Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : Ada dua golongan manusia daripada kalangan ahli neraka yang tidak sempat aku melihatnya. Pertamanya ialah orang yang zalim yang melakukan kerja-kerja zalim, bertindak kepada orang ramai seperti ekor lembu yang memukul ke kiri dan ke kanan. Kedua ialah orang perempuan yang memakai pakaian tetapi bertelanjang, menghias kepala mereka seperti bonggolan unta, mereka tidak dapat masuk ke dalam syurga dan tidak dapat mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang terlalu jauh. (HR Muslim)

Antara perkara yang diwahyu dan diilhamkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW ialah perkara-perkara akhir zaman. Walaupun perkara seumpama itu tidak berlaku pada zaman baginda dan tidak sempat dilihat olehnya, namun ia adalah perkara yang benar-benar akan berlaku. Sebahagiannya berlaku pada zaman kita ini dan sebahagiannya berlaku kemudian hari.

Perkara-perkara yang berlaku itu adalah kemungkaran yang membuka jalan bagi Allah SWT menurunkan azab dunai kepada manusia berbentuk bala bencana sebelum azab seksa sebenar di neraka. Bala bencana itu akan berlaku sekiranya tidak ada orang Islam yang berani menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran. Dua kaum yang disebut oleh Rasulullah SAW ini benar-benar belaku dalam masyarakat kita hari ini.

Yang pertama, wujud mereka yang berkuasa yang melakukan kezaliman dengan sebab meninggalkan hukum hakam Allah SWT, maka mereka melakukan tindakan-tindakan mengikut hawa nafsu mereka seperti lembu yang mengibas-ngibas ekornya dan menggerakkan ekornya tidak henti-henti. Kezaliman kerana mengikut hawa nafsu seolah-olah tiada akal fikiran yang mampu menyekat mereka daripada menghukum manusia yang tidak bersalah, kejam terhadap harta benda manusia, rumah kediaman dan tanaman mereka.

Yang kedua, ialah golongan perempuan yang memakai pakaian yang menjolok mata, tidak menutup aurat, berpakaian dengan ketat sehingga menzahirkan bentuk tubuh badan seperti bertelanjang. Pada hari ini kita dapat melihat kegiatan mendedahkan wanita kepada kemungkaran. membuka aurat dianjurkan secara berleluasa dengan mendapat sokongan daripada pemerintah, atas nama pertunjukan kesenian, kebudayaan dan memperagakan pakaian. Di media, bermula daripada pembaca berita, pengacara program, penyanyi, pelakon sehingga sesetengah pembesar negara yang tumpang sama mendedahkan aurat.