Archive for Mac, 2012


Masjid yang kami singgahi untuk solat jamak zuhur dan asar di Pekan Telupid ini kelihatan comel sekali. Masjid hijau ini saya dimaklumkan bernilai sekitar RM200 ribu. Walaupun masjid ini berada jauh dari bandar utama seperti Kota Kinabalu dan Sandakan, saya berharap jamaah masjid ini tetap aktif sebagaimana namanya mengambil nama tokoh ulama’ yang hebat – Dr Yusuf al-Qaradhowi.

Masjid ini kelihatannya masih baru, mungkin baru sekitar setahun dua. Di perkarangan masjid ini masih dijalankan kerja-kerja menyimen dan di hujung kawasan masjid ini sedang dibina sebuah bangunan – mungkin sebuah rumah untuk keperluan masjid berkenaan. Hanya pada pandangan kami, lokasi masjid yang strategik ini patut lebih dipermudahkan dengan satu lorong/jalan dari jalan utama terus menuju ke masjid berkenaan (mungkin sudah dalam perancangan).

Saya berseloroh kepada rakan-rakan serombongan, kehadiran masjid ini atas nama ulama tersohor ini wajar dimaklumkan kepada empunya nama, siapa sangka nun jauh dari Mesir selaku negara asalnya atau Qatar selaku negara tempat beliau tinggal kini, ada sebuah masjid nun di daerah Telupid dalam Parlimen Beluran mengambil nama Dr Yusuf al-Qardhowi sebagai nama masjid ini. Saya kira beliau akan berbesar hati dan orang yang mencadangkan nama ini pula sangat berpandangan jauh!

Semoga daerah ini akan melahirkan tokoh-tokoh ulama’ hebat seperti beliau.

Rombongan kami dari Kota Kinabalu yang berziarah ke Sandakan ini majoritinya bercerita hendak makan malam di Bandar Sim-Sim. Soal itu saya mendiamkan diri saja, mengikut kata kawan-kawan yang lain yang lebih tau tempat makan malam yang sedap di sini. Pemandu kami, saudara Achok rancak memandu sambil ditunjukkan oleh Hamsa yang memang berasal dari Sandakan ini.

Seronok bercerita dengan Hajjah Masati yang sudah bergelumang lebih 10 tahun mengusahakan ikan bakar di sini, walaupun sesekali sembang kami tergendala dan terputus-putus kerana mengatur pelanggan yang ramai malam itu. Beliau mempunyai 30 orang pekerja, sebahagian besar bergaji hari. Hajjah Masati menguntum senyum memberitahu kami, mereka menempah tidak kurang 180 kg ikan setiap hari bagi keperluan pelanggan mereka.

Merasai nikmat ikan bakar mereka malam itu memang berselera sekali. Menempah 4 potong pada pusingan pertama rupanya tidak cukup. Kami menempah lagi beberapa ekor ikan putih lengkap dengan cicah dan sambalnya sekali. Alhamdulillah. Selamat datang ke ‘Ikan Bakar Mama Resipi’.

KISAH SYRIA 4

Sumber : http://www.facebook.com/pages/Rakyat-Malaysia-Bersama-Revolusi-Syria/308664102508100

Pihak berkuasa Israel mengambil kesempatan tumpuan dunia dan umat Islam terhadap isu Syria dengan melakukan serangan ke atas penduduk Gaza selama 4 hari berturut-turut. Serangan ganas tentera Yahudi itu bermula Jumaat lalu dan hingga Isnin 12 Mac 2012 lalu, angka kematian rakyat Gaza mencecah 23 kematian dan 82 kecederaan. Menurut sumber, daripada 23 kematian tersebut, tiga daripada mereka merupakan kanak-kanak.

Tentera Zionis kembali mengganas terhadap rakyat Gaza yang bertujuan mengenakan tekanan kepada kerajaan HAMAS di Gaza dan menghukum penduduk Gaza yang memilih HAMAS sebagai kerajaan mereka dalam pilihanraya sebelum ini. Kita ingin katakan kepada Palestin dan rakyat Gaza, “Sekalipun kami tertumpu kepada Syria, kami tidak sama sekali melupakan kalian! Kami tidak akan lupakan kiblat pertama kami iaitu Masjidil Aqsa!”

13 Mac 2012, Dar’a : Selain membunuh dan menyembelih ribuan rakyat Syria, rejim Bashar juga membakar al-Quran kitab suci umat Islam. Laknat Allah ke atas mu wahai Bashar!

13 Mac 2012, Idlib : Sehingga hari ini, wilayah Idlib sudah masuk hari yang ketiga diserang secara berterusan tanpa henti oleh rejim Bashar. Ramai dalam kalangan mereka dibunuh dan disembelih, majoriti yang syahid adalah kanak-kanak.

Angka kematian rakyat Syria dalam tempoh 363 hari sehingga 11 Mac 2012 lalu seramai 10,709 manakala wilayah Homs adalah tertinggi (4,488 orang), diikuti Idlib (1,752), Dar’a (1,188), Hama (1,113) dan diikuti wilayah-wilayah lain.

