Sumber : http://www.islam.gov.my/perhimpunan-bulanan-kafa-negeri-sabah-tahun-2012

Bertempat di Sabah Oriental Hotel Kota Kinabalu, Unit KAFA, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah telah berjaya menghimpunkan hampir 400 orang yang terdiri daripada penyelia dan guru KAFA seluruh negeri ini bagi melaksanakan Perhimpunan Bulanan KAFA Negeri Sabah tahun 2012.

Objektif utama disebalik majlis perhimpunan bulanan yang dianjurkan bermula 17 hingga 18 Mac 2012 yang lepas ialah untuk melonjakkan semangat baru dikalangan penyelia dan guru KAFA negeri ini melalui sesi amanat misi dan visi pendidikan KAFA yang disampaikan oleh Pengarah JAKIM Cawangan Sabah sendiri. Yang kedua, meningkatkan motivasi kerja dalam terus menabur bakti kepada anak bangsa dan masyarakat di negeri Sabah, seterusnya merealisasikan peranan persatuan KAFA Negeri Sabah.

Antara program lain yang turut dilaksanakan ialah Mesyuarat Agung Persatuan KAFA Negeri Sabah Tahun 2012. Sesi cadangan calon dan lantikan Pengerusi Persatuan KAFA Negeri Sabah serta pelbagai idea kreatif cetusan dari hadirin yang hadir telah merancakkan mesyuarat agung tersebut. Secara keseluruhannya, majoriti peserta yang hadir pada program berkenaan memberikan respond dan komitmen yang sangat baik.

Majlis perasmian perhimpunan bulanan berkenaan telah disempurnakan sendiri oleh Y.Bhg. Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah bertempat di Sabah Oriental Hotel Kota Kinabalu. Turut hadir ialah Hjh. Noordianah binti Haji Alwi, Penolong Pengarah Unit KAFA, JAKIM Cawangan Sabah.