Beliau adalah salah seorang ahli Lajnah Tashih al-Quran KDN sejak 2006, bererti musim yang sama saya menyertai lajnah berkenaan. Sebenarnya saya sudah mengenali beliau sejak tahun 1999 ketika kami menduduki peperiksaan diploma tahfiz al-Quran di Darul Quran JAKIM Kuala Kubu Baru sementara Ustaz Moghni adalah salah seorang pensyarah di sana. Saya ingat lagi beliau adalah pensyarah bagi subjek Ulum al-Quran.

Saya agak rapat dengan beliau kerana kami sering duduk berhampiran dan sekumpulan dalam siri-siri mesyuarat lajnah ini sejak kami sama-sama menjadi ahli lajnah. Pernah juga beliau menyantuni saya sebagai musafir ketika satu program Seminar Aqidah anjuran Jabatan Mufti Wilayah berlangsung di Masjid Wilayah Jalan Duta dan ketika itu beliau menjadi salah seorang imam di sana.

Ustaz Haji Moghni, 51 tahun berasal dari Sekinchan Selangor, pernah merantau ke Mesir antara tahun 1987 hingga 1993 untuk menyambung pengajiannya selepas belajar di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran. Sekembalinya ke tanahair, beliau berkhidmat di beberapa tempat antaranya imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Pensyarah Darul Quran (1998-2006), Imam Masjid Wilayah (2006-2009) dan sehingga artikel ini ditulis beliau merupakan Pegawai Tadbir Agama (PTA) Hulu Langat Selangor sejak tahun 2010.