Sumber berita : di sini

Oleh: Ahmad Haji Yassin

KOTA KINABALU – Adik Nurfadhilah binti Syamsudin telah dianugerahkan pelajar terbaik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Menengah Agama Malaysia (STAM) 2011 dengan pencapaian 6 Mumtaz, 3 Jayyid Jiddan dan 1 Jayyid semasa Majlis Ihtifal Sekolah Menengah Agama Islam Toh Puan Hajah Rahmah Kinarut di Dewan Saadah Wisma MUIS, dekat sini pagi tadi.

Empat orang pelajar STAM yang lain telah mendapat Jayyid Jiddan ialah Syahrul Hikma Ramadan Syamsuddin yang mendapat 4 Mumtaz dan 6 Jayyid Jiddan, Nusaibah Idrohom mendapat 4 Mumtaz dan 6 Jayyid Jiddan, Mohd Hafiz Mohd Sidik mendapat 3 Mumtaz, 6 Jaiyid Jiddan dan 1 Jaiyid manakala Ghazali Anang mendapat 3 Mumtaz, 6 Jayyid Jiddan dan 1 Jayyid.

Majlis Penyampaian Hadiah & Sijil kepada para pelajar cemerlang telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Tuan Haji Saifuddin Haji Daud yang mewakili Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri A. Suratman. Dalam teks ucapan Datuk Pengarah yang disampaikan oleh Haji Saifuddin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Sekolah Menengah Agama Negeri Toh Puan Hajah Rahmah diatas kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai dalam peperiksaan.

Peperiksaan Menengah Rendah 2011 telah mendapat keputusan 100% lulus, 5 orang pelajar mendapat 9A manakala Sijil Menengah Agama (SMU) telah mendapat keputusan 98.9% lulus. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat keputusan 100% lulus, adik Nazira binti Shamad dalam aliran Sains mendapat 9A & 2B manakala adik Nurhaida binti Makda dalam aliran Sastera mendapat 8A & 2B.

Datuk Amri juga  mahu SMAN Toh Puan Hajah Rahmah agar terus melahirkan pelajar cemerlang. Oleh sebab itu, beliau menyarankan kepada seluruh warga pendidik termasuk pengetua agar merancang hala tuju seperti yang digariskan dalam pelan strategik SMAN Toh Puan Hajah Rahmah (2012 – 2016) dapat direalisasikan kerana ianya merupakan amanah yang perlu dilaksanakan oleh warga pendidik bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam membina sebuah negara maju pada tahun 2020, katanya.

Katanya, kita penuh yakin, sekolah tersebut telah banyak melahirkan ramai pelajar yang berwibawa dan berketerampilan. Pada hari ini, ramai dikalangan mereka bukan sahaja berkhidmat dengan JHEAINS tetapi juga berkhidmat dengan jabatan-jabatan lain termasuklah menjadi pensyarah di universiti-universiti tempatan. Ini merupakan satu kejayaan yang telah dicapai sejak beroperasi pada 1974 lagi.

Kepada para pelajar, beliau menyarankan bahawa dalam era globalisasi pelajar seharusnya sanggup menghadapi pelbagai cabaran baru dalam dunia pendidikan yang sentiasa berubah-ubah. Peranan pelajar kini semakin mencabar dalam usaha membina diri untuk menguasai pelbagai ilmu. Dalam kita memburu kemajuan, jangan pula dilupakan aspek kerohanian, akhlak, dan tatasusila. Setiap individu berperanan menjana kecemerlanghan berlandaskan akal budi yang luhur, tegasnya.

Terdahulu dalam ucapan Pengetua SMAN Toh Puan Hajah Rahmah, Tuan Haji Omar Gana meminta pihak pengurusan JHEAINS agar dapat membina dua bilik makmal sains dan makmal bahasa. Ini bagi memudahkan para pelajar bagi meningkatkan lagi kecemerlangan pelajar. Selain itu, beliau juga mengharapkan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam STAM 2011, dalam aliran Sains dapat dihantar ke Universiti Al-Azhar di Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, katanya.