Rombongan kami dari Kota Kinabalu yang berziarah ke Sandakan ini majoritinya bercerita hendak makan malam di Bandar Sim-Sim. Soal itu saya mendiamkan diri saja, mengikut kata kawan-kawan yang lain yang lebih tau tempat makan malam yang sedap di sini. Pemandu kami, saudara Achok rancak memandu sambil ditunjukkan oleh Hamsa yang memang berasal dari Sandakan ini.

Seronok bercerita dengan Hajjah Masati yang sudah bergelumang lebih 10 tahun mengusahakan ikan bakar di sini, walaupun sesekali sembang kami tergendala dan terputus-putus kerana mengatur pelanggan yang ramai malam itu. Beliau mempunyai 30 orang pekerja, sebahagian besar bergaji hari. Hajjah Masati menguntum senyum memberitahu kami, mereka menempah tidak kurang 180 kg ikan setiap hari bagi keperluan pelanggan mereka.

Merasai nikmat ikan bakar mereka malam itu memang berselera sekali. Menempah 4 potong pada pusingan pertama rupanya tidak cukup. Kami menempah lagi beberapa ekor ikan putih lengkap dengan cicah dan sambalnya sekali. Alhamdulillah. Selamat datang ke ‘Ikan Bakar Mama Resipi’.