Bayangkan sebuah keluarga dibunuh kesemua, tidak terselamat walau seorang diri.Demikian pendedahan oleh Jaringan Hak Asasi Manusia Syria bahawa terdapat 271 kes pembunuhan rakyat yang kebanyakan mereka dari beberapa buah keluarga besar. Sumber tersebut melaporkan, pihak tentera menyerbu masuk ke rumah-rumah lalu menyembelih mereka menggunakan pisau, melepaskan tembakan atau menghalang mereka di saat mereka cuba melarikan diri dari tempat serangan. Nyawa mereka juga tidak akan selamat jika diketahui bahawa mereka adalah keluarga kepada aktivis revolusi atau pernah membantu “Tentera Bebas” yang berpaling tadah dari rejim Syria.

Jaringan tersebut mendedahkan terdapat 27 buah keluarga besar yang dibunuh, 23 daripadanya dalam operasi terakhir di wilayah Homs iaitu keluarga Darwish, Muhaini,Az-Zamil,At-Turkawi,Al Ghontowi,Bahlaq, Atfah, Mandou, Syabat, Hamsah, Az-Za’bi,Tohhan,El-Jauri,Ar-Rifaii,Al-Uwaikan,Subbuh,Jansis,Al-Dhohir,Al-Souf, El-Bairaini dan 3 buah keluarga dari Al-We’r. Sementara 25 kes lagi pembunuhan di beberapa lokasi lain termasuk terdapat nama 34 orang kanak-kanak dari keluarga tersebut yang turut menjadi mangsa.

Bagai jatuh ditimpa tangga: Bandar Idlib pada 14 Mac 2012: Seorang kanak-kanak cedera, ibunya turut cederama nakala ayahnya terkorban dan salah seorang saudaranya hilang di bawah runtuhan. Ya Allah, mereka tiada apa-apa lagi selainMu wahai Allah! Peliharalah mereka ya Allah!

Tarikh 15 Mac 2012, genap setahun revolusi yang digerakkan oleh rakyat untuk menjatuhkan pemerintah berkuku besi rejim Bashar.  Walaupun beribu-ribu nyawa telah melayang, namun mereka masih lagi teguh dan tetap dengan tuntutan mereka agar rejim Bashar digulingkan. Sekarang mereka sudah tidak mengharapkan sesiapa melainkan nusrah (bantuan) daripada Allah. Gambar menunjukkan rakyat Syria yang berada di Jordan memperingati tarikh genap setahun kebangkitan rakyat di Syria yang masih tidak berkesudahan. Wahai umat Islam yang masih leka, bangunlah kalian daripada lena!

Homs, Jumaat, 16 Mac 2012 : Rakyat Syria yang masih teguh bertahan walaupun mereka diasak dengan pelbagai kezaliman daripada Regim Bashar. Sungguh, mereka lah pejuang yang sejati

Membunuh Basyar Fardhu ‘Ain bagi Setiap Muslim dan Pembunuhnya Dibalas Syurga-Sofwat Hijazi

Setiausaha Agung Ikatan Ahlu Sunnah, Dr.Sofwat Hijazi memberikan fatwa supaya Basyar Al-Asad dibunuh bahkan katanya, “Sesiapa yang berpeluang membunuh Basyar tetapi tidak membunuhnya maka dia berdosa.” Hijazi yang juga Ketua Pemegang Amanah Revolusi Mesir itu berkata, “Sesiapa yang dapat membunuh Basyar maka dia akan memperolehi balasan syurga,” katanya dalam pertemuan Khamis lalu anjuran Kesatuan Doktor-Doktor Perubatan dan Ikatan Ahlu Sunnah di bawah tajuk (Peranan Ummah dan Ulama’ Islam Dalam Membantu Syria dan Palestin).

Kata beliau lagi, “Jika wajah saya tidak dikenali nescaya saya akan pergi membunuhnya (Basyar) dan sesiapa yang mampu membunuhnya maka bunuhlah dia dan aku bertanggungjawab terhadap darahnya.”  Sofwat Hijazi kemudian menjelaskan bahawa fatwa tersebut bukan dikeluarkan oleh dirinya seorang bahkan ia melibatkan fatwa seratus orang ulama’ dari pelbagai pertubuhan Islam termasuk Ikhwan Muslimin, kumpulan Salafi dan lain-lain seraya menguatkan dengan jelas bahawa “membunuh Basyar merupakan fardhu ain ke atas umat Islam hari ini”.

Sementara itu seorang lagi ulama’ terkenal dari Mesir Dr.Jamal Abdul Sattar yang merupakan Penyelaras bagi Kesatuan Pendakwah Mesir berpendapat bahawa “Jenayah Basyar yang membunuh puluhan ribu rakyatnya tanpa membezakan antara lelaki atau orang tua atau kanak-kanak seperti yang dilakukan oleh Yahudi terhadap umat Islam di Palestin. Jelas Abdul Sattar lagi, tidak perlu menghormati orang yang zalim walaupun dia mendakwa dirinya masih Islam.

(Admin) Jika ini fatwa ulama’ dunia, bagaimana terdapat pandangan songsang diberikan oleh Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas Menteri Penerangan Malaysia yang jelas bertentangan dengan fatwa ulama’ di seluruh dunia? Adakah Tan Sri mahu membela kezaliman? Awas Tan Sri! Kelak Tan Sri akan disambar oleh api neraka!

Qardhawi Seru Umat Islam dan Arab Menentang Iran dan Hizbullah

Presiden Kesatuan Ulama’ Islam SeDunia, Prof. Dr.Yusuf Al-Qardhawi membidas dua pihak yang bersekongkol dengan rejim Syria iaitu Iran dan Hizbullah. Lebih mengejutkan, beliau sendiri tidak lagi memanggil Hizbullah tetapi “Hizbul Lata” sambil meminta seluruh umat Islam berkumpul dalam ‘parit yang satu’ bagi menentang dua sekutu Syria ini. Seruan beliau ini dinyatakan dalam ucapan menyokong Revolusi Syria yang diadakan di Kesatuan Wartawan Mesir. Jelas beliau, “Kewajipan bagi semua untuk menentang Iran dan Hizbu Lata (Hizbullah), seluruh negara Arab perlu bersatu menentang kedua-duanya.”

Kepada rakyat Syria, ini ucapan beliau:  “Kalian bukan keseorangan tetapi Mesir bersama Syria, Libya bersama Syria, Tunisia bersama Syria, Morocco dan Jordan serta seluruh orang yang mulia dan merdeka di dunia ini bersama Syria. Wahai rakyat Syria, berjalanlah kalian di jalan kamu, berpeganglah dengan kebenaran kamu. Saya berpesan kepada kalian agar jangan sesekali berpecah-belah, jadilah tangan yang satu.”

***

“Rejim Syria akan jatuh.. jatuh dan saya akan berkhutbah di Damsyik terdekat ini”-Dr.Qardhawi

Presiden Kesatuan Ulamak Islam SeDunia, Prof.Dr.Yusuf Qardhawi masih tegas berpendirian bahawa rejim Syria “jatuh..jatuh” adalah sesuatu yang tidak mustahil bahkan negara yang menyokongnya seperti Iran dan kumpulan Hizbullah di Lubnan kedua-duanya akan tersungkur bersama-sama sekutu mereka itu.

Beliau yang berucap di Kesatuan Wartawan Mesir mengharapkan akan dapat menyampaikan khutbah Jumaat dalam bandar Damsyik dalam salah satu masjid dalamnya sepertimana beliau telah menyampaikan khutbah di dataran Tahrir, Mesir bagi meraikan kejatuhan Mubarak kira-kira seminggu selepas “Firaun Moden” itu digulingkan dalam kebangkitan rakyat 25 Januari.

Sumber Ikhwan Muslimin Mesir: Ribuan umat Islam menyertai solat Subuh berjemaah yang dilancarkan oleh kumpulan Islam dengan nama “Jutaan Subuh” bagi menyokong umat Islam di Palestin dan Syria yang diadakan serentak di seluruh masjid di Mesir pada Subuh pagi Jumaat, 16 Mac semalam. Di ibu negara Kaherah, lebih 6,000 umat Islam berhimpun di Masjid Nour di Abasiya hingga sebahagian mereka terpaksa menunaikan solat Subuh di atas jalan raya yang diimamkan oleh Dr.Khaled Abou Syadie dengan dikawal rapi oleh pasukan keselamatan. Selepas solat, mereka melaungkan “Dengan jiwa dan darah kami, menjadi tebusan buatmu Palestin”.

Di Masjid Amru Al-As, sekitar 2,000 umat Islam membanjiri masjid tertua di Mesir itu dengan diimami oleh Syeikh Mohamed Gibril. Solat Subuh turut dilakukan di dataran Tahrir yang menjadi pusat perhimpunan rakyat dalam menumbangkan rejim Mubarak lebih setahun lalu. Dengan suhu di Kaherah sekitar 8 hingga 10 darjah celcius, kira-kira 3,000 umat Islam berkumpul di awal pagi dengan mengibarkan bendera Palestin dan Syria sebelum menunaikan solat di jalan-jalan raya di dataran tersebut.

Kempen tersebut turut mendapat sambutan di luar Kaherah. Di wilayah Daqahliya ribuan umat Islam menunaikan solat di Masjid El-Salab dan Masjid An-Nasr.Di Masjid Gam’iya Syar’iya di bandar Mansoura, kuliah Subuh disampaikan oleh Syeikh ‘Amir El-Gazzar, salah seorang pemimpin Ikhwan Muslimin. Beliau berkata, perubahan politik di Syria bermakna saat kejatuhan Israel semakin hampir. Di bandar Ismaeliyya, ribuan umat Islam menunaikan solat di Masjid Abu Bakar As-Siddiq.

Kempen “Jutaan Solat Subuh” ini dilancarkan oleh kumpulan aktivis Islam bagi menunjukkan sokongan kepada saudara seIslam di Syria dan Palestin. Ia sebagai menyahut cabaran para pemimpin Yahudi sebelum ini yang berkata, “Israel hanya dapat dikalahkan jika bilangan solat Subuh umat Islam sama bilangan pada solat Jumaat”.

Al-Quran dibakar, wanita dirogol, kanak-kanak dibunuh, lelaki disembelih, masjid-masjid dibom, rumah diroboh dan pelbagai lagi kezaliman yang dilakukan oleh rejim Bashar kepada Sunni di Syria. Kenapa masih ada lagi yang buta terhadap semua ini?

Lagi bukti pembabitan Hizbullah: Tentera rejim Syria dan kumpulan Hizbullah Syiah Lubnan mengibarkan bendera kuning Hizbullah di atas runtuhan bangunan di wilayah Homs.  Saksikan video yang dirakamkan pada 17 Mac 2012 iaitu Sabtu lepas setelah tentera rejim berjaya memasuki beberapa penempatan di wilayah Homs. Jumaat lalu ulama’ Islam terkenal Prof.Dr.Yusuf Al-Qardhawi tidak memanggil Hizbullah tetapi “Hizbu Latta”.  Hentikan memuja Hizbullah dan Hasan Nasrallah!

Ulama’ yang benar-benar ikhlas dalam menegakkan agama Allah dapat dilihat keikhlasannya. Sekalipun memiliki sijil yang tinggi, tetapi tidak boleh dibeli atau digula-gulakan oleh pemerintah. Mereka sedikitpun tidak takut kepada ugutan demi menyatakan kebenaran dan sentiasa menegur serta menasihati pemerintah seperti yang dilakukan oleh Imam Ahmed bin Hanbal, Izzudin ‘Abdessalam dan Ibnu Taimiyah.

Salah seorang dari mereka kini yang tidak diketahui nasibnya ialah Syeikh Mehmoud ‘Elauddin Madani, imam dan khatib Masjid Uwais El-Qarni. Dilahirkan pada 22 Februari 1974. Memperolehi sijil Sanawiyah pada 1991 hingga mengembara ke Universiti Al-Azhar, Mesir bagi menuntut ilmu hingga memperoleh sijil tertinggi.  Syeikh Madani ditangkap oleh Pasukan Cawangan Khas Negara di Damsyik dalam tempoh 60 hari sebelum dibebaskan. Pada 2 Februari 2012 lalu, beliau sekali lagi ditangkap kerana bersama-sama kebangkitan rakyat dan masih belum dibebaskan hingga sekarang.

Dari halaman Ketua Kesatuan Ulama’ Syria, Prof. Dr.Ali As-Sobuni: Mohon semua agar mendoakan kesihatan yang berpanjangan buat beliau kerana beliau kini berada dalam keuzuran. Dr. Ali As-Sobuni merupakan salah seorang agamawan yang sanggup ke hadapan dalam menentang rejim Basyar. Beliau dilahirkan pada tahun 1930 di bandar Halab. Beliau pernah menjejakkan kaki ke Universiti Al-Azhar dan pulang menyampaikan amanah ilmu ke kampung halaman. Beliau kemudian berhijrah ke negara Saudi dan menjadi tenaga pengajar di Universiti Ummul Qura di Mekah.

Menceburi dalam bidang penulisan dengan menghasilkan banyak kitab-kitab yang tersebar di seluruh dunia hari ini. Usia yang telah menjangkau 82 tahun bukanlah penghalang kepada beliau bagi membakar semangat rakyat untuk menjatuhkan pemerintah yang zalim. Sekalipun dilabel sebagai “penghasut rakyat bagi menentang kerajaan” tetapi beliau memahami itu hanya fitnah daripada mereka yang tidak memahami sabda Rasulullah s.a.w “Jihad yang paling afdhal ialah menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.”

Lebih 400 kanak-kanak Syria yang menjadi pelarian di sempadan Jordan terpaksa menerima rawatan akibat tekanan jiwa yang dihadapi. Trauma ini berlaku kerana sepanjang berada dalam kepungan tentera rejim Basyar, kanak-kanak ini terdedah kepada bunyi ledakan bom dan tembakan senjata api setiap hari. Bunyi letupan bom dan jeritan keluarga mereka masih membelenggu diri sekalipun mereka telah berpindah keluar dari kampung halaman. Terdapat dikalangan mereka yang melihat sendiri keluarga mereka dibunuh.  Lebih malang, mereka melihat sendiri ayah,ibu serta saudara mereka diikat kedua-dua tangan lalu dibaringkan sebelum disembelih menggunakan pisau oleh tali barut tentera rejim Syria.

Sedutan ucapan pembantu kanan Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi yang menerangkan secara jelas bagaimana REVOLUSI DI SYRIA tercetus. (Sari kata Bahasa Melayu).

Ketua Persatuan Ulama’ Sunni di Iraq, Dr. Haris Suleiman Ad-Dhori:  Sepanjang tahun 2003 hingga 2006, lebih 100,000 penganut Islam Sunni di negara Iraq dibunuh oleh militia Syiah yang diketuai oleh pelampau Syiah Moqtada As-Sodr.  Beliau yang juga Anggota Jawatankuasa Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia turut mengingatkan seluruh umat Islam pembunuhan masyarakat Sunni yang berterusan dan serangan terhadap masjid-masjid milik Sunni menyaksikan penguasaan sepenuhnya Syiah ke atas Iraq selepas diserang oleh tentera Amerika dan sekutunya pada tahun 2003.

Di zaman pemerintahan Saddam Husein (beliau seorang Sunni tetapi berfahaman sekular), para penganut Syiah dilayan sebagai “golongan kelas kedua”. Serangan tentera Amerika dan sekutunya pada tahun 2003 yang menyaksikan Saddam digulingkan telah membawa sinar dan harapan baru kepada penduduk Syiah yang menjadikan tanah Karbala dan Najaf sebagai tanah suci mereka. Tidak hairan ketika serangan Amerika dan sekutunya, penganut Syiah telah memberikan kerjasama penuh kepada musuh Islam tersebut demi menjatuhkan rejim Saddam.

Ngeri : Seorang kanak-kanak di wilayah Homs terpaksa tinggal bersama-sama saki baki keratan anggota badan keluarganya yang dibunuh!

