Archive for April, 2012


Sejak pagi hingga menjelang tengahari tadi, Maahad Tahfiz dikunjungi oleh hampir 20 calon yang berminat untuk ditemuduga masuk menghafaz al-Quran di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah, Kepayan dekat sini. Sesi pertama temuduga bermula dengan ujian bertulis yang merangkumi dua subjek iaitu ilmu tajwid dan Bahasa Arab.

Pada sesi kedua, temuduga lisan dijalankan dengan panel diketuai sendiri oleh Puan Pengetua Ustazah Hiryanti Tabin. Temuduga lisan mengambil kira markah bahagian hafazan al-Quran, penampilan, akademik, bahasa arab dan pengetahuan am. Ahli panel yang lain ialah Ustazah Dayang Masni Datu Saribu, Ustaz Haji Azlan Bakri dan saya sendiri.

Di antara calon-calon berkenaan, ada yang datang dari Sandakan, Beaufort, Papar dan selebihnya sekitar Kota Kinabalu. Pada pagi khamis, satu temuduga lagi akan diadakan di daerah Kunak dengan jumlah calon hampir 30 orang dijangka hadir. Semua keputusan dijangka dikeluarkan pada minggu hadapan.

Umat Islam Dijemput Hadir

 

Sumber : di sini

Oleh: Ahmad Haji Yassin

KINARUT – Sekolah Menengah Agama Islam Negeri Sabah (SMAN) Toh Puan Hajah Rahmah Kinarut terus mengungguli Majlis Ko-Kurikulum Peringkat Negeri Tahun 2012 apabila pelajar-pelajar sekolah tersebut menjadi johan dalam pertandingan khat lelaki dan perempuan, pertandingan khutbah, syarahan agama dalam bahasa Arab kedua-dua kategori menengah & rendah (bahagian lelaki dan perempuan) dan pertandingan kuiz.

Pertandingan nasyid johan tahun lalu terus mengekalkan kejohanan mereka selain menjadi johan dalam Tilawah al-Quran sementara Sekolah Menengah Agama Negeri Beaufort menjadi johan dalam maharah al-kitabah wal qiraah. Antara pelajar dari SMAN Toh Puan Hajah Rahmah yang menjadi johan ialah adik Abdul Hafidz Zainuddin bahagian pelajar lelaki dan adik Safina Saharim bahagian pelajar perempuan dalam pertandingan khat.

Johan Pertandingan menyampaikan khutbah disandang oleh adik Kamarul Ariffin Abdullah, adik Omar Abdul Aziz Nurhasan dan adik Norfadilah Mansyur johan pertandingan syarahan bahasa Arab peringkat menengah rendah, manakala adik Mohd Amirul Azhar Hasanyddin dan adik Siti Khadijah Farahani Sabdin, kedua-duanya pelajar dari SMAN Toh Puan Hajah Rahmah menjadi johan syarahan bahasa arab dalam kategori menengah atas.

Majlis Ko-Kurikulum anjuran Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam itu telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kawang, Datuk Ghulam Haidarkhan manakala Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINS, Ustaz Haji Saifuddin Daud.

Mengulas mengenai ko-kurikulum tersebut, Ustaz Haji Saifuddin berkata, usaha seperti ini merupakan satu usaha ke arah menjadikan golongan pelajar menjadi modal Insan yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara dan negeri pada masa depan, katanya. Menurut beliau lagi, usaha seperti ini juga dapat mengilap pelajar-pelajar yang bukan sahaja petah bercakap dalam bahasa Malaysia tetapi yang lebih membanggakan mereka mampu menyampaikan dalam bahasa Arab.

Ini merupakan satu usaha kita menjadikan pelajar-pelajar didikan agama ini mampu menjadi tonggak kejayaan dan kekuatan umat Islam pada masa yanh akan datang sekaligus menjadi penerus kepimpinan yang serba boleh dalam menghadapi zaman globalisasi yang cukup mencabar ini, tegasnya.

Saintis Perancis Memeluk Islam Setelah Mengkaji Penemuan Mayat Firaun Pada pertengahan tahun 1975.

Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal. Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya. Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris.

Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut? Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

KISAH FIRAUN DI DALAM AL QURAN.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. “Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!” Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya. Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. “Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun. Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15) Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri :

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).” Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.” Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya. “Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya. Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

Kredit foto : http://www.facebook.com/annisajamilah02

Kawan-kawan dari Kota Belud memaklumkan program berkenaan disusun sejak sebulan lalu dan diadakan secara bentuk karnival, yang bermula sejak awal pagi sabtu dan berakhir malam ahad. Bahkan saya dimaklumkan ada juga rombongan dari Kota Kinabalu yang datang untuk membantu kerja-kerja penyembelihan dan melapah 3 ekor lembu yang ditumbangkan pada pagi sabtu. Alhamdulillah, ramai penyumbang-penyumbang khususnya untuk mencukupkan dana jamuan rakyat yang diadakan pada malam minggu.

Program Paluan Gendang PRU-13 diadakan dengan 2 sesi siang dan malam. Antara program sebelah siang ialah ziarah hospital, sukaneka rakyat, pemeriksaan kesihatan serta penyembelihan dan kerja-kerja melapah 3 ekor lembu. Paling mencuri tumpuan ialah pelepasan konvoi 100 buah motorsikal oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz bagi mengiringi ketibaan Tuan Haji Mohammad Sabu dan rombongan mengelilingi Pekan Kota Belud dan kampung-kampung terpilih.

Sementara sebelah malam dimulakan dengan solat maghrib, solat hajat dan solat isyak berjamaah di Kampung Tamau berdekatan rumah Ustaz Awang Laiman Haji Ikin. Juga diadakan tazkirah antara maghrib dan isyak oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi. Jamuan rakyat dihadiri oleh sekitar 3 ribu penduduk Kota Belud dan daerah berhampiran dengan menu daging masak kicap, sup tulang, gulai kawah dan ulam-ulaman yang sangat menyelerakan diadakan di hadapan rumah Ustaz Awang Laiman.

Kemuncak program ini ialah ceramah yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohammad Sabu (Timbalan Presiden PAS), Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (Ketua Pemuda PAS Malaysia), YB Dr Mohd Hatta Ramli (Pengarah Pilihanraya PAS Pusat), Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia), Mohd Aminuddin Aling (Pesuruhjaya PAS Sabah), Dr Edwin Bosi (Setiausaha DAP Sabah) dan Ahmad Tamrin Jaini (Pengerusi PKR Sabah). Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Haji Awang Laiman Haji Ikin (Setiausaha PAS Sabah) disaksikan oleh ribuan rakyat yang duduk bersila di bawah 10 buah khemah yang disediakan penganjur.

JADUAL MERAWAT

Sesuai dengan kedudukan Negeri Sabah yang rakyatnya pelbagai suku kaum dan agama, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Sabah kini dapat melebarkan pengaruhnya dan memecahkan satu lagi tembok yang menghalang perhubungannya dengan masyarakat Malaysia secara keseluruhan apabila kini menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), satu sayap parti bagi rakyat non muslim yang berminat menyertai parti berkenaan.

Di Plaza Tanjung Aru Kota Kinabalu pada pagi sabtu, YB Datuk Paduka Haji Husam Musa, Naib Presiden PAS yang juga EXCO Kerajaan Negeri Kelantan melancarkan DHPP Negeri Sabah di hadapan 100 tetamu termasuk di kalangan bukan Islam sekitar Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Pitas dan lain-lain. Husam juga menerima borang keahlian masuk yang disampaikan oleh wakil-wakil kawasan berkenaan dan sebagai simboliknya, Husam menyerahkan bendera parti kepada mereka.

Dalam ucapannya, Datuk Husam menjelaskan orang Islam dididik untuk melakukan kebajikan dan kebaikan kepada orang lain yang berbeza bangsa dan agama. Perbezaan agama dan bangsa juga tidak mewajarkan orang Islam menzalimi orang lain. Beliau juga menyeru ahli PAS di Sabah bersatu tenaga, bekerja keras untuk menawan hati seluruh rakyat Sabah dengan mendengar masalah mereka, memikirkan dan membantu menyelesaikannya tanpa memilih suku bangsa dan agama. Inilah ajaran Islam yang syumul yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Terdahulu Pengerusi DHPP Sabah Sim Kang Loon dalam ucapannya mengakui tanggungjawab berat untuk memahamkan rakyat Sabah khususnya yang bukan berugama Islam namun berjanji akan bekerja keras untuk memberikan kemenangan kepada PAS di Sabah dalam pilihanraya akan datang. Beliau juga menyeru orang bukan Islam pelbagai bangsa menyertai DHPP dan bersatu untuk memberi kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat di Sabah.

