Pada asalnya kuliah bulanan subjek sirah nabawi ini sepatutnya bermula pada bulan Mac lepas, namun berhalangan kerana saya ada tugasan di luar. Namun alhamdulillah, seperti yang diharapkan kuliah bermula juga akhirnya pada sabtu lepas dalam tempoh 2 jam di bilik mesyuarat Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Saya tabik kepada kesungguhan dan kerjasama berpasukan Syukbah Wanita Masjid Bandaraya yang diketuai oleh Dr Hajjah Suzain Datuk Suhaimi yang dikenali sebagai tunggak bagi syukbah ini menjalankan aktivitinya. Apa yang saya tahu, kebanyakan aktiviti mereka dibiayai sendiri oleh kumpulan ini dan mereka yang terlibat. Antara aktiviti yang menjadi rutin syukbah ini ialah kelas al-Quran dan kelas-kelas agama serta program ziarah pesakit paliatif iaitu pesakit-pesakit kronik.

Kembali kepada kuliah sirah ini. Sebenarnya di satu sisi saya merasa gerun juga untuk menerima jemputan syukbah ini kerana saya bukannya pakar dalam bab sirah. Apatah lagi mereka meminta saya memulakan perbincangan tentang objektif dan menghuraikan susur galur @ salsilah para nabi bermula daripada Nabi Adam AS sehingga kepada Rasulullah SAW, juga pecahan antara bangsa arab dan bani israil yang patut diketahui.

Namun undangan ini saya anggap sebagai satu cabaran untuk saya sendiri mendalami dan membaca lebih banyak maklumat tentang kisah-kisah para nabi seterusnya berkongsi dengan mereka serta mengambil teladan akan kisah-kisah yang dikongsikan. Pada akhir perbincangan, saya meminta mereka membuat 5 kumpulan untuk masing-masing melakukan sedikit carian berkenaan kisah-kisah 5 rasul ulul azmi – Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW untuk dibentang pada bulan hadapan. Insya Allah.