Barangkali tidak ramai mengetahui bahawa di satu jalan masuk belakang Puspakom di Jalan Lintas terdapat sebuah kampung sejak tahun 1978 dan di dalamnya terdapat sebuah masjid yang besar yang boleh memuatkan sekitar 1000 jamaah di dalam dan luar pada satu-satu masa. Mungkin wajar difikirkan oleh JK Masjid ini untuk meletakkan papan tanda arah masuk ke masjid di simpang masuk kampung berkenaan.

Foto di atas ialah Masjid an-Nur Kg Cenderakasih Kolombong yang baru setelah masjid yang lama dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid yang baru pada tahun 2001 di tapak yang sama. Saya sendiri pernah menjadi khatib sekali di sini ketika kami berkunjung bersama TYT ketika itu Tun Ahmadshah Abdullah. Saya dapati pula ketika solat jumaat di sini, kaum ibu @ muslimat juga berbondong-bondong hadir mendengar khutbah dan solat jumaat bersama-sama.

Selain jamaahnya di kalangan penduduk kampung, jamaah yang turut mengimarahkannya terutama pada hari jumaat ialah pekerja Puspakom, dan pelajar GiatMARA yang lokasinya berdekatan dengan kampung berkenaan. Satu ketika dahulu sahabat saya Ustaz Mohd Khidir pernah membantu mengimarahkan masjid ini dengan menyampaikan kuliah maghrib menggunakan kitab Riyadhus Solihin.

Apa yang saya sukai tentang masjid ini ialah kedudukannya yang berada di tengah-tengah kampung di kelilingi oleh rumah-rumah orang kampung dan berdekatannya pula ada sebuah bangunan sekolah agama rakyat dan tadika, Mudah-mudahan ia menjadikan penduduk dan anak-anak di sini mesra dengan masjid. Terima kasih Imam Jefry Daban yang memberikan sebahagian maklumat ini.