Saya dimaklumkan Masjid Datuk Pengiran Galpam ini dibina sejak tahun 1989. Masjid yang terletak di Batu 7, Jalan Labuk Sandakan ini melalui beberapa proses pembesaran dan pembaikan. Sehingga kini ia mampu menampung kira-kira 1500 jamaah pada satu-satu masa. Saya suka dengan lokasi masjid ini yang sangat strategik untuk pengguna khususnya musafir ke Sandakan dan di sekitarnya pula tidak jauh rangkaian kedai-kedai untuk kemudahan ramai.

Bersolat, berziarah dan berehat sebentar di masjid ini sabtu lepas membuatkan hati saya teruja kerana mengenangkan keaktifan masjid ini dalam siri-siri pengimarahan program keagamaan seperti kuliah-kuliah, ceramah-ceramah termasuk kunjungan tetamu dari luar daerah dan luar negeri Sabah. Saya sendiri menganggap masjid ini sangat harum namanya sehingga ke luar dari daerah Sandakan ini. Saya doakan masjid ini terus makmur dengan program-program yang dirahmati Allah SWT.

Khatib : Ustaz Tuan Mohd Redzuan Tuan Soh

Lokasi : Masjid Nurul Iman, Taman Pantai Lok Kawi, Kinarut

Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan memasuki syurga pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar. (Ali Imran : 142)

Ramai manusia hari ini menyangka mereka akan memasuki syurga dengan mudah tanpa sebarang usaha dan jasa terhadap agama. Mereka menyangka kehidupan mereka sebagai pewaris Agama Islam daripada nenek moyang mereka akan melayakkan mereka memasuki syurga tanpa sebarang masalah. Malah sebahagian dari manusia merasakan mereka akan terlepas dari azab Allah walaupun mereka melakukan berbagai dosa dan maksiat terhadap Allah malah mengharapkan pujian dan sanjungan terhadap segala perbuatan mereka walaupun hakikatnya perbuatan mereka sebenarnya lebih merosakkan agama Allah.

Jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang gembira dengan apa yang mereka kerjakan dan mereka suka agar dipuji perbuatan yang belum mereka lakukan, jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab dan bagi mereka azab yang pedih.

Perjuangan bukan sahaja diperlukan bagi mendapatkan kebahagiaan di akhirat malah diperlukan bagi mendapatkan kebahagiaan di dunia. 12 Februari tahun 2011 yang lalu telah mengukirkan sejarah hebat dimana tersungkurnya Hosni Mubarak, pemimpin diktator Mesir yang sekian lama menzalimi rakyatnya.

Ianya seolah-olah menjentik kembali kenangan silam dimana syahidnya pengasas gerakan Ikhwan Muslimin, Hasan Al-Banna pada 12 Februari 1949. Bezanya antara keduanya adalah, Hasan Al-Banna mendapat dokongan Umat Islam seluruh dunia sehingga syahid dengan meninggalkan nama yang harum di mata dunia, sedangkan Hosni Mubarak tersungkur dalam keadaan penuh kehinaan samada di mata dunia apatahlagi di mata rakyat jelata di negaranya.

Rakyat Mesir tidak akan merasai kebebasan jika mereka sentiasa mahu berada dalam zon selesa. Mereka akan terus berada dalam kemiskinan dan kelaparan jika tidak sanggup keluar menunjukkan perasaan mereka yang sekian lama tertekan. Mereka akan terus berada dalam ketakutan jika mereka tidak mahu berjuang melawan kekejaman.

Dalam melaksanakan tuntutan perjuangan ini, mereka terpaksa mengorbankan keselesaan sebahagian yang lain. Sebahagian dari peniaga terpaksa menutup perniagaan mereka. Sebahagian dari rakyat yang biasanya menggunakan jalanraya dengan selesa, terpaksa melupakan hak mereka bagi memberi laluan kepada perjuangan rakyat.

Wan Saiful Wan Jan

Satu tulisan / artikel yang baik dan wajar direnung oleh rakan-rakan penjawat awam. Berfikirlah secara matang dan berlapang dada.

Tajuk Asal : Penjawat awam perlu bersedia untuk perubahan kerajaan – IDEAS

Sumber : http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Semakin hampir pilihanraya semakin banyak isu dan ‘idea’ yang timbul dan ini menunjukkan yang PRU kali ini merupakan PRU yang sangat penting bagi kedua-dua belah pihak PR dan BN. Jika ada perubahan, maka pegawai dan kakitangan awam perlu bersedia untuk menerima perubahan dan pertukaran kerajaan yang bukan satu perkara yang mustahil malah ia merupakan satu perkara yang amat diharapkan oleh banyak pihak untuk berlaku.

Wan Saiful Wan Jan, Ketua Eksekutif IDEAS (Institute for Democracy and Economic Affairs) telah membuat kenyataan supaya Penjawat Awam boleh menerima perubahan kerajaan dan membantu proses melaksanakan perubahan itu dengan lancar dan licin. Kita boleh mengikut contoh-contoh yang baik yang berlaku didalam kerajaan negara-negara maju seperti di Britian, yang merupakan demokrasi yang tertua dalam dunia ini.

Di Britain satu perubahan berlaku tahun lepas setelah kerajaan Labour Party telah gagal untuk mempertahankan kerajaan yang dikuasainya dan telah membantu proses peralihan kuasa dari Gordon Brown dari Labour Party kepada David Cameroon yang telah menjadi Perdana Menteri apabila mewujudkan kerajaan campuran dengan parti Liberal Demokrat.

Proses perubahan pimpinan itu terlaksana dalam tempoh 6 jam sahaja sejurus Gordon Brown keluar dari Istana Buckingham setelah mengadap Ratu Elizabeth. Peralihan itu tidak ada perkara tarik menarik yang kuat diantara parti-parti kerana yang kalah menerimanya sebagai perkara biasa dalam sebuah demokrasi ulung didunia ini.

Pihak yang memerintah boleh diturunkan dan duduk dipihak pembangkang dengan hati yang terbuka dan kembali berkuasa apabila rakyat kembali memberikan mandat pada pilihanraya yang seterusnya. PM Gordon Brown sebelum mengadakan pilihanraya umum Britain, tidak ada membuat ucapan yang beliau akan berhempas pulas dengan apa cara sekali pun untuk mempertahankan 10 Downing Street.

Ahli ahli legislatif di England tahu dan menerima hakikat bahawa negara rakyat yang punya, bukannya pemimpin yang diberikan kuasa itu yang punya. Mungkin oleh kerana kesedaran itulah yang IDEAS telah bersedia untuk memberikan pandangan dan nasihat kepada rakyat negara ini untuk belajar menerima hakikat bahawa kuasa itu tidak kekal. Kuasa itu hanya kekal ditangan rakyat kerana rakyat lah yang bertanggungjawab untuk memberikan kuasa kepada pihak mana yang mereka yakini.

Nasihat Wan Saiful kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan itu sangat tepat pada masanya kerana mungkin IDEAS mempunyai keyakinan yang kali ini kuasa mungkin berpindah tangan dan itu adalah perkara yang biasa berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Dipihak pemerintah sendiri sedang mengalami igauan kerana memang kemungkinan untuk rakyat memindahkan kuasa kepada pihak lain itu adalah cerah.

Oleh kerana BN merasakan yang kuasa itu adalah hak mutlak mereka sahaja, maka Najib pun berkokok yang beliau akan lakukan apa sahaja untuk mempertahankan Putrajaya. ‘By hook or by crook’ Putrajaya has got to remain with them. Ini membayangkan yang BN lah yang gila kuasa, bukannya pembangkang.

Bagi saya IDEAS sepatutnya memulakan kursus sivik kepada semua rakyat untuk memberikan mereka kefahaman tentang demokrasi dengan mendalam. Rakyat wajar di latih untuk keluar dari kepompong pemikiran yang sempit sehinggakan masih ada yang sanggup dibohongi semata-mata kerana isu-isu yang dibangkitkan terhadap pihak alternatif oleh mereka yang amat takut kepada kehilangan kuasa ini.

UMNO mahukan rakyat untuk memberikan sokongan kepada mereka walaupun mereka bergelumang dengan rasuah yang besar-besar kerana kononnya UMNO telah mencapai kemerdekaan negara. Oleh kerana UMNO yang membawa negara kemerdekaan, UMNO mahukan rakyat mengikut sahaja walaupun mereka telah merosakkan perbendaharaan negara dan membinasakan budaya politik kita sampai ketahap yang tidak dapat dikenali lagi.

Saya memandang IDEAS sebagai satu NGO yang sangat relevan untuk kehadapan bagi memberikan ‘consequence’ yang baik untuk membina budaya demokrasi yang tulin dan mengutamakan semangat demokrasi itu dengan persepsi yang baik dan sempurna.

Saya sendiri mengenali beberapa orang anggota IDEAS ini dan mereka adalah dari gulungan yang baik dan menerima hakikat yang negara perlu kepimpinan yang beretika tinggi serta pimpinan yang mengikut ‘rule of law’ serta percaya kepada pembahagian kuasa diantara Eksekutif, Legislatif dan Judiciari yang mantap.

Kepada Penjawat Awam, mereka mesti akur dengan pilihan rakyat dan melaksanakan tanggungjawab seperti biasa tidak kira siapa yang diamanahkan untuk memerintah. Penjawat Awam wajar tidak memihak kepada mana-mana pihak dan berhak untuk memilih sesiapa sahaja dalam pilhanraya yang akan datang secara sulit, tanpa rasa takut kepada tekanan yang datang dari mana-mana pihak.

HIMPUNAN KAFA SABAH

Sumber : http://www.islam.gov.my/perhimpunan-bulanan-kafa-negeri-sabah-tahun-2012

Bertempat di Sabah Oriental Hotel Kota Kinabalu, Unit KAFA, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah telah berjaya menghimpunkan hampir 400 orang yang terdiri daripada penyelia dan guru KAFA seluruh negeri ini bagi melaksanakan Perhimpunan Bulanan KAFA Negeri Sabah tahun 2012.

Objektif utama disebalik majlis perhimpunan bulanan yang dianjurkan bermula 17 hingga 18 Mac 2012 yang lepas ialah untuk melonjakkan semangat baru dikalangan penyelia dan guru KAFA negeri ini melalui sesi amanat misi dan visi pendidikan KAFA yang disampaikan oleh Pengarah JAKIM Cawangan Sabah sendiri. Yang kedua, meningkatkan motivasi kerja dalam terus menabur bakti kepada anak bangsa dan masyarakat di negeri Sabah, seterusnya merealisasikan peranan persatuan KAFA Negeri Sabah.

Antara program lain yang turut dilaksanakan ialah Mesyuarat Agung Persatuan KAFA Negeri Sabah Tahun 2012. Sesi cadangan calon dan lantikan Pengerusi Persatuan KAFA Negeri Sabah serta pelbagai idea kreatif cetusan dari hadirin yang hadir telah merancakkan mesyuarat agung tersebut. Secara keseluruhannya, majoriti peserta yang hadir pada program berkenaan memberikan respond dan komitmen yang sangat baik.

Majlis perasmian perhimpunan bulanan berkenaan telah disempurnakan sendiri oleh Y.Bhg. Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah bertempat di Sabah Oriental Hotel Kota Kinabalu. Turut hadir ialah Hjh. Noordianah binti Haji Alwi, Penolong Pengarah Unit KAFA, JAKIM Cawangan Sabah.

Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Roslan Hamid

Penerbit : Kemilau Publika

Harga : RM16.00 / RM19.00

Buku “Travelog Wartawan Islam” ini sungguh mengasyikkan. Ia sesuatu yang  mesti  dibaca dan dihayati  dengan naluri  hati oleh semua yang mengaku dirinya manusia. Tidak kira  samada  anda seorang  pembaca  yang bukan beragama  Islam atau yang mengaku sebagai seorang Muslim. Buku ini mempunyai nilai moral yang tinggi, estetika yang berkualiti dan prinsip hidup yang sungguh jitu. Juga membuktikan setiap manusia ciptaan Allah yang berniat baik walau hanya sekelumit di hati yang suci murni, maka Allah akan memberi panduan jalan kehidupan yang terbaik.

Maha Suci Allah yang memberi pertunjuk kepada sesiapa jua yang  Dia kehendaki  tanpa batas, dan juga boleh tersasar dalam kehidupan  dunia jika tersalah. Sebab itu ramai juga yang mengajar Ilmu Syariah tetapi longgar amalannya syariatnya,  dan ada yang mengajar Ilmu Tauhid tetapi tidak langsungmentauhidkan(taat sepenunhya) kepada  Allah SWT dalam kehidupan sehariannya. Renungilah..

Perkongsian kisah benar wartawan ini  teramat baik buat tauladan semua pengamal media samada yang baru atau lama serta sesiapa yang luas pergaulan sosial dalam kerjaya seharian. Mudah-mudahan hati anda merasa keabadian diri sebagai manusia dan mendapat sebutir sinar mutiara hidayah apabila membaca kisah benar ini yang digarap dari lubuk hati penulis dengan sejujur-jujurnya.

Penulis : Roslan Hamid (LanH) dilahirkan pada 17 Februari 1962 di Bandar Melaka, mempelajari ilmu komunikasi dan kewartawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Buku ini adalah hasil keempat beliau selepas penerbitan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’, ‘Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah’ dan ‘Berjumpa’ Arwah Anak di Makkah. Beliau pernah bertugas sebagai Pengarang Luar Negara akhbar Berita Harian dan Pengarang Berita Kanan akhbar Harakah.

Nik Nasri Nik Malek

Hari ini (22 Mac 2012) genap 8 tahun perginya Sheikh Ahmad Yaasin sebagai seorang syahid. Secara ringkas, kita mengambil 8 iktibar dari kesyahidannya :

1. Kematian adalah satu kemestian. Semua yang hidup akan mati. Kubur sebagai tempat persinggahan dan laluan ke akhirat adalah pasti. Soalnya, mati itu bagaimana? Ada yang mati sebagai pemimpin zalim yang dibenci. Ada yang mati sebagai selebriti yang ditangisi tetapi hakikatnya ia menangisi dirinya sendiri. Ada yang mati sebagai hamba Allah yang sejati. Dan ada yang syahid, rohnya riang gembira di syurga  walaupun jasadnya berderai merata dan darahnya memenuhi bumi. Assyahid Sheikh Ahmad Yaasin meninggal hari Isnin dalam keadaan berpuasa, awal subuh dinihari.

2. Jika Allah menyayangi anda, Allah akan memberikan husnulkhatimah buat anda. Tiada kesudahan paling baik melainkan mati syahid. Kurang sedikit, mati dalam situasi taatkan Allah secara umum.

3. Kasih sebenar Sheikh Ahmad Yaasin adalah kepada Allah, NabiNya dan Islam. Allah menjadikan kematiannya sebagai suatu yang besar. Lebih 200 ribu mengiringi jenazahnya. Umat Islam seluruh dunia bercerita tentang kematiannya. Majlis Keselamatan PBB mengutuk pembunuhannya. Kerajaan Arab juga demikian. Eropah juga tidak berkecuali bercakap mengenainya. Sheikh Ahmad Yaasin bukannya menteri, tidak juga raja atau pembesar tetapi ketokohannya sebagai pemimpin Islam menjadikan kawan dan lawan memandang hebat kepadanya.

4. Permusuhan dan pertembungan kita dengan Yahudi yang memusuhi kita, regim Zionis dan semua proksi mereka adalah berterusan sekalipun pelbagai perjanjian ditandatangani, pelbagai persidangan dan seminar dilihat di tv dan pelbagai kata manis dari Amerika dan Eropah dijanji.

5. Sekalipun umat Islam lemah, hanya melihat pemimpin gerakan Islam mereka dibunuh, atau hanya mampu berdemonstrasi menyatakan kebencian kepada musuh, namun untuk menyerah kalah, menggadaikan prinsip perjuangan, mengiakan segala perjanjian zalim dengan regim yang zalim tidak sekali.

6. Untuk menggerakkan ummah, tidak perlu kelayakan akademik yang tinggi-PhD, MA, BA atau jawatan-jawatan yang hebat. Bacalah kelayakan akademik As-syahid Sheikh Ahmad Yaasin yang sederhana sahaja.

