Archive for 22 Mac 2012


Nik Nasri Nik Malek

Hari ini (22 Mac 2012) genap 8 tahun perginya Sheikh Ahmad Yaasin sebagai seorang syahid. Secara ringkas, kita mengambil 8 iktibar dari kesyahidannya :

1. Kematian adalah satu kemestian. Semua yang hidup akan mati. Kubur sebagai tempat persinggahan dan laluan ke akhirat adalah pasti. Soalnya, mati itu bagaimana? Ada yang mati sebagai pemimpin zalim yang dibenci. Ada yang mati sebagai selebriti yang ditangisi tetapi hakikatnya ia menangisi dirinya sendiri. Ada yang mati sebagai hamba Allah yang sejati. Dan ada yang syahid, rohnya riang gembira di syurga  walaupun jasadnya berderai merata dan darahnya memenuhi bumi. Assyahid Sheikh Ahmad Yaasin meninggal hari Isnin dalam keadaan berpuasa, awal subuh dinihari.

2. Jika Allah menyayangi anda, Allah akan memberikan husnulkhatimah buat anda. Tiada kesudahan paling baik melainkan mati syahid. Kurang sedikit, mati dalam situasi taatkan Allah secara umum.

3. Kasih sebenar Sheikh Ahmad Yaasin adalah kepada Allah, NabiNya dan Islam. Allah menjadikan kematiannya sebagai suatu yang besar. Lebih 200 ribu mengiringi jenazahnya. Umat Islam seluruh dunia bercerita tentang kematiannya. Majlis Keselamatan PBB mengutuk pembunuhannya. Kerajaan Arab juga demikian. Eropah juga tidak berkecuali bercakap mengenainya. Sheikh Ahmad Yaasin bukannya menteri, tidak juga raja atau pembesar tetapi ketokohannya sebagai pemimpin Islam menjadikan kawan dan lawan memandang hebat kepadanya.

4. Permusuhan dan pertembungan kita dengan Yahudi yang memusuhi kita, regim Zionis dan semua proksi mereka adalah berterusan sekalipun pelbagai perjanjian ditandatangani, pelbagai persidangan dan seminar dilihat di tv dan pelbagai kata manis dari Amerika dan Eropah dijanji.

5. Sekalipun umat Islam lemah, hanya melihat pemimpin gerakan Islam mereka dibunuh, atau hanya mampu berdemonstrasi menyatakan kebencian kepada musuh, namun untuk menyerah kalah, menggadaikan prinsip perjuangan, mengiakan segala perjanjian zalim dengan regim yang zalim tidak sekali.

6. Untuk menggerakkan ummah, tidak perlu kelayakan akademik yang tinggi-PhD, MA, BA atau jawatan-jawatan yang hebat. Bacalah kelayakan akademik As-syahid Sheikh Ahmad Yaasin yang sederhana sahaja.

7.  Peranan musuh dalam selimut sangat bahaya. Tidak mungkin Sheikh Ahmad Yaasin boleh dibunuh sedemikian rupa seperti pemimpin Palestin yang lain, kalau tidak dengan kerjasama dan maklumat dari ‘orang dalam’ atau dari kalangan munafiq dalam masyarakat Islam itu sendiri.

8. Perjuangan Islam tidak terhenti dengan syahid dan matinya pemimpin. Rasulullah SAW wafat, para sahabat meninggal, para ulama dan pejuang Islam terdahulu telah menunaikan janji masing-masing dengan Allah. Nabi SAW memberi khabar gembira dengan adanya umat ini yang terus melangsungkan perjuangan menegakkan Islam sehingga berlaku antara 2 ketentuan-menang atau syahid.

Penulis ialah Ketua Lajnah Penerbitan Dan Penyelidikan Dewan Ulama PAS Terengganu.

