Archive for 27 Mac 2012


Sumber : http://malaysiakini.com/news/193242

ULASAN oleh Amin Iskandar

Semenjak Merdeka, Selangor sentiasa berada di bawah kekuasaan BN atau dahulu dikenali sebagai PERIKATAN. Pilihan raya umum ke-12 merubah sejarah politik negara. Buat pertama kalinya Selangor tumbang ke tangan pembangkang. Anak jati Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang ke-14.

Selain daripada mempunyai hasil dan kekayaan yang terbesar, negeri ini juga adalah tempat letaknya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya. Dan jangan lupa, Kuala Lumpur itu juga pada satu ketika dahulu adalah sebahagian daripada negeri Selangor. Dalam sejarah, rekod paling lama memegang jawatan menteri besar Selangor adalah Datuk Harun Idris iaitu dari tahun 1964 – 1976. Itu pun berakhir dengan tragis apabila beliau dijatuhkan dengan dakwaan skandal rasuah.

Selepas Datuk Harun, beberapa mantan menteri besar Selangor seperti Tan Sri Muhammad Taib, Datuk Seri Abu Hassan Omar dan Dr Khir Toyo turut menamatkan karier dengan skandal. Khir Toyo lebih malang lagi oleh kerana beliau adalah menteri besar Selangor dari BN yang pertama menyebabkan negeri jatuh ke tangan pembangkang. Akhir tahun lalu, beliau dijatuhkan hukuman bersalah di atas pertuduhan rasuah. Dengan itu, beliau tidak lagi memakai gelaran “Datuk Seri” yang diberikan oleh Istana Selangor.

Selangor di bawah Pakatan

Khalid Ibrahim bukanlah satu nama yang begitu popular dalam politik Malaysia pada ketika beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor. Beliau lebih dikenali dalam dunia korporat. Jawatan terakhir dalam dunia korporat adalah sebagai ketua pegawai eksekutif kepada Kumpulan Guthrie Berhad. Semenjak menjadi menteri besar sehinggalah hari ini, serangan bertali arus terpaksa dihadapi oleh Khalid. Lebih ngeri lagi, serangan datang dari luar dan dalam Pakatan Rakyat.

Namun ini tidak menghalang ADUN Ijok itu untuk mentadbir negeri Selangor dengan baik. Kedudukan kewangan negeri berada pada tahap yang membanggakan. Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan pada Oktober 2011 berpuas hati dengan kedudukan kewangan negeri Selangor, di antaranya :

  • Kerajaan negeri berjaya mengurangkan tunggakan hasil berjumlah RM99.87 juta kepada RM502.05 juta berbanding tahun sebelumnya.

    Baki hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan menurun sejumlah RM58.91 juta (5.5 peratus) menjadi RM1,004.64 juta berbanding RM1,063.55 juta pada tahun 2009.

    Penurunan ini disebabkan kerajaan negeri telah membayar balik hutang sejumlah RM58.91 juta bagi menjelaskan pinjaman bagi rumah awam kos rendah dan projek ladang hutan masing-masing sejumlah RM52.42 juta dan RM6.49 juta.

Reformasi di Selangor

“Orang-orang reformasi tidak boleh menipu rakyat,” kata Khalid Ibrahim dalam ucapannya di sebuah majlis di Shah Alam. Sebaik sahaja mengambil alih Selangor, Khalid berusaha untuk memenuhi janji-janji pilihan raya dalam manifesto bersama PKR, DAP dan PAS – pilihan raya umum ke-12 lalu. Di zaman pentadbiran Khalid, exco kerajaan negeri dan ADUN tidak boleh berbuat sesuka hati sepertimana dalam pentadbiran lalu. Exco dan ADUN perlu sentiasa bersih dan dilihat bersih sepanjang pentadbiran.

Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan (Selcat) akan menyiasat segala perbelanjaan exco dan ADUN bagi memastikan ketelusan dan integriti dipertahankan. Anugerah tertinggi negeri tidak disalahgunakan. Sewaktu pentadbiran terdahulu, anugerah “Datuk” diberikan kepada pemimpin BN dan sekutu rapatnya.