7.  Peranan musuh dalam selimut sangat bahaya. Tidak mungkin Sheikh Ahmad Yaasin boleh dibunuh sedemikian rupa seperti pemimpin Palestin yang lain, kalau tidak dengan kerjasama dan maklumat dari ‘orang dalam’ atau dari kalangan munafiq dalam masyarakat Islam itu sendiri.

8. Perjuangan Islam tidak terhenti dengan syahid dan matinya pemimpin. Rasulullah SAW wafat, para sahabat meninggal, para ulama dan pejuang Islam terdahulu telah menunaikan janji masing-masing dengan Allah. Nabi SAW memberi khabar gembira dengan adanya umat ini yang terus melangsungkan perjuangan menegakkan Islam sehingga berlaku antara 2 ketentuan-menang atau syahid.

Penulis ialah Ketua Lajnah Penerbitan Dan Penyelidikan Dewan Ulama PAS Terengganu.

Tajuk asal : Saydatina Sofiyyah, Isteri Nabi Berbangsa Yahudi

Sumber : http://tarbawi.my/

Sofiyyah binti Huyay, merupakan salah seorang isteri Baginda Nabi S.A.W yang berbangsa Yahudi. Nama lengkapnya Sofiyyah binti Huyay bin Akhtab bin Sa’yah bin Amir bin Ubaid bin Kaab bin al Khazraj bin Habib bin Nadhir bin al Kham bin Yakhurn [rujuk Siyar A’lam an Nubala’, jil.2, hlmn. 231]. Ayahnya Huyay bin Akhtab merupakan pemimpin terbesar kaum Yahudi. Apabila Islam memenangi peperangan Khaibar pada tahun ke-7 hijrah, Sofiyyah termasuk salah seorang tawanan perang.

Lalu bila berita penawanan puteri Huyay bin Akhtab sampai, Rasulullah S.A.W memberikan tawaran kepadanya sama ada mahu memilih Islam dan dinikahi oleh Baginda atau tetap beragama Yahudi dan dibebaskan. Lalu Sofiyyah memilih untuk memeluk Islam dan menjadi isteri Baginda S.A.W. Sebelum ini, Sofiyyah pernah menjanda dengan dua orang lelaki keturunan Yahudi iaitu Sallam bin Musykam dan Kinanah bin Rabi’ yang mati di dalam perang Khaibar.

Apabila Baginda Nabi S.A.W memutuskan untuk mengahwini Sofiyyah, para sahabat merasa cemas kerana ayahnya yang bernama Huyay bin Akhtab itu adalah antara pemimpin utama kaum Yahudi yang sangat membenci Nabi, termasuklah Kinanah iaitu suaminya yang mati dalam pertempuran Khaibar. Jadi, mana mungkin Baginda S.A.W boleh merasa aman berkahwin dengan wanita Yahudi yang sejarah hidupnya begitu?

Namun, perkahwinan itu tetap menjadi pilihan Baginda S.A.W yang mengharapkan agar perkahwinan itu dapat membuka mata kaum Yahudi bahawa Islam adalah agama Allah yang menembusi sempadan kaum dan bangsa. Malah dalam kitab-kitab “Sirah Rasul”, semuanya sependapat bahawa cinta Sofiyah kepada Rasulullah S.A.W adalah cinta yang murni sehingga menyebabkan hidup Sofiyyah sering bertemankan air mata dek kecemburuan isteri-isteri Baginda. Manakala kecintaan Rasulullah S.A.W kepada Sofiyyah juga terbukti apabila Baginda sering menangkis perbuatan orang yang mencemuh Sofiyyah.

Ketika Sofiyyah mengadu kesedihannya kerana sering diejek atas nama keturunan dan bangsanya Yahudi, Baginda S.A.W mengajari Sofiyyah agar menjawab, “Bagaimana kamu (yang mengejekku) dapat mengatasi kemuliaan keturunanku, ayahku dari keturunan Nabi Harun, saudara lelakiku dari keturunan Nabi Musa, dan suamiku pula adalah Nabi Muhammad S.A.W”.

Mengikut riwayat Ibnu Ishaq pula diceritakan, Sofiyyah pernah mendapat petanda dari mimpinya akan dipinang Nabi Muhammad S.A.W. Sofiyyah bermimpi bulan jatuh ke biliknnya dan setelah tafsiran mimpi itu diceritakan kepada suaminya Kinanah, Kinanah terus menampar Sofiyyah sehingga lebam, “Kamu inginkan Raja Yathrib (Madinah) itu?”, tengking Kinanah kepada Sofiyyah.

Ketika Nabi S.A.W sakit, Sofiyyah menunjukkan keprihatinannya di sisi Nabi dengan berkata, “Aku ingin menanggung derita kekanda…”. Hal itu menyebabkan isteri-isteri Nabi menjuihkan bibir mereka. Begitupun Baginda S.A.W meraikan kecemburuan isteri-isterinyaa sebagai suatu lumrah manusia yang tidak dapat dielak. Begitulah Saidatina Sofiyyah, isteri RasuliLlah yang berbangsa Yahudi mengakhiri hidupnya sebagai seorang Muslimah. Beliau meninggal dunia tatkala dirinya berumur sekitar 50 tahun, iaitu ketika pemerintahan Mu’awiyah R.A berlangsung.

Wallahua’alam.

%d bloggers like this: