Ini kali kedua saya mendengar ceramah beliau di Sabah, setelah kali pertama di Surau Taman Austral pada tahun 2010. Ketika itu beliau menghuraikan ayat 1 daripada surah al-Furqan dengan satu kupasan yang sangat menarik. Sebelum itu juga saya ketahui pada malam yang sama selepas maghrib beliau berkuliah di Masjid Kg Muhibbah Petagas tetapi saya memilih untuk menunggu di Surau Austral selepas solat isyak.

Ramai mengakui gaya ceramah, lenggok suara bahkan sehingga caranya menadah dan menyapu tangan ke muka selepas berdoa pun tidak tumpah seperti ayahanda beliau, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bahkan menatap dan menekuni bait-bait ceramahnya sedikit sebanyak mengubati kerinduan terhadap Tok Guru Nik Abdul Aziz yang terpaksa membatalkan kunjungannya ke Sabah pada bulan lepas.

Saya menekuni ceramah beliau berkenaan kesyumulan dan keindahan Islam yang menganggap bahawa ibadah itu bukan semata-mata solat sahaja sebagaimana difahami sebahagian orang. Jika dihitung-hitung kasar ibadah fardhu solat hanyalah sekitar 1 jam sehari, maka Islam telah menetapkan bahawa semua amalan baik dengan niat yang ikhlas dan kaedah yang menepati syarak dikira ibadah juga yang akan mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah SWT.

Setinggi penghargaan dan tahniah  buat seluruh JK Masjid yang mengendalikan dengan baik majlis malam tadi dengan promosi yang baik sehinggalah berakhirnya majlis ceramah, solat isyak dan jamuan ringan sekitar jam 8.30 malam.