Foto yang dapat dari google.

Ini satu masjid yang menjadi kegemaran saya untuk singgah solat khususnya dalam perjalanan pergi ke Kota Belud atau balik ke Kota Kinabalu. Masjid Darul Iman Kg Bunga, Tenghilan, yang saya dimaklumkan digunakan sejak tahun 2003 dan boleh memuatkan sekitar 300 orang jamaah pada satu-satu masa. Sukanya saya kepada masjid ini kerana lokasinya yang strategik di tepi jalan khususnya memudahkan orang bermusafir singgah menunaikan solat dan hajat-hajat lain.

Tenghilan, adalah satu pekan kecil yang terletak dalam daerah Tuaran. Berada di antara Pekan Tuaran dan Pekan Kota Belud. Komuniti di sini yang saya tahu adalah campuran antara bajau dan kadazan. Mungkin ada juga suku kaum yang lain. Seorang kenalan saya berasal dari kawasan Tenghilan ini, dan dia mengatakan terdapat beberapa buah surau lain di sekitar sini dan mengarah ke kawasan dalam.

Di Masjid Kg Bunga ini seingat saya pernah menjadi tuan rumah bagi Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Tuaran beberapa tahun lalu. Saya kurang maklum aktiviti pengimarahan masjid ini selain solat fardhu dan pengimarahan ramadhan. Kadang-kadang sesetengah JK Masjid merasa selesa dan memadai dengan solat fardhu saja dan majlis baca yasin malam jumaat. Saya kira masjid-masjid perlu diberikan suntikan dengan idea-idea baru agar masjid benar-benar berfungsi sebagai pusat Islam bagi masyarakat setempat.

Semoga masjid ini terus makmur dan mekar seperti ‘Bunga’. Saya kira ustaz-ustaz di sana seperti Ustaz Azim dan Ustaz Adzri boleh berperanan lebih demi kebaikan semua bersama seluruh AJK dan masyarakat Islam di sana.