Dia anak murid isteri saya ketika dia bersekolah di Pusat Pendidikan Islam an-Nur. Berumur 14 tahun, anak ini terlantar di rumah sejak beberapa bulan lalu kerana  menderita sakit ketumbuhan dalam otak. Saya dimaklumkan oleh Cikgu Nik Shuhaimi akan masalah keluarga ini kepada saya, dan saya sangat berminat untuk menziarahi mereka sekeluarga.

Pada 10 Mac lalu, saya bersama Tuan Haji Pozi dan Cikgu Nik Shuhaimi sekeluarga ke rumah mereka di Sri Gaya. Sayu hati kami melihat keadaan anak ini. Saya dikhabarkan dia seorang yang ceria dan kini hanya terbaring dan sekadar boleh bergolek ke kanan dan kiri di katilnya di ruang tamu rumah.

Ayah anak ini menunjukkan kami buku bertajuk ‘anakku brain tomour’ tulisan Ustazah Isyah isteri Che Amran ‘Raihan’ yang menceritakan penyakit ketumbuhan dalam otak yang dihadapi oleh anak mereka. Kebetulan kes ini sama dengan apa yang berlaku terhadap anak yang kami ziarahi ini, hanya berbeza dari segi umur saja.

Saya teringat dengan nasihat ikhlas Tuan Haji Pozi agar keluarga ini meningkatkan munajat kepada Allah SWT khususnya sepertiga malam yang akhir. Selain itu turut dinasihatkan agar mereka mencari rawatan alternatif yang sesuai dengan tuntutan ajaran Islam, kerana apabila manusia yang jahil menghadapi musibah, kebiasaannya mereka akan menerima apa saja bantuan orang lain walaupun barangkali bertentangan dengan prinsip Islam.

Doa rakan-rakan pelayar blog ini untuk kesihatan anak yang saya maksudkan di atas sangat-sangatlah diharapkan.