Telupid merupakan pekan kecil yang berada di bawah pentadbiran daerah Beluran. Pengguna jalanraya dari Kota Kinabalu ke Sandakan akan melalui pekan ini yang terletak di tengah-tengah perjalanan antara Ranau dan Sandakan. Menurut catatan wikipedia, Pekan Telupid dianggarkan 98 km dari pekan Ranau, 100 km dari pekan Beluran, dan 130 km dari bandar Sandakan.

Setiap sabtu akan diadakan pasar tamu di satu perkarangan yang luas di pekan ini, tidak jauh dari masjid daerah yang baru. Hanya dalam persinggahan kami melihat kawasan pasar tamu ini tidak dijaga sepenuhnya. Alangkah baik jika kawasannya diturap, paling tidak dengan simen untuk kemudahan rakyat juga. Begitu juga gerai-gerai mereka patut dibantu untuk dibinakan gerai yang lebih baik atau seragam.

Kami meronda-ronda sebentar di kawasan pekan memandangkan seorang rakan musafir kami ini adalah anak kelahiran Telupid yang kemudian berhijrah ke Semenanjung dan kemudian kembali ke Kota Kinabalu pula. Bagi kami, Telupid berpotensi dikembang dan dimajukan apatah lagi ia menjadi laluan penting pengguna jalanraya termasuk menjadi lokasi persinggahan bas-bas ekspress dari Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.