Buku yang baru dibaca :

Penulis : Riduan Mohamad Nor
Terbitan : Jundi Resources
Harga : RM18.00
Isi Kandungan
1. Tokoh agama dan lingkaran fenomena
2. Ustaz Azhar Idrus, Daie Sejuta Ummat
3. Kejora yang menyinari Langit Malam
4. Bagaimana Ustaz Azhar Idrus bermula
5. Aura dan magnet Ustaz Azhar Idrus
6. Kerikil-kerikil di Jalan Dakwah
7. Man Jadda Wajada
8. Menjawab fitnah yang cuba memalitkan aib
9. Sham Kamikaze: “Ustaz Azhar dan Anak Muda”
10. Anda Bertanya, Ustaz Azhar Idrus Menjawab
Penceramah fenemenal merupakan sisi terang yang sentiasa berlaku di belahan dunia Islam di setiap zaman. Abad ke-20 sendiri menyaksikan pelbagai tokoh muncul di pelbagai dunia Islam. Contoh karismatik seorang tokoh gerakan Islam sebagaimana yang dirakam oleh langit sejarah seperti Imam Hasan al-Banna yang menubuhkan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1928 di bandar Ismailiah Mesir. Kecerdasan al-Banna dalam mentarbiah dan membina, akhirnya meletakkan Ikhwanul Muslimin sebagai gerakan fenomenal dalam kurun ke-20 dan 21.
Paling akhir negara kita digegarkan dengan fenomena Ustaz Azhar Idrus yang muncul seiring dengan kepesatan teknologi jalur lebar. Terjahan langit terbuka jika diuruskan dengan baik akan menguntungkan dakwah, sebab itulah Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqhul Jihad menyarankan potensi di langit terbuka direbut oleh para pendakwah dan juga para pejuang Islam di akhir zaman. Musuh memulakan gelanggang ini, namun pejuang Islam jangan ketinggalan zaman, merebut pengaruh dan menebar kebenaran.
Ustaz Azhar Idrus adalah contoh kehebatan daie yang pandai memanfaatkan ruang maya ini. Maestro dakwah ini bukan sahaja meriuhkan panggung dakwah dengan pendekatan kuliah santai yang begitu meramahi anak muda tetapi juga dengan pelbagai pendekatan dakwah yang mesra anak muda.
Fenomena Ustaz Azhar menenggelamkan kemasyhuran pendakwah lain walaupun dikekang unuk muncul di media arus perdana, namun anak muda hari ini yang tidak bergantung dengan media arus perdana mendapat sentuhan luar biasa (pelbagai asbab) juga telah mengembalikan ramai anak muda yang nakal untuk mengenali sejadah dan masjid.
Beliau tidak memusuhi budaya popular tetapi merapati anak muda dengan menyelami budaya popular dan faktor inilah juga ramai selebriti tanahair mendekati kuliah beliau dan mencari kehidupan bertuhan.
Ustaz Azhar Idrus, sosok istimewa yang kini menjadi fenomena anak muda. Kehadirannya dalam program seperti magnet sebenar bukit Uhud yang mampu menyihir anak muda pelbagai jalur, daripada kelompok berserban dililit kemas sehinggalah para rockers koyak dengan ‘muka pecah gudang’. Sudah tentu ada yang istimewa dengan pendakwah ini sehingga dia diminati dan dicemburui, limpahan publisti telah memuncakkan nama pendakwah dari negeri penyu menangis ini.
Mampirlah anak muda, mampirlah orang kebanyakan, mampirlah mat rempit, mampirlah artis.. hidayah perlu dicari, bukan dinanti. Dekatilah daiemu, carilah sinar dan hidayah-Nya sebelum nafas berada di tenggorok. Masa itu tidak gunanya sesalan, tiada gunanya harta berjuta.