(Datuk Tuan Ibrahim memacakkan kayu tanda hasrat membina surau di pulau Shanghai, Sandakan 31 Disember lalu)

KUALA LUMPUR, 28 Mac : Selepas seminggu Tabung Pembinaan Surau Shanghai dilancarkan, tabung itu kini berjaya mengumpulkan sejumlah RM25,162.23. Ia dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai secara terus ke dalam akaun bank itu atau melalui kempen yang dibuat oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat. Menurut pegawai penerangan PAS, Mohd Shahir, jumlah itu adalah sehingga pagi 28 Mac. Mereka mensasarkan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk projek ini.

Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat  pada 31 Disember 2011 lalu dalam ekspedisinya ke Sabah telah berjanji akan membina sebuah surau di pulau Shanghai, Sandakan, Sabah. Keputusan ini diambil memandangkan pulau ini tidak mempunyai sebarang kemudahan asas samada masjid, surau, dewan orang ramai, kemudahan air bersih dan letrik. Ternyata pulau ini terus terabai dari arus pembangunan negara dalam keghairahan pemimpin melaungkan negara maju menjelang 2020, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pengerusi lajnah berkenaan yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

“Sehubungan itu kami merayu kepada para dermawan untuk turut menyumbang bagi menjayakan hasrat pembinaan Surau tersebut. Semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik dan mengampuni dosa sebagaimana yang dijanjikan,” kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pengerusi lajnah yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Satu akaun telah dibuka di Bank Islam atas nama Tabung Pembinaan Surau Shanghai dengan nombor akaun 14041010080138 untuk tujuan itu. Ekoran itu, sumbangan mula diterima dari orang ramai  bagi menjadikan cadangan pembinaan surau ini satu realiti. Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS menjangka, tapak asas surau ini akan dibina pertengahan bulan April nanti apabila pimpinannya turun semula ke sana nanti. (Sumber : Harakahdaily)

***

Terkini : 3 April: Selepas 10 hari dilancarkan, tabung pembinaan surau Shanghai, Sandakan, Sabah telah mengumpulkan dana sebanyak 30,959.57.