Tajuk asal : Saydatina Sofiyyah, Isteri Nabi Berbangsa Yahudi

Sumber : http://tarbawi.my/

Sofiyyah binti Huyay, merupakan salah seorang isteri Baginda Nabi S.A.W yang berbangsa Yahudi. Nama lengkapnya Sofiyyah binti Huyay bin Akhtab bin Sa’yah bin Amir bin Ubaid bin Kaab bin al Khazraj bin Habib bin Nadhir bin al Kham bin Yakhurn [rujuk Siyar A’lam an Nubala’, jil.2, hlmn. 231]. Ayahnya Huyay bin Akhtab merupakan pemimpin terbesar kaum Yahudi. Apabila Islam memenangi peperangan Khaibar pada tahun ke-7 hijrah, Sofiyyah termasuk salah seorang tawanan perang.

Lalu bila berita penawanan puteri Huyay bin Akhtab sampai, Rasulullah S.A.W memberikan tawaran kepadanya sama ada mahu memilih Islam dan dinikahi oleh Baginda atau tetap beragama Yahudi dan dibebaskan. Lalu Sofiyyah memilih untuk memeluk Islam dan menjadi isteri Baginda S.A.W. Sebelum ini, Sofiyyah pernah menjanda dengan dua orang lelaki keturunan Yahudi iaitu Sallam bin Musykam dan Kinanah bin Rabi’ yang mati di dalam perang Khaibar.

Apabila Baginda Nabi S.A.W memutuskan untuk mengahwini Sofiyyah, para sahabat merasa cemas kerana ayahnya yang bernama Huyay bin Akhtab itu adalah antara pemimpin utama kaum Yahudi yang sangat membenci Nabi, termasuklah Kinanah iaitu suaminya yang mati dalam pertempuran Khaibar. Jadi, mana mungkin Baginda S.A.W boleh merasa aman berkahwin dengan wanita Yahudi yang sejarah hidupnya begitu?

Namun, perkahwinan itu tetap menjadi pilihan Baginda S.A.W yang mengharapkan agar perkahwinan itu dapat membuka mata kaum Yahudi bahawa Islam adalah agama Allah yang menembusi sempadan kaum dan bangsa. Malah dalam kitab-kitab “Sirah Rasul”, semuanya sependapat bahawa cinta Sofiyah kepada Rasulullah S.A.W adalah cinta yang murni sehingga menyebabkan hidup Sofiyyah sering bertemankan air mata dek kecemburuan isteri-isteri Baginda. Manakala kecintaan Rasulullah S.A.W kepada Sofiyyah juga terbukti apabila Baginda sering menangkis perbuatan orang yang mencemuh Sofiyyah.

Ketika Sofiyyah mengadu kesedihannya kerana sering diejek atas nama keturunan dan bangsanya Yahudi, Baginda S.A.W mengajari Sofiyyah agar menjawab, “Bagaimana kamu (yang mengejekku) dapat mengatasi kemuliaan keturunanku, ayahku dari keturunan Nabi Harun, saudara lelakiku dari keturunan Nabi Musa, dan suamiku pula adalah Nabi Muhammad S.A.W”.

Mengikut riwayat Ibnu Ishaq pula diceritakan, Sofiyyah pernah mendapat petanda dari mimpinya akan dipinang Nabi Muhammad S.A.W. Sofiyyah bermimpi bulan jatuh ke biliknnya dan setelah tafsiran mimpi itu diceritakan kepada suaminya Kinanah, Kinanah terus menampar Sofiyyah sehingga lebam, “Kamu inginkan Raja Yathrib (Madinah) itu?”, tengking Kinanah kepada Sofiyyah.

Ketika Nabi S.A.W sakit, Sofiyyah menunjukkan keprihatinannya di sisi Nabi dengan berkata, “Aku ingin menanggung derita kekanda…”. Hal itu menyebabkan isteri-isteri Nabi menjuihkan bibir mereka. Begitupun Baginda S.A.W meraikan kecemburuan isteri-isterinyaa sebagai suatu lumrah manusia yang tidak dapat dielak. Begitulah Saidatina Sofiyyah, isteri RasuliLlah yang berbangsa Yahudi mengakhiri hidupnya sebagai seorang Muslimah. Beliau meninggal dunia tatkala dirinya berumur sekitar 50 tahun, iaitu ketika pemerintahan Mu’awiyah R.A berlangsung.

Wallahua’alam.

%d bloggers like this: