Archive for 31 Mac 2012


Pengajian adalah secara percuma. Sebaik-baiknya membaca terjemahan al-Quran untuk mengikuti kuliah berkenaan.

Sumber : http://syeikh-takiri.blogspot.com/

Menurut pengarang kitab al-Muntaqa syarah Muwatta, Ribat pada asalnya bermaksud mengikat kuda untuk dimiliki. Seterusnya ia digunakan dengan maksud mengikat kuda sebagai persiapan jihad dan mewakafkan diri menjaga perbatasan negara Islam. Ribat di dalam alQuran dan al-Hadis merujukmkepada 3 maksud seperti berikut:

Pertama: Mengikat Kuda Sebagai Persiapan Jihad Di Jalan Allah. 

Menurut pengarang al-Muntaqa, maksud mengikat kuda di jalan Allah ialah mempersiapkannya untuk tujuan tersebut. Ia merupakan salah satu bentuk kebajikan yang mana pemilik kuda tersebut akan diberikan ganjaran walaupun dalam keadaan ia belum digunakan untuk jihad dan menyerang musuh kerana ia tergolong dalam sebahagian infaq di jalan Allah, sebagai persiapan jihad dan usaha untuk menggerunkan musuh (irhab). Menyiapkan kuda ini berlaku samada di tempat tinggal orang yang menyediakannya atau di luar dari tempat tinggalnya Sekiranya ia digunakan untuk berperang ia mendapat pahala jihad. Dalilnya ialah firman Allah Taala:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ  

Maksudnya: Dan persiapkanlah bagi menghadapi mereka apa sahaja yang kamu mampu sama ada kekuatan dan juga kuda-kuda yang terikat, yang boleh kamu gunakannya untuk menggerunkan musuh Allah dan juga musuh kamu.” (al-Anfal : 60)

Konsep Ribat ini termasuk dalam sebahagian infaq di jalan Allah. Konsep infaq pula dijelaskan oleh Allah Taala menerusi firman-Nya:

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ  

Maksudnya: Bandingan mereka yang menginfaqkan harta-harta mereka di jalan Allah seperti bandingan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkainya mengandungi 100 benih, dan Allah menggandakan untuk sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah: 126)

Kedua: Ribat Mengikat Diri Untuk Berada Di Perbatasan

Ribat ini bermaksud mengikat diri untuk menjaga perbatasan dan sempadan Negara Islam. Menurut Ibn Hajar al-`Asqalani, Ribat bermaksud melazimi tempat yang terletak antara orang Islam dan orang kafir untuk menjaga orang islam daripada musuh. Ribat ini dirujuk oleh firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang beriman, bersabarlah kamu, sama-samalah bersabar (berhadapan dengan musuh), lakukanlah ribat dan bertaqwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan.

Kelebihan Ribat ini disebut dalam banyak hadis Nabi saw antaranya Hadis riwayat Imam Bukhari daripada Sahl bin Sa`ad al-Sa`idi r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

رِبَاطُ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا عَلَيْهَا

Maksudnya: Ribat sehari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan isinya.

Muslim meriwayatkan daripada Salman al-Farisi r.a katanya, saya mendengar Rasulullah saw bersabda:

رِبَاطُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَإِنْ مَاتَ جَرَى عَلَيْهِ عَمَلُهُ الَّذِي كَانَ يَعْمَلُهُ وَأُجْرِيَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ وَأَمِنَ الْفَتَّانَ

Maksudnya: Ribat sehari semalam lebih baik daripada berpuasa dan mengerjakan qiyam selama sebulan. Dan sekiranya dia mati akan berterusanlah amalan yang sebelumnya sentiasa dilakukannya. Rezkinya pula akan diteruskan dan terselamat daripada para penguji (kubur).

Dalam riwayat Tirmizi daripada Salman al-Farisi menyebut Rasulullah saw bersabda:

رِبَاطُ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ وَرُبَّمَا قَالَ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَمَنْ مَاتَ فِيهِ وُقِيَ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَنُمِّيَ لَهُ عَمَلُهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ 

Maksudnya: Ribat sehari di jalan Allah lebih afdhal –mungkin beliau berkata – lebih baik – berbanding puasa dan qiyam selama sebulan. Dan sesiapa yang mati dalam keadaan Ribat terselamat daripada ujian kubur dan dicambahkan untuknya amalannya sehingga ke hari Qiamat.

Nasaei pula meriwayatkan daripada Uthman bin Affan r.a bahawa Nabi saw bersabda:

إِنَّ رِبَاطَ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ يَوْمٍ مِمَّا سِوَاهُ فَلْيُرَابِطْ امْرُؤٌ حَيْثُ شَاءَ

Maksudnya: Sesungguhnya Ribat sehari di jalan Allah lebih afdhal daripada seribu hari selainnya. Maka hendaklah melakukan ribat seseorang itu di mana sahaja dia mahu.

Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Makhul r.a bahawa Nabi saw bersabda:

تمام الرباط أربعون يوما

Maksudnya: Kesempurnaan Ribat ialah 40 hari.

Ketiga : Ribat Dalam Ibadah

Ribat dalam ibadah disebut di dalam hadis riwayat Abu Hurairah bahawa Nabi saw bersabda:

أَلا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ فَذَلِكُمْ الرِّبَاطُ

Maksudnya: Mahukah kamu saya tunjukkan perkara yang dipadamkan oleh Allah dengan sebabnya segala kesalahan dan diangkat oleh Allah dengan sebabnya beberapa darjat, iaitu menyempurnakan wudu’ di waktu sukar, membanyakkan langkahan ke masjid-masjid dan menanti solat seterusnya selepas mengerjakan solat. Semua itu adalah Ribat.

Menurut Ibn Kathir, Ribat atau Murabatah ialah berkekalan dan tetap berada di tempat ibadah. Sebahagian ulama seperti Mujahid, Ibn Abbas, Sahl bin Hunaif mentafsirkannya sebagai menanti waktu solat selepas dikerjakan satu solat di masjid. Menurut Imam Nawawi, Ribat asalnya bermaksud menahan diri atas sesuatu. Seolah-olahnya dia menahan dirinya untuk melakukan ketaatan tersebut. Ada pandangan menyatakan ia merupakan sebaik-baik Ribat sepertimana dikatakan jihad itu ialah jihad menentang hawa nafsu.

Sirah Sahabat Dalam Ribat Harta

Sirah para sahabat menunjukkan kepada kita kesungguhan sahabat menyediakan kelengkapan perang yang melibatkan harta antaranya. Ketika berlangsungnya peperangan Tabuk, Othman yang sudah bersiap dengan kelengkapan unta dan barang dagangan telah mendermakan semua unta berjumlah beserta dengan muatan yang berada di atas untuk persiapan perang. Menurut hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi daripada Abd Rahman bin Hubab al-Sullami bahawa Uthman telaah menyediakan 300 ekor unta. Menurut riwayat Abd Rahman bin Samurah, Uthman telah menyediakan 1000 dinar. Riwayat yang lemah pula oleh Ibn `Adii daripada Huzaifah menyebut 10,000 dinar. Menurut Ibn Hajar barangkali ia bermaksud 10,000 dirham yang nilainya menyamai 1000 dinar ketika itu.

Abu Bakar menyerahkan semua hartanya bernilai 4000 dirham. Umar pula memberikan separuh harta. Abd Rahman menyediakan separuh harta sebanyak 2000 dirham. Sahabat yang tidak berkemampuan seperti Abu Uqail pula menyediakan setengah gantang kurma. Abu Khaithamah mempunyai 2 gantang kurma; separuh untuk keluarga dan separuh disediakan untuk perang.

RUJUKAN
Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, http://www.al-islam.com
Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-`Azim, Dar Tayyibah, 1420/1999.
Al-Muntaqaa syarh al-Muwatta’, http://www.al-islam.com
Musannaf Ibn Abi Syaibah
Musnad Ahmad. http://www.al-islam.com 
Nawawi, Syarah Sahih Muslim, http://www.al-islam.com 
Sahih Bukhari
Sahih Muslim
Sunan Tirmizi
Sunan Nasaei

%d bloggers like this: