Taala. Islam diletakkan sebagai suatu cara hidup yang menyeluruh di dalam semua bidang kehidupan manusia bermula dari keimanan, kerohanian dan peribadatan sehinggalah kepada masalah kebendaan dan keduniaan. Islam bukan sahaja menentukan sistem peribadatan yang tepat bahkan mengatur sistem perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, sosial, peperangan, perdamaian dan segalanya di atas satu dasar iaitu pengabdian diri kepada Allah.

Islam tidak mengizinkan wujudnya segala bentuk pengabdian sesama makhluk kerana tiada siapa berhak dan layak menghambakan sesuatu kecuali kepada Allah Taala. Di atas keyakinan inilah, keadilan Islam yang ditegakkan oleh Rasulullah telah berjaya menyatupadukan masyarakat majmuk yang dahulunya saling bermusuhan dan tindas-menindas kepada suatu pemerintahan yang membawa keadilan dan bertanggungjawab.

Pengkhianatan Yahudi Dan Perpecahan

Secara tiba-tiba perpaduan rakyat Madinah diancam dan diganggu-gugat oleh Ahli Kitab dari golongan Yahudi yang mendapat layanan baik serta diberikan kebebasan dan keadilan yang tidak pernah diberikan oleh pemerintah-pemerintah dunia sebelumnya. Sejak zaman-berzaman, orang-orang Yahudi bukan sahaja terkenal dengan sifat angkuh dan hasad dengki terhadap bangsa lain, malah pernah secara berterangan memusuhi Allah dan sebahagian dari para malaikatNya.

Orang-orang Yahudi menyedari dengan keadilan Islam mereka tidak boleh lagi sewenang-wenangnya menindas, memeras dan menipu bangsa Arab bagi kepentingan dan kesenangan mereka. Bangsa Arab terselamat dari cengkaman Yahudi apabila mereka bersatu menerima Islam secara menyeluruh dengan meninggalkan fahaman kebangsaan dan kesukuan mereka.

Oleh yang demikian, orang-orang Yahudi telah mencari helah bagi menimbulkan ketegangan dan perpecahan di kalangan ummat Islam dengan mengungkit-ungkit kembali sejarah permusuhan di kalangan suku-suku kaum Arab di zaman jahiliyyah. Syair-syair tentang peperangan di zaman lampau dan memuja kepahlawanan qabilah-qabilah Arab diperdengarkan kembali. Apabila pemuda-pemuda Aus dan Khazraj mendengar kembali syair-syair berbentuk asabiyyah itu menyebabkan semangat kebangsaan dan kesukuan mereka menyala semula sehingga mereka menghunuskan pedang masing-masingbagi meneruskan permusuhan.

Keadaan genting yang hampir menumpahkan darah itu dapat diselamatkan setelah berita yang menyedihkan itu sampai ke telinga Rasulullah S.A.W. Baginda datang memberi peringatan yang memberi kesan yang mendalam kepada jiwa umat Islam.

“Apakah kamu ingin kembali ke zaman jahiliyyah, sedangkan aku masih hidup di kalangan kamu?”

Tidak lama selepas peristiwa itu, Allah telah menurunkan beberapa potong ayat sebagaimana yang dibacakan tadi. Walaupun ayat-ayat itu diturunkan sebagai nasihat kepada ummat Islam di zaman itu namun pengajaran dari ayat-ayat itu tetap dijadikan panduan ummat Islam di hari ini, sebagaimana satu kaedah yang menyatakan, “al Ibrah bi ‘umumil lafzi la bi khusus as sabab” – yang bermaksud, pengajaran itu diambil, bukan dari sebabnya yang khusus tetapi dari lafaznya yang umum.