Di zaman Khalid, pimpinan tertinggi seperti exco kerajaan negeri tidak diberikan anugerah Datuk. Mungkin Khalid mahu memelihara keunggulan anugerah tertinggi negeri Selangor. Rakyat dapat melihat perubahan dan reformasi di negeri Selangor. Walaupun tidak sempurna, Selangor hari ini amat berbeza dengan yang terdahulu. Hasil dan kekayaan negeri bertambah. Nikmat dapat dirasai oleh golongan rakyat terbanyak dalam program merakyatkan ekonomi Selangor.

Mampukah Selangor terus dipimpin oleh Khalid Ibrahim dan Pakatan selepas pilihan raya umum ke 13? Apakah halangan-halangan yang boleh menyebabkan negeri terkaya di Asia Tenggara ini dirampas semula oleh BN?

Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Isyak Radhiah

Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd

Harga : RM25.00 / RM27.00 

Pada pertengahan 2010, mereka diduga Allah dengan penyakit yang digeruni yang dihidapi anak ketiga mereka, Ahmad Mahir Baihaqi atau nama panggilannya Aqi, yang ketika itu (pertengahan 2010) berumur 9 tahun. Anak yang cergas sejak lahir itu mendapat sakit kepala yang berterusan dan muntah-muntah selama seminggu. Dia disahkan menghidap ketumbuhan otak (brain tumour) oleh Hospital Pakar Damansara.

Maka bermulalah episod dugaan hidup yang terpaksa ditempuhi oleh isteri yang ketiadaan suami di sisi, iaitu tatkala Che Amran ke Australia selama 10 hari untuk pelancaran album Raihan. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Kebahagiaan dan kegembiraan bagaikan diragut. Perasaan berkecamuk berlegar di dalam diri. Benarkah anak ini menghidap penyakit bahaya yang menjadi igauan ngeri setiap insan? Kepulangan suami menjadi pengubat jiwa yang gundah.

Namun, empat hari mereka dalam keadaan buntu, sambil tetap pasrah dengan ketentuan Ilahi dan redha dengan ketetapan-Nya. Doktor pakar bertegas bahawa pembedahan perlu segera dibuat untuk mengelakkan tumor daripada membesar dan menyerang saraf penting di dalam otak. Berpindah ke hospital kerajaan dan kemudian berpatah balik ke hospital swasta adalah usaha yang dilakukan semata-mata kerana mahu memastikan pembedahan dilakukan segera ke atas Aqi.

Namun masalah kewangan dan risiko yang akan dihadapi sekiranya pembedahan dijalankan, membuatkan mereka suami isteri dalam dilema. Pandangan dan nasihat daripada kaum keluarga dan kenalan melalui telefon dan SMS, diambil sebagai pertimbangan. Biar apa pun, keputusan adalah di tangan mereka. Mereka sendirilah yang perlu memutuskan apa yang terbaik untuk anak mereka. Perlukah pembedahan segera dilakukan atau patutkah ditangguhkan? Wajarkah mereka memilih rawatan alternatif untuk mengelak risiko daripada pembedahan? Wujudkah rawatan alternatif untuk penyakit berbahaya ini yang tidak memerlukan pembedahan? Sejauh mana kesannya?

Pertemuan dengan Kak Zah yang mempunyai anak dengan penyakit yang sama dengan Baihaqi telah membuat Isyah merenung dan berfikir dengan mendalam. Antara pesanan Kak Zah yang menusuk kalbu Isyah, “Kita perlu bergerak untuk anak seperti ini. Walaupun dia nampak dah stabil, kita tidak boleh berada di zon selesa.” Walaupun anak Kak Zah sendiri telah menjalani pembedahan, dia menyarankan agar Isyah berusaha mendapatkan rawatan lain terlebih dahulu kerana Isyah masih mempunyai pilihan, berbanding dengan Kak Zah sebelum ini yang terdesak membuat keputusan kerana kesuntukan masa dalam membuat pilihan.

Pesanan ibunya juga membuatkan renungan Isyah makin dalam. “Sah, mak rasa elok kalau tangguh dulu perancangan pembedahan tu. Mak tak sedap hati kalau menyentuh bahagian kepala,” kata si ibu. Berdasarkan pandangan majoriti ahli keluarga dan sahabat-handai, akhirnya Isyah dan Che Amran membuat keputusan. Ketika segala persiapan sudah dibuat oleh hospital pakar untuk menjalankan pembedahan ke atas Baihaqi, Che Amran menelefon doktor dan memaklumkan keputusan itu – meminta pembedahan ditangguhkan dan meminta izin untuk membawa keluar Baihaqi dari hospital.

Selepas itu bermulalah perjalanan mencari kaedah-kaedah rawatan alternatif yang diiringi dengan terapi solat, terapi doa, terapi al-Quran dan penjagaan pemakanan yang ketat untuk Baihaqi. Masih terngiang-ngiang kata-kata doktor sebelum ini, “Jangan mengharapkan sangat daripada anak ini, dia tidak akan hidup lama.”

Hikmah daripada apa yang berlaku, Isyah dan Che Amran semakin sedar akan tanggungjawab mereka dalam memenuhi amanah Allah menjaga dan mendidik anak-anak. Hubungan mereka suami isteri juga bertambah erat, manakala hubungan dengan kaum keluarga dan sahabat-handai tambah rapat. Anakku ‘Brain Tumour’ adalah perkongsian pengalaman yang akan memberi motivasi ‘hidup’ kepada ibu bapa dan memberi harapan baru kepada mereka yang mempunyai anak yang senasib dengan Baihaqi. Lebih daripada itu, ia sebuah kembara rohani sepasang suami isteri dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah demi mencari keredhaan Tuhan.

TESTIMONI

“Satu perkongsian pengalaman yang sangat bermakna buat seorang yang bernama ibu mahupun bapa Tahniah bukan hanya pada penerbitan bukunya tetapi juga kerana ketabahan melalui saat-saat genting demi nyawa seorang anak yang disayangi. Penulisan ini juga sebagai panduan bagi mereka yang menghadapi masalah yang sama.” – Tn Hj Ismail Ahmad, Pengarah Urusan HPA

“Gabungan pengalaman dan ilmu berdasarkan fakta … bukan sahaja sebagai panduan untuk mereka yang menghadapi ujian penyakit malah panduan bagaimana hubungan dalam keluarga, dengan saudara-mara dan sahabat-handai perlu berlangsung secara ikhlas.” – Siti Rugayah Hj. Tibek, pensyarah Jabatan Dakwah, Fakulti Pengajian Islam, UKM

“Buku ini bukan sekadar mengenai tumor di dalam kranium tetapi menjangkaui persoalan seluas atmosfera kehidupan. Bingkisan berharga bagi sesiapa yang mencari pahlawan dalam diri, semangat melawan kental, rahsia perawatan yang begitu unik, harga budi dan kasih sayang serta pergantungan mutlak pada Ilahi. Ia membenarkan: setiap sesuatu sentiasa punya pilihan ketiga yang infiniti!” – Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, perunding motivasi dan penulis buku U-Turn Ke Jalan Lurus dan R&R Di Lebuh Raya Kehidupan

“Sangat terkesan dengan jalan ceritanya. Amat menarik. Satu catatan pengalaman yang amat berharga. Wajib dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Kekentalan jiwa seorang ibu membawa kepada kekuatan. Walau dalam keadaan genting masih mampu membuat keputusan dengan tenang.” – Hasan Suyut, CEO Lotus West Engineering Sdn. Bhd. dan penulis buku Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah

“Kita tidak akan tahu sejauh mana kuatnya kita dalam menghadapi ujian hidup sehinggalah satu-satunya pilihan yang ada pada kita hanyalah untuk redha dan sabar dalam menerima qadha dan qadar Allah. Buku ini besar nilai tarbiahnya kerana ia memaparkan bagaimana pasangan suami isteri ini mengurus ujian hidup dengan jiwa tauhid.” Zabidi bin Mohamed, penulis skrip drama http://zabidiskrip.blogspot.com

%d bloggers like this: