Lenguh tangan dan lengan saya apabila rakan-rakan serombongan meminta saya merakam beberapa lokasi jalanraya yang bermasalah di sepanjang perjalanan khususnya antara Sandakan ke Telupid. Tidak semua dapat saya rakamkan, tetapi seingat saya beberapa foto yang saya paparkan ini ‘mewakili’ suasana jalanraya yang bermasalah di sebahagian perjalanan tersebut.

Kelajuan perjalanan tidak begitu lancar sebenarnya kerana banyak kali bertemu jalan yang berlubang dan bermasalah. Tapi jalan dari Sandakan menghala ke Telupid agak kurang sedikit masalahnya berbanding jalan dari arah Telupid ke Sandakan yang lebih banyak masalahnya. Bahkan kami berpendapat sesetengahnya agak berbahaya.

Sebenarnya isu ini bukanlah berbentuk satu pendedahan kerana ia bukanlah suatu rahsia. Ia perkara yang diketahui oleh ramai orang apatah lagi para pengguna jalanraya di sana. Saya dimaklumkan ada satu facebook khusus berkaitan dengan masalah-masalah jalanraya, dan saya yakin perkara ini sangat dimaklumi. Semoga masalah ini dapat diselesaikan dengan segera demi kebaikan para pengguna.