Khatib : Imam Amiruddin Amir

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang akan berakhir di alam kubur. Seorang ulama al-Rifa’i pernah berkata : “Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali alam kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali buat selama-lamanya.

Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan, dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya fasih bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula pernah berkata kepada beberapa orang rakannya di dalam satu majlis, “Wahai fulan, engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang alam kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu keadaan sebenarnya dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya .”

Ketika khalifah Umar mengiringi jenazah sahabatnya lalu kubur memanggilnya dan bertanya, “ Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukah aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan terhadap jenazah yang kau cintai ini? Ya jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya. Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Tentu jawab Umar.

Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya.aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya. Khalifah Umar menangis dan berkata.” Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Yang muda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku dan bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang diturunkan oleh tuhanku.

Pada akhir zaman ini, semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam berzakh dan Mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan kerjaya, kemewahan dan kelazatan kehidupan dunia serta hiburan. Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrael datang dengan mencabut nyawanya.

Saidina Ali RA pernah berkata, “bahawa manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak”.

Kesibukan mencari keseronokan dan kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Sebagai contoh mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti penagihan dadah, arak,  pengamal seks bebas sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat-ubat jalanan yang mengandungi dadah dan bahan-bahan terlarang bagi menambah lagi nikmat keseronokan.

Perbuatan ini seolah-olah mengali lubang kubur sendiri. Mereka ini akan menanggung siksaan hidup dengan penyakit-penyakit kronik yang akhirnya membawa kepada kehancuran dan kematian.