Keadaan yang sedemikianlah yang sedang berlaku terhadap umat Islam di hari ini yang sering berpecah-belah sehingga kita selalu mendengar orang ramai membacakan ayat yang berbunyi, “la tafarraqu…”, (jangan berpecah-belah) dengan meninggalkan bahagian ayat yang sebelumnya. Dengan yang demikian, mereka hanya mahu supaya umat tidak berpecah-belah tanpa mengetahui bagaimana perpaduan dapat diwujudkan :

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk” – Surah ali ‘Imran:103

Al Quran meletakkan “berpegang dengan tali Allah” di tempat yang pertama dan “jangan berpecah belah” di tempat kedua. Ini menjelaskan kepada kita bahawa tanpa berpegang teguh dengan tali Allah, umat Islam tidak dapat disatukan. Satu-satunya langkah pertama yang dapat menyatu-padukan umat Islam ialah dengan menyeru mereka berpegang teguh dengan Islam.

Demikianlah yang diajarkan Allah agar dilaksanakan oleh umat Islam di sepanjang zaman supaya menjadi suatu ummah yang mengabdikan diri kepada Allah serta menegakkan kebenaran dan keadilan sehingga mereka dimuliakan Allah dan dipandang tinggi oleh manusia. Kemuliaan dan ketinggian ummat Islam di mata dunia bukan sahaja terletak pada kekuatan Negara mereka tetapi juga di segi akhlak, moral dan seluruh sistem kehidupan mereka di segala sudut.

Rahsia Kemenangan Tentera Islam

Sejarah telah menyaksikan bagaimana 40’000 orang tentera Islam di bawah pimpinan Khalid ibnu Walid telah berjaya menghancurkan 240’000 tentera Rom di Syria di dalam Peperangan Yarmouk yang terkenal. Walaupun kerajaan Rom mendatangkan bala tentera yang berlipat ganda lebih ramai dan peralatan senjata yang jauh lebih lengkap, namun tentera Islam di dalam keadaan yang paling sederhana masih berupaya menumpaskan tentera musuh.

Ini adalah salah satu dari deretan peperangan yang pernah dilalui oleh umat Islam, dan telah menakjubkan pakar-pakar ketenteraan bukan Islam. Mereka kagum apabila melihat bagaimana umat Islam masih mampu mencapai kemenangan yang gemilang sedangkan bilangan tentera, kelengkapan senjata dan kekuatan musuh jauh lebih baik dari apa yang dipunyai oleh tentera Islam. Di manakah letaknya rahsia kekuatan dan kemenangan ummat Islam?

Kekuatan mereka terbina tidak lain adalah dari sebab kekuatan iman yang ada di dada-dada mereka di mana mereka bersedia mematuhi apa sahaja yang diajarkan oleh Allah Taala dan RasulNya. Mereka hanya mengabdikan diri kepada Allah di mana mereka penuh yakin bahawa kekuatan yang sebenar itu adalah pada Allah Taala. Mereka menggantungkan sepenuh harapan kepada bantuan dan pertolongan Allah kerana kepadaNyalah, mereka menyerahkan jiwa raga dan segala urusan mereka.

Di samping itu umat Islam tidak pernah lupa bagi melaksanakan perintah Allah Taala bagi membina kekuatan zahiriah seperti peralatan senjata dan pasukan berkuda yang tangkas. Firman Allah Taala :

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)” – Surah al Anfal:60

Di zaman Pemerintahan Saidina Umar, pemimpin tentera Islam, Saad bin Abi Waqqas telah menghantar satu perutusan yang diketuai oleh Rub‘iy bin Amir untuk menemui Rustam yang menjadi panglima tentera Parsi. Apabila Panglima Rustam bertanya tentang kedatangan tentera Islam ke wilayah Parsi, Rub’iy menjawab, “Allah mengutuskan kami untuk mengajak sesiapa yang mahu di kalangan kamu daripada mengabdikan diri terhadap sesama makhluk kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada agama zalim kepada keadilan Islam dan daripada dunia yang sempit kepada dunia yang lapang”.

Di atas kekuatan aqidah inilah letaknya rahsia kekuatan dan kemenangan tentera Islam di dalam menyampaikan risalah agama mereka ke serata dunia. Apabila Saidina Umar mengutuskan tentera Islam untuk menghadapi musuh-musuh Allah, beliau berpesan kepada Saad bin Abi Waqqas, “Wahai Saad! Aku berpesan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya kamu diberi kemenangan oleh Allah kerana maksiat yang dilakukan oleh musuh. Sekiranya kamu melakukan maksiat seperti musuh, sedang bilangan kamu tidak sama seperti mereka, kamu akan dikalahkan oleh musuh. Ketika itu kekuatan zahiriyyah yang menentukan kemenangan. Hendaklah kamu yakin bahawa kemenangan ini terletak di atas pertolongan Allah”.

Inilah rahsia kekuatan tentera-tentera Islam, termasuk tentera pimpinan Khalid ibnu Walid yang menggerakkan hanya 40,000 tentera-nya yang bertaqwa dan menumpaskan 240,000 tentera Rom yang tidak bermoral. Apabila tentera Islam telah berjaya mengalahkan Rom yang berlipat ganda besarnya sehingga menumbangkan Kerajaan Rom Timur yang berpusat di Syria, Maharaja Rom menghantar perisik untuk mengintip rahsia kekuatan umat Islam. Apabila perisik-perisik itu kembali, mereka menerangkan sifat-sifat tentera Islam, “Di malam hari mereka adalah ahli-ahli ibadah yang tekun beribadah kepada Tuhan, dan di siang hari mereka menjadi pahlawan-pahlawan yang gagah berani menegakkan kebenaran yang mereka yakini. Keadilan adalah syiar mereka, jikalau anak raja mereka mencuri nescaya dipotong tangannya”.

Setelah Maharaja Rom mendengar laporan itu, dengan penuh terharu beliau berkata, “Selamat sejahteralah wahai bumi Syria! Selamat sejahteralah negeri yang tiada harapan untuk kami berkuasa lagi”.

Sesungguhnya generasi yang membina kekuatan iman yang membawa kemenangan Islam adalah mereka yang berpegang teguh dengan hukum Allah dan hanya menerima didikan dan pimpinan Rasulullah S.A.W. Mereka tidak mahu menerima sebarang hukum dan undang-undang yang lain dari apa yang disampaikan oleh Allah dan RasulNya. Mereka hanya menghayati fahaman dan sistem hidup Islam di dalam seluruh bentuk kehidupan mereka.

Di atas kekuatan dasar inilah umat Islam menjadi kuasa besar dunia, setelah mereka berjaya menghancur leburkan Empayar Rom dan Parsi. Kemaraan umat Islam bagi menyebarkan risalah Ilahi adalah dengan membawa iman yang kental, pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Inilah punca yang menyebabkan umat Islam tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana kuasa dunia di sepanjang zaman kegemilangan-nya.

Penaklukan Monggol Dan Keistimewaan Islam

Akibat penyelewengan, kelalaian dan kelemahan iman umat Islam, menyebabkan tentera Monggol yang diketuai oleh Hulagu Khan dari keturunan Genghiz Khan dengan mudah menakluki Baghdad, pusat pemerintahan kerajaan Islam ‘Abbasiyyah. Bandaraya Baghdad diruntuhkan dan penduduknya dibunuh kejam sehingga ibu kota tersebut menjadi kolam darah dan bukit mayat. Kitab-kitab para ulama yang ada di perpustakaan di sekitar Baghdad telah dibakar atau dipunggah ke sungai untuk dijadikan jambatan bagi menyeberangi Sungai Furat dan Dajlah sehingga menyebabkan air sungai menjadi hitam pekat disebabkan dakwat yang mengalir dari pena para ulama Islam.

Setelah berkuasa di Baghdad, penjajah Monggol merangka suatu undang-undang yang dinamakan “Yasar” bagi menggantikan undang-undang Islam. Undang-undang ini adalah undang-undang campuran dari ajaran Yahudi, Kristian, Islam dan hasil fikiran mereka. Mereka memasyhurkan undang-undang ini dan memaksa seluruh rakyat untuk tunduk kepadanya.

Namun demikian, umat Islam masih tidak mahu melepaskan pusaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah yang diperjuangkan generasi sahabat. Mereka lebih rela menerima kezaliman melalui penyeksaan hatta penyembelihan, daripada tunduk di bawah scbarang undang-undang yang lain dari undang-undang Islam.

