Khatib : Ustaz Tuan Mohd Redzuan Tuan Soh

Lokasi : Masjid Nurul Iman, Taman Pantai Lok Kawi, Kinarut

Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan memasuki syurga pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar. (Ali Imran : 142)

Ramai manusia hari ini menyangka mereka akan memasuki syurga dengan mudah tanpa sebarang usaha dan jasa terhadap agama. Mereka menyangka kehidupan mereka sebagai pewaris Agama Islam daripada nenek moyang mereka akan melayakkan mereka memasuki syurga tanpa sebarang masalah. Malah sebahagian dari manusia merasakan mereka akan terlepas dari azab Allah walaupun mereka melakukan berbagai dosa dan maksiat terhadap Allah malah mengharapkan pujian dan sanjungan terhadap segala perbuatan mereka walaupun hakikatnya perbuatan mereka sebenarnya lebih merosakkan agama Allah.

Jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang gembira dengan apa yang mereka kerjakan dan mereka suka agar dipuji perbuatan yang belum mereka lakukan, jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab dan bagi mereka azab yang pedih.

Perjuangan bukan sahaja diperlukan bagi mendapatkan kebahagiaan di akhirat malah diperlukan bagi mendapatkan kebahagiaan di dunia. 12 Februari tahun 2011 yang lalu telah mengukirkan sejarah hebat dimana tersungkurnya Hosni Mubarak, pemimpin diktator Mesir yang sekian lama menzalimi rakyatnya.

Ianya seolah-olah menjentik kembali kenangan silam dimana syahidnya pengasas gerakan Ikhwan Muslimin, Hasan Al-Banna pada 12 Februari 1949. Bezanya antara keduanya adalah, Hasan Al-Banna mendapat dokongan Umat Islam seluruh dunia sehingga syahid dengan meninggalkan nama yang harum di mata dunia, sedangkan Hosni Mubarak tersungkur dalam keadaan penuh kehinaan samada di mata dunia apatahlagi di mata rakyat jelata di negaranya.

Rakyat Mesir tidak akan merasai kebebasan jika mereka sentiasa mahu berada dalam zon selesa. Mereka akan terus berada dalam kemiskinan dan kelaparan jika tidak sanggup keluar menunjukkan perasaan mereka yang sekian lama tertekan. Mereka akan terus berada dalam ketakutan jika mereka tidak mahu berjuang melawan kekejaman.

Dalam melaksanakan tuntutan perjuangan ini, mereka terpaksa mengorbankan keselesaan sebahagian yang lain. Sebahagian dari peniaga terpaksa menutup perniagaan mereka. Sebahagian dari rakyat yang biasanya menggunakan jalanraya dengan selesa, terpaksa melupakan hak mereka bagi memberi laluan kepada perjuangan rakyat.