Khatib : Ustaz Jasimin Mohd Rashid

Lokasi : Masjid al-Kauthar Kg Tanjung Aru Kota Kinabalu

Dalam menghadapi kehidupan yang serba mewah dan canggih ini, ramai manusia tidak mampu membezakan garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Bagi mereka yang tidak mendapat nur hidayah petunjuk, mereka mengganggap kebenaran itu bagaikan ranjau-ranjau yang berduri, sebaliknya mereka merasakan bahawa kesesatan atau kekeliruan bagaikan taman indah yang dipenuhi dengan bunga yang berwarna warni.

Alangkah sesatnya mereka ini, ruginya kehidupan mereka kerana telah dipengaruhi oleh musuh Allah SWT iaitu Syaitan laknatullah. Ingatlah bahawa dalam sejarah kewujudan dunia, didapati Syaitan atau Iblis merupakan makhluk pertama yang berada dalam kesesatan dan kemungkaran serta berjanji untuk menyesatkan seluruh umat manusia di muka bumi ini.

Menurut Ulama, syaitan adalah golongan kafir daripada Jin. Bapa mereka ialah Iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa daripada Syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan ke arahnya. Walaupun demikian sifat syaitan, namun  masih ada manusia yang menurutnya dan meninggalkan syariat Allah SWT dan petunjuk para Nabi dengan menerima pujuk rayu Syaitan.

Antara amalan syaitan ialah melakukan kezaliman dan pengkhianatan kepada umat manusia, Syaitan melakukan tipu daya supaya manusia berbuat kejahatan dan mengajak ke arah keburukan dan kekejian. Manusia yang zalim iaitu yang berhati kejam, mereka tidak merasa takut kepada Allah SWT dan perbuatan mereka melanggar hukum-hukum Allah. Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia telah terjebak mengikut telunjuk Syaitan.

Manusia yang berhati Syaitan atau saudara Syaitan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, zalim, melakukan kemaksiatan malah mendorong ke arah kederhakaan kepada Allah SWT. Sayidina Ali RA berkata :

Yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.

Mimbar ingin menegaskan bahawa mereka yang dikuasai oleh Syaitan, sebenarnya kebatilan  telah menguasai hati mereka dan menyangka bahawa Syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut Syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.