Saya suka melihat anak-anak antara 10-12 tahun mempersembahkan bakat beragama mereka seperti tilawah al-Quran, menghafaz al-Quran, maharah al-kitabah wal qiraah (kemahiran menulis dan membaca bahasa Arab), bercerita kisah agama dan nasyid seperti mana yang kami saksikan dalam Majlis Ko-Kurikulum Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Agama Rakyat peringkat Pantai Barat Selatan di SAN Kepayan selasa lepas.

Mereka bersaing secara sihat, mewakili daerah masing-masing iaitu dari Kota Kinabalu/Putatan, Papar dan Tuaran mencari pemenang sebelum ke peringkat negeri nanti. Guru-guru dan pegawai-pegawai JHEAINS turun memberikan sokongan dan dukungan dalam majlis ini agar anak-anak tetap bersemangat untuk cintakan agama. Bagi saya ia sesuatu yang sangat baik dan perlu ditingkatkan daripada masa ke masa.

Seperti saya dan rakan-rakan hakim yang lain yang diamanahkan dalam bahagian tilawah al-Quran, melihat potensi dan bakat anak-anak ini membaca al-Quran dengan cekap sekali, termasuk mampu menguasai asas-asas tajwid dan tarannum dengan indah. Tahniah kepada guru-guru yang membimbing dan juga ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berbakat ini.

Semoga mereka semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Amin