Khatib : Tuan Haji Zakaria Muid

Lokasi : Masjid Tun Ahmadshah, Kg Inanam Laut

Maksud firman Allah SWT : “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi Maha Meliputi ilmu pengetahuanNya”. (Surah Al Baqarah, ayat 261)

Beruntunglah orang yang bersedekah atau suka menderma itu. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa sedekah tidak mengurangkan harta. Sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Tiga hal yang aku bersumpah atas ketiganya: Tidak berkurang harta kerana sedekah, tidak teraniaya seorang hamba dengan aniaya yang dia sabar atasnya, melainkan Allah Azza wa Jalla menambahinya kemuliaan dan tidak membuka seorang hamba pintu permintaan, melainkan Allah membuka atasnya pintu kefakiran”. (HR Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah).

Semasa hidup di dunia kita semua mempunyai harta, wang ringgit serta saham bernilai ratusan, ribuan, bahkan jutaan dalam bank-bank untuk keperluan dan simpanan sepanjang hidup ini. Maka tentunya untuk sebuah kehidupan kekal abadi di akhirat nanti, kita juga perlukan harta dan saham berupa pahala sebagai dana dan saham kita untuk menjalani kehidupan di sana. Harta, wang ringgit dan saham kita di akhirat nanti bukan lagi wang ringgit dan saham seperti yang ada di dunia ini, tetapi ia berupa amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan yang kita lakukan di dunia yang akan bertukar menjadi nilai pahala atau RM pahala atau harta pahala atau saham pahala.