Archive for 8 Mei 2012


Alhamdulillah, kami bertemu lagi dalam siri kedua tahun ini mesyuarat lajnah tashih al-Quran, Kementerian Dalam Negeri. Lokasi kali ini ialah di Hotel Corus Port Dickson Negeri Sembilan, yang saya kira pertama kali kami menginap di hotel berkenaan. Gembira rasanya bertemu otai-otai huffaz al-Quran dari setiap negeri apatah lagi dapat menimba ilmu dan pengalaman mereka dalam pertemuan singkat sebegini.

Tempoh berkumpul kami daripada 6hb mei lepas dan berakhir tengahari tadi yang  kurang sehari jika mengikut kebiasaan sebelum ini. Dalam pertemuan kali ini setiap seorang kami menyemak  43 juzu’ al-Quran pelbagai bahan mashaf dan digital. Suasana yang sibuk dengan bahan semakan masing-masing menyebabkan masa berbual dan sembang-sembang peribadi sangat terbatas. Bahkan sejak masuk ke hotel berkenaan, kebanyakan kami tidak keluar langsung dari bangunan berkenaan sehinggalah waktu kepulangan jam 1.30 tengahari tadi.

Buku yang baru dibaca : 

Penulis : Muhadir Haji Joll

Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd

Harga : RM19.00/RM21.00

Petikan muqaddimah penulis :

Buku ini memaparkan sekelumit daripada kisah-kisah benar Rasulullah SAW dan orang-orang soleh yang telah mewarnai kehidupan mereka dengan ketaatan dan ubudiyah kepada Allah SWT. Sebahagiannya pernah diceritakan kepada kami oleh Masyaikhunal Kiram dalam majlis ilmu mereka termasuklah Sheikh Abdul Aziz bin Ahmad al-Fathoni al-Makki, Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki, Sheikh Muhammad Nuruddin al-Banjari al-Makki, Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki dan masyaikh yang lain.

Kisah-kisah dan cerita-cerita ini juga dimuatkan dalam beberapa kitab tulisan para ulama dan asatizah yang dinyatakan sumbernya dalam buku ini. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang sempurna kepada para ulama dan asatizah yang telah menulis kisah-isah yang baik ini dalam kitab-kitab mereka dan menjadikan ia bermanfaat kepada seluruh umat, Amin.

Jika Allah SWT menyebutkan bahawa kisah merupakan salah satu cara yang efektif untuk menghiburkan hati, di samping memberi pengajaran, sebagai peringatan dan memberi pengharapan, maka tentulah kisah dan cerita orang soleh yang merupakan pewaris para nabi juga mempunyai kesan yang sama.

Kisah-kisah sebegini sangat perlu untuk diceritakan dan dimanfaatkan terutama sekali pada zaman moden ini yang hati-hati selalu dikotori dunia dengan segala keindahan, kebendaan dan kelalaiannya, agar ia kembali sedar dan insaf betapa perlunya mengharapkan didikan Ilahi untuk menuju kehidupan yang hakiki.

%d bloggers like this: