“Mulakanlah menulis!”

Kata Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah apabila ditanya seorang rakan tentang bagaimana hendak bermula dalam dunia penulisan. Memang, bagi dirinya sendiri diperingkat awal dahulu juga bermula dengan meminati dan mencontohi corak penulisan seseorang yang diminatinya. Lalu kemudian beliau mempunyai corak penulisannya sendiri.

Sejak saya dimaklumkan kedatangan Saudara Ahmad Lutfi Othman ke Kota Kinabalu beberapa minggu sebelum ini, saya menyediakan waktu untuk dikosongkan agar dapat bersama-sama mendengar ceramah atau pembentangan beliau berkenaan dengan dunia penulisan dan media.

Saya meminati tulisan beliau khususnya dalam majalah Tamadun dan Detik satu ketika dahulu walaupun ketika itu saya masih bergelar pelajar di maahad. Dalam harakah cetak kini, saya suka sekali membaca ‘Catatan Hujung’ yang beliau tulis. Bahkan buku kompilasi beliau itu juga ada dalam senarai koleksi buku saya di rumah.¬†Sebenarnya saya suka dengan gaya pemikirannya dan membaca catatan perjalanan apabila beliau berjalan ke pelusuk negara melihat dan meninjau suasana politik semasa.

“Yang paling penting dalam penulisan ialah integriti”, katanya yang mahu penulis mempunyai sifat kejujuran apatah lagi dia seorang muslim dan mengetahui bahawa segala tulisannya akan dipertanggungjawab di mahkamah Allah SWT. Dalam sembang sekitar sejam setengah itu banyak pengalaman beliau dikongsi bersama khususnya berkaitan media.

Kawan-kawan yang hadir dalam pertemuan santai itu mengakui kegigihan beliau walaupun terpaksa berjalan menggunakan tongkat, termasuk naik ke tingkat 2 di lokasi pertemuan kami. Semoga Allah memberi kekuatan kepada beliau.