Hasil dari ketegasan ummat Islam yang tidak mahu tunduk di bawah undang-undang Islam, menyebabkan kekuatan iman umat Islam yang terjajah berjaya memerintah bangsa Monggol yang menjajah. Sejarah telah membuktikan bagaimana penjajah Monggol menyerah kalah lalu melempar undang-undang yang digubal oleh tangan-tangan mereka sendiri dan menjadi penganut Islam. Akhirnya penjajah Monggol telah turut memberikan sumbangan yang besar di dalam sejarah Islam di dunia.

Tidak pernah berlaku di dalam sejarah manusia di mana bangsa yang menjajah, menganuti agama bangsa yang dijajahinya sendiri melainkan di dalam sejarah Islam. Orang-orang Monggol yang dahulunya merupakan suku bangsa dari Asia Barat yang liar dan ganas, akhirnya menjadi penganut Islam yang setia berubah akhlak dan peribadinya kepada bangsa yang bertamadun. Melalui ‘aqidah Islam yang dianuti, mereka bergerak membawa dan menyampaikan Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Rancangan Penaklukan Ke Atas Negara Islam

Undang-undang Islam terus diamalkan di negara-negara Islam sehingga berakhirnya Empayar ‘Uthmaniyyah yang berpusat di Turki yang diruntuhkan sendiri oleh tangan-tangan orang yang digelar penganut Islam. Di saat-saat akhir kewujudan sistem khalifah Islam, Kerajaan ‘Uthmaniyyah masih lagi menjadi salah satu dari kuasa dunia yang digeruni dan ditakuti. Asia Tengah, Laut Mediterranian dan laluan laut dari Asia Barat ke Timur adalah di dalam pengaruh kekuasaannya.

Walaupun deretan angkatan-angkatan tentera Salibiyyah (tentera Kristian) telah melancarkan serangan bertubi-tubi untuk menembusi kekuatan dan kekuasaan ummat Islam, namun mereka tidak mampu menahan serangan balas umat Islam. Umat Islam yang berpegang teguh dengan hukum, telah dikurniakan kemuliaan oleh Allah, bukan sahaja di dalam melaksanakan keadilan Islam malah membangunkan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi.

Apabila tentera Turki bergerak, seluruh benua Eropah akan bergoncang sehingga ada di kalangan ahli sejarah mencatitkan di dalam tulisannya, “Seandainya tentera Turki melibatkan diri di dalam sesuatu peperangan, bertukarlah malam menjadi siang oleh kilatan peluru bedilan, siang menjadi malam oleh kepulan asap meriam”.

Inilah gambaran kekuatan ummat Islam di masa itu yang tidak dapat diganggu gugat oleh sesiapapun kerana mereka bersatu di bawah satu khalifah, bernaung di bawah satu pemerintahan dan tunduk di bawah satu hukum, sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah lebih 1000 tahun sebelumnya.

Akhirnya musuh-musuh Islam mendapat suatu jalan baharu untuk mengepung kekuasaan Islam yang amat berpengaruh di Turki dan Asia Barat dengan jalan baharu melalui Tanjung Pengharapan di Selatan Benua Afrika untuk menuju dan menakluki negara-negara sebelah Timur. Maka muncullah tokoh-tokoh penjajah seperti Vasco da Gama, Marco Polo, Raffles, Kepten Light. Mereka terpaksa berlayar di dalam jarak yang sangat jauh dan menempuh jalan yang merbahaya kerana takutkan kekuatan umat Islam.

Kenyataan sejarah ini telah diputar belitkan oleh buku-buku sejarah karangan mereka atau tulisan anak-anak murid mereka yang kononnya pemergian bangsa Eropah ke Timur hanyalah untuk perdagangan dan mendapatkan rempah semata-mata. Sejarah inilah yang dibuku dan diajarkan, bermula dari sekolah-sekolah rendah hinggalah ke pusat-pusat pengajian tinggi yang berjaya mengelirukan pemikiran umat Islam. Anak-anak Islam diajar bahawa tokoh-tokoh, penjelajah-penjelajah dan bangsa Baratlah yang membawa perubahan dan kemajuan yang besar di tanah-tanah jajahannya serta memberikan sumbangan yang besar kepada dunia.

