Alhamdulillah, malam tadi saya menyertai Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ustaz Haji Sipri Abdul Razak dan Ustaz Japar Ibrahim bertugas sebagai hakim Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Kota Belud. Memang ketika ini adalah musim MTQ daerah-daerah sedang berlangsung sebelum menghadapi MTQ Negeri yang akan diadakan pada pertengahan Mei nanti di Kota Kinabalu.

Untuk tahun ini, inilah pertama kali saya dapat menyertai sebagai hakim MTQ peringkat daerah walaupun sebelum ini ada pelawaan daripada urus setia penghakiman di JHEAINS untuk bertugas di Tuaran dan Pulau Banggi tetapi berhalangan. Bertugas sebagai hakim MTQ di mana-mana peringkat sebenarnya dapat mengasah kemahiran dan berkongsi pengalaman apatah lagi kadang-kadang dapat bertugas bersama-sama dengan mereka yang lebih berpengalaman.

Di perjalanan kami, Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok ada bercerita tentang serba sedikit perkembangan tilawah al-Quran pada zaman-zaman beliau dahulu. Katanya, sekitar tahun 70an dan 80an, MTQ adalah sesuatu yang dinanti-nanti oleh masyarakat Islam termasuk di kampung-kampung dan daerah dan negeri. Qari qariah juga berlumba-lumba belajar ilmu tarannum sehingga melahirkan qari-qariah yang hebat.

Secara jujurnya, beliau melihat perbezaan yang ketara pada zaman ini di mana kadang-kadang majlis-majlis tilawah al-Quran di peringkat daerah dan jabatan-jabatan kehadirannya agak berkurangan atau terpaksa dikerah untuk hadir. Beliau ada menyebutkan satu MTQ di sebuah daerah yang dihadirinya apabila melihat kehadiran sangat menyedihkan. Kadang-kadang MTQ diadakan hanya sekadar buat dan asal ada.

Berkenaan MTQ Daerah Kota Belud, saya kira wajar menekuni ucapan Pegawai Daerah Tuan Abdul Gari Itam dalam majlis berkenaan agar pihak-pihak berkaitan terutama para guru al-Quran dan masyarakat Islam keseluruhannya dalam melihat ‘kejatuhan’ Kota Belud dalam dunia tilawah al-Quran sehingga pada tahun 2011 lepas tiada seorang qari atau qariah yang layak ke saringan akhir negeri (dengan mendapat markah 70% di peringkat daerah).

Sedangkan jika kita menelusuri sejarah MTQ di peringkat negeri dan kebangsaan, daerah Kota Belud pernah melahirkan wakil-wakil qari qariah yang  pernah sampai ke peringkat kebangsaan. Sudah tentu bagi peminat MTQ akan mengingati Allahyarham Abdul Malik Lilah pada 70an dan 80an, Puan Hajjah Alinsam Haji Zaman pada tahun 90an dan awal 2000 serta tidak ketinggalan Tuan Haji Madli Mansur yang pernah menjadi johan negeri pada tahun 2005.

Kehadiran malam itu bagi saya agak sederhana saja. Tidak terlalu sedikit dan tidak terlalu ramai. Barangkali kerana program ini sejak siang disatukan dengan Festival Kesenian Islam peringkat daerah menyebabkan ramai peminat-peminat nasyid dan marhaban hadir lebih ramai. Saya seronok melihat makcik-makcik datang dari kampung-kampung menaiki ‘pikap’ bagi memeriahkan majlis berkenaan.

Adapun foto yang saya kongsikan di bawah adalah ketika majlis baru bermula ketika Pegawai Daerah sedang berucap. Apabila bacaan qari dan qariah bermula, kami para hakim berkumpul di bilik khas yang disediakan. Saya juga terharu dapat bertemu dengan pendakwah lama Ustaz Haji Abdul Muttalib Indra yang banyak berjasa khususnya di daerah ini. Tahniah kepada semua yang terlibat khususnya rakan-rakan JHEAINS Kota Belud dan qari qariah yang menyertai MTQ kali ini.