Sumber : di sini

Oleh : Ahmad Haji Yassin

PAPAR – Bahagian Pantai Barai Utara (PBU) muncul sebagai johan keseluruhan Majlis Ko-Kurikulum Peringkat Sekolah Agama Islam Negeri (SAN) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Peringkat Negeri 2012 yang didakan di Sekolah Menengah Agama Islam Negeri Pantai Manis Papar.

Pantai Barat Utara muncul sebagai johan keseluruhan dengan mendapat 14 mata. Tempat kedua jatuh kepada Bahagian Tawau dengan memperolehi 13 mata manakala tempat ketiga jatuh kepada Bahagian Pantai Barat Selatan dengan 11 mata. Pedalaman Atas mendapat tempat keempat dengan 9 mata, Pendalaman Bawah 4 mata dan Bahagian Sandakan dengan mata 3 mata. Sebanyak 5 kategori telah dipertandingkan dalam majlis tersebut iaitu Tilawah Al-Quran, Hafazan, Bercerita, Maharah dan Nasyid.

Majlis Penutupan Ko-Kurikulum telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Hajah Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang juga Ahli Parlimen Papar. Ketika berucap merasmikan majlis, Datuk Hajah Rosnah menyeru kepada semua pihak terutama ibubapa dan guru agar bekerjasama dalam mengangkat martabat ko-kurikulum sebagai elemen penting yang lengkap dalam sistem pendidikan negara seperti yang terkandung di dalam pelan Induk Pembangunan, katanya.

Ko-kurikulum amat penting bagi pembangunan sekaligus dalam melahirkan modal insan dan kekuatan bangsa dengan nilai-nilai murni yang menjadi pegangan diri, selain menjadikan pendidikan sesuatu yang amat menyeronokkan, tegasnya.Beliau juga mahu penglibatan semua pihak termasuk ibubapa dan guru dalam aktiviti ko-kurikulum ini sekaligus dapat mengharumkan nama sekolah dan negara kerana ia merupakan titik permulaan para pelajar mengembangkan bakat yang terpendam dalam diri mereka, katanya. Beliau juga menyambut baik rancangan tranformasi pendidikan yang meliputi dasar satu murid bergiat dalam satu sekurang-kurangnya satu jenis sukan yang telah mula dilaksanakan pada tahun ini.

Pada majlis itu, Datuk Hajah Rosnah juga turut menyampaikan sumbangan yang disalurkan oleh Pusat Zakat dari Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) berjumlah RM168,000 kepada 2 buah Sekolah Menengah Negeri Toh Puan Hajah Rahmah, Kinarut dan Sekolah Menengah Agama Negeri Pantai Manis, Papar dan 10 buah Sekolah Agama Negeri (SAN).

Menurut Datuk Hajah Rosnah, sebagai umat Islam, kita bertanggungjawab membuktikan kepada masyarakat bukan Islam bahawa sistem pendidikan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W amat sempurna dan keindahan Islam itu sebenarnya diterima & dihormati oleh semua bangsa di dunia ini dan sehingga kini ianya menjadi model serta ikutan sepanjang zaman. Ini jelas bahawa pendidikan ko-kurikulum adalah satu pendidikan yang amat penting bagi pembangunan modal insan kepada kita, tegasnya.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINS, Ustaz Haji Saifuddin Haji Daud, Pengetua Sekolah Menengah Agama Negeri Pantai Manis Papar, Ustaz Hamdani Omar, Ustaz Abdul Rahman Talipuddin, Ustaz Mohd Taif Kassim, Ustazah Aisah Kasan, Ustazah Hajah Zubaidah Jumadi dan Ustazah Hajah Zaiton Abdul Rahman.