Sebenarnya kedatangan bangsa Eropah ke dunia di sebelah sini adalah di dalam usaha untuk melumpuhkan kekuasaan Islam, menjajah negara-negara Timur dan memeras ugut rakyat peribumi. Mereka datang ke Timur melalui Tanjung Pengharapan adalah untuk menghalang pengaruh Islam, menyerang pusat kekuasaan Islam di Turki dan Semenanjung Arab dari belakang. Mereka telah berjaya menawan beberapa pusat agama Islam di Asia Tenggara seperti Kesultanan Melaka di Semenanjung Tanah Melayu, Kerajaan Islam Aceh di Kepulauan Sumatera dan Kerajaan Mataram di Kepulauan Jawa. Dengan serangan dan penaklukan semua negara-negara Islam di Asia Tenggara menyebabkan terputusnya hubungan rantau ini dengan Kerajaan ‘Uthmaniyyah.

Namun demikian, sebahagian besar umat Islam di kala itu tidak dapat ditundukkan di bawah telunjuk orang-orang kafir walaupun mereka di dalam serba kekurangan. Kedatangan penjajah-penjajah Barat disambut dan dihadapi dengan jiwa dan semangat jihad walau pun hanya bersenjatakan keris panjang sejengkal atau tombak dan lembing panjang sedepa atau hanya berbuluh runcing semata-mata. Demikianlah keimanan dan keberanian rumpun bangsa Melayu yang menjadi umat Islam yang tidak penakut dan pengecut.

Serangan Bentuk Baharu Terhadap Umat Islam

Sikap dan keperwiraan umat Islam ini telah difahami oleh penjajah-penjajah Barat lalu mereka mencari dan merancang suatu langkah baru bagi menghancur dan menumpaskan kekuatan umat Islam. Mereka menghantar para orientalis ke negara-negara Timur bagi mengkaji rahsia kekuatan ummat Islam. Mereka menghantar Stanford Raffles ke negeri-negeri Melayu, Snouge Hurgronje ke Indonesia, Samuel M. Zwimmer ke India, Lord Crommer ke Mesir dan lain-lain lagi.

Ke semua para pengkaji dunia Timur itu telah membuat kesimpulan bahawa kekuatan ummat Islam disebabkan adanya suatu kuasa luar biasa yang tidak ada pada umat-umat yang lain. Mereka menyimpulkan :

“Di sana ada sesuatu kekuatan pada diri umat Islam sehingga Barat tidak berdaya menguasai mereka iaitu aqidah dan Islam yang mereka perolehi dari al Quran dan Sunnah Nabi mereka”.

Para orientalis bersetuju dengan satu gagasan bagi menghadapi dan menghancurkan umat Islam, iaitu melalui proses meruntuh dan membangun kebudayaan Barat secara serentak. Meruntuh ialah menghancurkan Islam melalui cara memisahkan kaum Muslimin dari agama mereka, membangun pula ialah menyebarkan ajaran Kristian dan budaya Barat.

Perdana Menteri Inggeris, Gladestone telah memegang dan menunjukkan al Quran di dalam ucapannya di Dewan Perwakilan Rakyat. Beliau menegaskan, “Selagi umat Islam masih berpegang teguh dengan Kitab (al Quran) ini, selama itulah kita tidak dapat menguasai mereka. Oleh yang demikian, kita hendaklah mmyusun perancangan untuk memisahkan mereka dari Kitab ini…”

Proses memisahkan umat Islam dari al Quran bukanlah dengan cara pergi ke kampung-kampung untuk membakar masjid-masjid atau menggeledah rumah-rumah bagi merampas dan membakar al Quran, tetapi melalui serangan pemikiran yang dijalankan itu ialah dengan menyebarkan fahaman yang mengelirukan terhadap kebenaran dan kesempurnaan Islam. Di samping itu mereka mengagung-agungkan sejarah, kebudayaan, tamadun dan perundangan Barat. Melalui rancangan ini, secara beransur-ansur umat Islam mengenepikan ajaran agama mereka yang dianggap kolot lalu menerima sistem Barat sebagai cara hidup yang sempurna.

Allah menerangkan tentang kesempurnaan Islam di dalam al Quran :

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging hewan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” – Surah al Maidah:3

Di dalam ayat di atas, Allah menegaskan bahawa Islam adalah syumul dan lengkap, di mana ajarannya meliputi seluruh aspek di dalam kehidupan manusia. Selagi umat Islam berpegang teguh dengan ajaran agama mereka, selama itulah mereka tidak akan berpecah belah, sebaliknya menjadi suatu umat yang ditakuti oleh umat lain.

Seandainya umat Islam dapat disatukan di bawah tali Allah, kita akan diberi kekuatan dan bantuan oleh Allah sehingga kita dapat mengembalikan kekuasaan Islam di muka bumi. Bukankah Allah yang menjadikan dunia, manusia dan bahan-bahan mentah kegunaan manusia? Jika demikian, tentu Allah lebih mengenali siapa yang berhak menjadi khalifahNya di dunia dan mengetahui pula bagaimana caranya untuk mentadbir dunia dan menguasai mata benda dunia.

Racun Sekularisme

Kita sering mendengar perkataan sekularisme diperkatakan, tetapi hanya segelintir yang memahami pengertian dan pengaruhnya di dalam masyarakat Islam hari ini. sekularisme adalah satu idea Barat yang dibawa oleh penjajah-penjajah ke negara Islam supaya peranan agama Islam boleh dipersempitkan bagi memudahkan mereka mengambil alih.

Setelah pengikut-pengikut Nabi Isa berhijrah ke Barat, mereka berjaya mengkristiankan bangsa Eropah yang terkenal dengan kekejaman dan amalan keberhalaan itu. Namun demikian agama Kristian tidak mampu menghadapi perubahan bangsa Eropah semasa meletusnya Revolusi Industri yang inginkan kebebasan fikiran dan kemajuan ilmu pengetahuan. Idea-idea perkembangan ilmu pengetahuan Barat yang datang dari dunia Islam yang telah maju seribu tahun sebelumnya, telah ditentang oleh pihak gereja. Kesan dari pertentangan inilah menyebabkan timbulnya fahaman sekularisme yang memisahkan agama dari negara dan duniawi. Teori dan fahaman sekularisme ini dirasakan amat sesuai digunakan oleh penjajah-penjajah Barat menguasai dan menundukkan umat Islam ditanah-tanah jajahan mereka.

Di bidang pelajaran, penjajah-penjajah telah mengajarkan sejarah keagungan bangsa Eropah dengan mengenepikan sejarah perjuangan, kemenangan dan kemurniaan Islam. Di samping itu juga mereka telah mencungkil kembali sejarah kuno bangsa-bangsa yang terjajah bagi menimbulkan semangat kebangsaan dan perkauman. Umat Islam di Mesir diajarkan sejarah Kerajaan Firaun, di Iran diajarkan sejarah kebesaran Kerajaan Parsi di zaman Kisra dan di India diajarkan sejarah bangsa Arya. Demikian juga di negeri-negeri Melayu, diajarkan sejarah Majapahit, Sri Wijaya, Raja Bersiung dan sebagainya. Semua ini tidak memberikan apa-apa sumbangan dan peranan bagi menyedarkan umat Islam agar kembali kepada agama mereka, sebaliknya telah memarakkan semangat kebangsaan yang merenggangkan lagi kesatuan umat Islam sejagat.

Hasil dari semangat kebangsaan inilah yang menyebabkan musuh-musuh Islam telah berjaya memisahkan dan memecah-belahkan umat Islam di negera-negara Islam yang berbilang bangsa dan suku kaum itu. Sesungguhnya fahaman kebangsaan, qaumiyyah atau nasionalisme inilah yang telah melumpuhkan Daulah Khilafah ‘Uthmaniyyah yang memegang teraju pemerintahan Islam sedunia. Oleh kerana semangat inilah negara-negara Islam sendiri, bukan sahaja tidak memberikan bantuan kepada Turki yang sedang terkepung di dalam Perang Dunia Pertama bahkan telah belot dengan membantu pihak berikat untuk mengalahkan tampuk kekhalifahan Kerajaan Turki.

Zaman Kehancuran Umat Islam

Punca kelemahan dan keruntuhan Daulah ‘Uthmaniyyah adalah bermula dari kelalaian dan kecuaiannya sendiri di dalam membina aqidah dan ilmu pengetahuan umat Islam, sehingga menghantar rakyat ke negara-negara Barat untuk mempelajari ilmu pengetahuan di sana. Peluang ini telah digunakan oleh orang-orang Barat untuk merosakkan pemikiran umat Islam, sehingga mereka pulang ke negeri mereka masing-masing dengan membawa bersama fahaman sekularisme dan materialisme serta mengagung-agungkan kebudayaan dan kemajuan Barat. Mereka inilah yang menjadi pemimpin-pemimpin negara, yang telah mengelirukan tafsiran terhadap Islam serta meletakkannya sebagai barang-barang antik untuk dijadikan adat-istiadat sahaja atau diamalkan di masjid-masjid dan surau-surau semata-mata.

Di dalam keadaan yang sedemikian genting, seorang ulama dan mujahid Turki yang terkenal, al Marhum Ustaz Badi uz Zaman Sa’id al Nursi telah memberikan ucapannya yang bersejarah di saat Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah di ambang keruntuhannya, beliau menyatakan, “Wahai umat Islam! Saya nelihat Kerajaan Islam ‘Uthmaniyyah sedang mengandung, di mana anak yang di dalam kandungan itu adalah anak Barat dan saya juga melihat dunia Barat sedang mengandung, di mana anak yang di dalam kandungan itu adalah anak Islam”.

Ucapan ini dipandang ringan oleh ummat Islam ketika itu tetapi telah menjadi kenyataan sejarah sekarang ini. Penjajah Inggeris telah berjaya melahirkan anak-anak Islam yang berfahaman seperti mereka, lalu dijadikan pemimpin-pemimpin di negara-negara umat Islam yang menjalankan ideologi dan sistem hidup Barat.

Demikianlah keadaan dan suasana yang berlaku di kalangan ummat Islam yang kita hadapi sekarang ini. Mereka menganut berbagai fahaman dan ideologi, hasil dari kejayaan Barat melahirkan anak-anak mereka di tengah-tengah masyarakat Islam. Masyarakat Islam benar-benar di dalam keadaan yang kelam kabut, tanpa mempunyai arah panduan sehingga mereka tidak teragak-agak untuk menyanjung dan menjunjung tinggi sistem perundangan, kebudayaan, pendidikan, ekonomi, ketenteraan dan sebagainya yang datang dari Barat.

Inilah punca kelemahan umat Islam sehingga seratus juta bangsa Arab tidak dapat mengalahkan dua atau tiga juta Yahudi yang menceroboh negara Palestin. Inilah juga puncanya mengapa 1000 juta ummat Islam di seluruh dunia tidak berdaya membela nasib golongan minoriti Islam yang tertindas dan dizalimi di negara-negara bukan Islam. Semua ini berlaku setelah kehidupan ummat Islam dipisahkan dari agama yang mereka anuti sejak zaman berzaman.

Kita lihat hari ini bagaimana agama Islam dijadikan adat-istiadat semata-mata yang hanya menurut kehendak nafsu para penganutnya sahaja. Umat Islam tidak lagi tunduk kepada Islam, tetapi Islamlah yang dipaksa tunduk menurut kemahuan dan kepentingan duniawi penganut-penganutnya. Dengan sewenang-wenangnya Islam telah dicarik-carikkan, di mana hanya dipakai apabila mahu dan dilemparkan apabila tidak diperlukan. Inilah sikap bongkak sombong yang ditunjukkan oleh umat Islam hari ini yang menjadi punca kehinaan, kelemahan, kemunduran dan pepecahan di kalangan umat Islam seluruh dunia.

Pengajaran Untuk Menyedarkan Ummah

Bagaimanakah kita dapat mengembalikan kekuatan dan ketinggian umat Islam? Caranya tidak lain dan tidak bukan ialah dengan kita memberi kesedaran dan keinsafan kepada ummat Islam. Kita hendaklah menerangkan kepada mereka bahawa apa yang diajarkan oleh penjajah kepada kita selama ini bukan sahaja tidak mendatangkan kekuatan kepada ummah bahkan membawa kehancuran kepada keperibadian kita sendiri.

Berpuluh-puluh tahun sejak kemerdekaan, kita masih diajarkan bahawa tamadun Baratlah yang membawa kekuatan dan kemajuan kepada rakyat. Mereka mengajar kita bahawa dengan mengikuti undang-undang mereka, menuruti kebudayaan mereka yang bebas dan mencontohi perangai yang tidak bermoral akan membawa kemajuan dan kejayaan kepada kita. Inilah yang diajarkan kepada kita dan anak-anak kita.

Kita masih lagi tidak dapat mengubah kedudukan umat Islam kepada suatu ummah yang mulia dan disegani dan masih tidak berjaya mengembalikan maruah rakyat sebagai bangsa yang merdeka. Kita belum mampu berdiri di atas kaki sendiri dan kita gagal menuju ke arah suatu ummah seperti yang disebut Allah di dalam al Quran :

“Kamu adalah umat (umat Muhammad) yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik” – Surah ali ‘Imran:110

Kita sepatutnya menjadi contoh dan tauladan kepada umat-umat yang lain, tiba-tiba menjadi hanyut, tidak berpendirian dan tidak mempunyai sikap yang jelas. Kita teraba-raba mencari ikutan sehingga dengan kehinaan menghadapkan muka ke Barat atau ke Timur, tanpa kembali kepada Islam.

Walau bagaimanapun kita hendaklah bersyukur kepada Allah kerana hasil kegagalan sistem Barat yang dilaksanakan di negara-negara Islam, telah memberikan kesedaran kepada umat Islam untuk menolak sistem Barat dan kembali ke pangkuan Islam. Kita dapati hari ini, di mana-mana orang-orang memperkatakan tentang Islam sehingga abad ini dikenali sebagai kebangkitan semula umat Islam.

Tetapi sesungguhnya zaman ini tidak akan menjadi zaman Islam dengan hanya sekadar kata-kata dan ucapan kosong semata-mata. Abad ini hanya akan menjadi zaman kegemilangan Islam setelah kita mengubah sikap dengan menolak segala teori dan amali yang dilahirkan fahaman dan sistem Barat lalu tunduk mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Kita perlu mengubah sistem pemerintahan, pentadbiran, pendidikan, ekonomi, ketenteraan dan segala-segalanya kepada sistem Islam yang syumul. Di kala itulah ummat Islam akan diberi kemuliaan oleh Allah dan disegani oleh manusia.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

Khatib : Ustaz Dr Haji Nor Azamuddin Umar

Lokasi : Masjid al-Hilal Kg Tanjung Dumpil Putatan

Firman Allah SWT bermaksud : “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). Dan mereka Yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Mu’minun 1-11)

Marilah kita membuat muhasabah, adakah kita yang hadir di dalam solat fardhu jumaat ini berjaya menunaikan solat fardhu dengan cukup lima waktu sehari semalam? Adakah kita dapat menunaikannya secara berjamaah? Ada di kalangan kita yang hanya menunaikan solat jumaat setiap minggu sahaja. Ada kalangan orang yang keluar pejabat jam 11.30 pagi tetapi balik ke rumah dan tidak pergi ke masjid menunaikan fardhu jumaat.

Ambillah teladan kisah Nabi Isa AS melalui firman Allah SWT bermaksud : “Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! “Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!” Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?”

Ia menjawab : “Sesungguhnya aku ini hamba Allah; ia telah memberikan kepadaku kitab (Injil), dan ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Maryam :  27-32)

Perhatikanlah akibat mereka yang mengabaikan solatnya, dengan menghayati firman Allah SWT : “”Apa yang memasukkan kamu ke (neraka) saqar?” Maka para penghuni Saqar itu menjawab : “Mereka menjawab: “kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat, dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin, dan adalah kami membicarakan yang bathil bersama dengan orang-orang yang membicarakannya, dan adalah kami mendustakan hari pembalasan, hingga datang kepada kami kematian”. Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafa’at dari orang-orang yang memberikan syafa’at”. (al-Muddathir : 41-48)

%d bloggers like this: