Ini salah sebuah masjid atas air yang ada di Kota Kinabalu.

Ia sebuah masjid kampung yang pernah saya ziarahi dan berkhutbah sekali di sini. Ada dua laluan menggunakan titi/jambatan ke masjid ini, satu dari arah hadapan kampung mengambil masa 10-15 minit berjalan kaki dan satu lagi dari arah belakang – dan arah belakang lebih hampir sekitar 5 minit saja menuju ke masjid.

Menurut maklumat Tuan Mat Said Sarak Pengerusi JK Masjid berkenaan yang saya hubungi masjid ini bermula sekitar awal tahun 90an dan bermula sebagai surau sahaja. Ia kemudian dinaiktaraf  sebagai masjid akhir tahun 90an atau awal tahun 2000. Kehadiran solat jumaat di sini melebih 100 orang walaupun masjid boleh memuatkan sekitar 400 jamaah pada satu-satu masa.

Tuan pengerusi juga mengharapkan sokongan dan dukungan para ustaz untuk membantu mengimarahkan masjid ini memandangkan kehadiran masjid ini tidak diketahui ramai terutama orang luar kerana kedudukannya di tengah-tengah perkampungan atas air. Insya Allah jika ada kehadiran penceramah jemputan, ingin juga sesekali saya menawarkan peluang kuliah khas kepada mereka.

Tahniah atas kesungguhan pengerusi, imam Ustaz Zainuddin Serudin dan seluruh AJK masjid berkenaan.