Pada sesi yang kedua, diadakan dialog dan soal jawab yang mendapat sambutan yang baik daripada para peserta yang hadir yang dipengerusikan oleh Sdr Lahirul Latigu Ketua Pemuda PAS Sabah. Menarik apabila Husam bertanya kepada seorang pakcik dari Pitas, apakah yang semestinya dilakukan untuk memenangkan PAS dan Pakatan Rakyat di Sabah, pakcik berkenaan menjawab : “Satu hati”.

Turut hadir ialah YB Dr Mohd Hatta Ramli (Pengarah Pilihanraya PAS Pusat), Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (Ketua Pemuda PAS Malaysia), Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia), Tuan Aminuddin Aling (Pesuruhjaya PAS Sabah), Ustaz Haji Awang Laiman Ikin (Setiausaha PAS Sabah) dan Tuan Haji Mohammad Abdullah (Penasihat PAS Sabah).

Kira-kira 100 pemuda sekitar Kinarut, Putatan dan Kepayan membabitkan 10 pasukan menyertai Kejohanan Futsal Piala Ketua Pemuda PAS Malaysia yang diadakan di Kepayan pada malam sabtu. Kejohanan berkenaan diadakan sempena kunjungan Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dan rombongan ke Sabah sempena program Paluan Gendang Pilihanraya-13.

Ustaz Nasrudin yang turut menyertai perlawanan berkenaan menyatakan bahawa kejohanan seumpama ini adalah antara kaedah DPPM mendekati anak muda agar mereka mengenali PAS. Beliau menyatakan kesyukurannya kerana kehadiran di luar jangka di kalangan pemain dan penonton. Perlawanan berlanjutan hingga ke tengah malam dan hadiah disampaikan oleh Ustaz Nasrudin sendiri kepada pemenang.

Turut serta dalam rombongan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ke Sabah ialah Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Timbalan Ketua), Abang Ahmad Kerdee (AJK DPPM) dan Ustaz Syed Abdul Kadir al-Jofree (AJK DPPM).

Ini kali kedua saya mendengar ceramah beliau di Sabah, setelah kali pertama di Surau Taman Austral pada tahun 2010. Ketika itu beliau menghuraikan ayat 1 daripada surah al-Furqan dengan satu kupasan yang sangat menarik. Sebelum itu juga saya ketahui pada malam yang sama selepas maghrib beliau berkuliah di Masjid Kg Muhibbah Petagas tetapi saya memilih untuk menunggu di Surau Austral selepas solat isyak.

Ramai mengakui gaya ceramah, lenggok suara bahkan sehingga caranya menadah dan menyapu tangan ke muka selepas berdoa pun tidak tumpah seperti ayahanda beliau, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bahkan menatap dan menekuni bait-bait ceramahnya sedikit sebanyak mengubati kerinduan terhadap Tok Guru Nik Abdul Aziz yang terpaksa membatalkan kunjungannya ke Sabah pada bulan lepas.

Saya menekuni ceramah beliau berkenaan kesyumulan dan keindahan Islam yang menganggap bahawa ibadah itu bukan semata-mata solat sahaja sebagaimana difahami sebahagian orang. Jika dihitung-hitung kasar ibadah fardhu solat hanyalah sekitar 1 jam sehari, maka Islam telah menetapkan bahawa semua amalan baik dengan niat yang ikhlas dan kaedah yang menepati syarak dikira ibadah juga yang akan mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah SWT.

Setinggi penghargaan dan tahniah  buat seluruh JK Masjid yang mengendalikan dengan baik majlis malam tadi dengan promosi yang baik sehinggalah berakhirnya majlis ceramah, solat isyak dan jamuan ringan sekitar jam 8.30 malam.

%d bloggers like this: