Archive for 16 Mac 2012


CIKGU HASHIM HARUN

Beliau seorang guru yang saya hormati.

Berasal dari Perak, beliau sudah dua kali bertugas di Sabah. Saya menghormati dan tabik atas keterlibatan beliau dalam gerakan Islam satu ketika dahulu di Tanjung Karang Selangor sehingga khabarnya menjadi asbab beliau dipindahkan kali kedua ke Sabah.  Saya dimaklumkan kali pertama beliau datang pada tahun 1986 sehingga 1990 dan kali kedua datang pada 2004 hingga kini.

Walaupun sama-sama duduk di sekitar Kota Kinabalu, sudah lama juga saya tidak bertemu beliau. Mungkin sudah lebih setahun. Dahulu rumah beliau di Taman Sempelang antara yang saya kunjungi ketika sambutan hari raya. Saya kira kami antara yang sering mendapat undangan beliau khususnya pada hari raya pertama. Beliau juga antara aktivis dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah, khususnya apabila kami mengadakan aktiviti kursus ‘Pemantapan Aqidah’ di daerah-daerah seperti Ranau, Sipitang dan lain-lain.

Selesai solat jumaat di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan siang tadi, secara tidak sengaja kami terjumpa dan duduk bersembang sebentar. Beliau kelihatan semakin kurus. Katanya, pernah beberapa bulan tidak lama dahulu beliau terlantar sakit dan kini baru beransur sihat. Saya doakan beliau sihat sepenuhnya dan seterusnya kembali ke medan sebagai aktivis dakwah seperti dahulu.

 

Khatib : Ustaz Jasimin Mohd Rashid

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Berdasarkan iktikad al-Sunnah wa al-Jama’ah, setiap manusia akan berada di dalam satu alam yang dinamakan alam Barzakh. Ia terletak di antara alam dunia dan alam akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati sehingga dibangkitkan. Alam Barzakh juga tempat permulaan manusia di hukum segala amalannya di dunia.

Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran siksaan kubur di alam barzakh. Sebaik sahaja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengkebumikan dan dalam perjalanan pulang ke rumah maka dalam suasana yang gelap gelita dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah.

Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh serta ketakwaan yang unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, maka alam barzakh adalah episod ngeri yang dipenuhi gelombang azab sengsara hingga datangnya hari kiamat. Mereka berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras).” (Riwayat al-Tirmizi).

Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi pernah berkata, “setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan.”

Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang akan berakhir di alam kubur. Seorang ulama al-Rifa’i pernah berkata: “ Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali alam kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali buat selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan, dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya fasih bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula pernah berkata kepada beberapa orang rakannya di dalam satu majlis, “Wahai fulan, engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang alam kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu keadaan sebenarnya dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya .”

Ketika khalifah Umar mengiringi jenazah sahabatnya lalu kubur memanggilnya dan bertanya, “ Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukah aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan terhadap jenazah yang kau cintai ini? Ya jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya. Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Tentu jawab Umar.

Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya.aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya. Khalifah Umar menangis dan berkata.” Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Yang muda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku dan bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang diturunkan oleh tuhanku.

%d bloggers like this: