Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu :

(1) Imam (pemimpin) yang adil, (2) Pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, (3) Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, (4) Dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, (5) Seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, (6) Seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, (7) Seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Kuliah pengajian tajwid al-Quran dan tafsir di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral sudah berjalan lebih 4 tahun. Sudah ada kalangan peminat dan jamaahnya yang berpindah dan ada juga orang-orang yang baru. Minggu lalu, pengajian kami sudah memasuki juzu’ 8, surah al-An’am. Sebelum ini pun selepas habis surah al-Baqarah, pernah ditalaqqikan surah Yasin sebelum kembali ke surah Ali Imran.

Kehadiran ke kuliah rabu malam khamis ini sentiasa turun naik, macam iman juga. Kehadiran minggu lepas saya kira juga memberansangkan. Surau yang kecil, dengan kehadiran 15-20 orang yang membulati saya di hadapan, ia sudah kelihatan ramai. Merenung foto ini, saya baru perasan, 12 daripada 16 yang hadir adalah orang muda belaka. Harapnya mereka termasuk dalam hadith di atas, pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah dan lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid.

Orang muda geng kita!