Archive for 26 Mac 2012


Masjid yang kami singgahi untuk solat jamak zuhur dan asar di Pekan Telupid ini kelihatan comel sekali. Masjid hijau ini saya dimaklumkan bernilai sekitar RM200 ribu. Walaupun masjid ini berada jauh dari bandar utama seperti Kota Kinabalu dan Sandakan, saya berharap jamaah masjid ini tetap aktif sebagaimana namanya mengambil nama tokoh ulama’ yang hebat – Dr Yusuf al-Qaradhowi.

Masjid ini kelihatannya masih baru, mungkin baru sekitar setahun dua. Di perkarangan masjid ini masih dijalankan kerja-kerja menyimen dan di hujung kawasan masjid ini sedang dibina sebuah bangunan – mungkin sebuah rumah untuk keperluan masjid berkenaan. Hanya pada pandangan kami, lokasi masjid yang strategik ini patut lebih dipermudahkan dengan satu lorong/jalan dari jalan utama terus menuju ke masjid berkenaan (mungkin sudah dalam perancangan).

Saya berseloroh kepada rakan-rakan serombongan, kehadiran masjid ini atas nama ulama tersohor ini wajar dimaklumkan kepada empunya nama, siapa sangka nun jauh dari Mesir selaku negara asalnya atau Qatar selaku negara tempat beliau tinggal kini, ada sebuah masjid nun di daerah Telupid dalam Parlimen Beluran mengambil nama Dr Yusuf al-Qardhowi sebagai nama masjid ini. Saya kira beliau akan berbesar hati dan orang yang mencadangkan nama ini pula sangat berpandangan jauh!

Semoga daerah ini akan melahirkan tokoh-tokoh ulama’ hebat seperti beliau.

Rombongan kami dari Kota Kinabalu yang berziarah ke Sandakan ini majoritinya bercerita hendak makan malam di Bandar Sim-Sim. Soal itu saya mendiamkan diri saja, mengikut kata kawan-kawan yang lain yang lebih tau tempat makan malam yang sedap di sini. Pemandu kami, saudara Achok rancak memandu sambil ditunjukkan oleh Hamsa yang memang berasal dari Sandakan ini.

Seronok bercerita dengan Hajjah Masati yang sudah bergelumang lebih 10 tahun mengusahakan ikan bakar di sini, walaupun sesekali sembang kami tergendala dan terputus-putus kerana mengatur pelanggan yang ramai malam itu. Beliau mempunyai 30 orang pekerja, sebahagian besar bergaji hari. Hajjah Masati menguntum senyum memberitahu kami, mereka menempah tidak kurang 180 kg ikan setiap hari bagi keperluan pelanggan mereka.

Merasai nikmat ikan bakar mereka malam itu memang berselera sekali. Menempah 4 potong pada pusingan pertama rupanya tidak cukup. Kami menempah lagi beberapa ekor ikan putih lengkap dengan cicah dan sambalnya sekali. Alhamdulillah. Selamat datang ke ‘Ikan Bakar Mama Resipi’.

%d bloggers like this: