Di Sabah, tempat yang namanya R&R (rehat dan rawat) tidak banyak seperti di Semenanjung khususnya di sepanjang lebuhraya. Ada satu di Sindumin, Sipitang yang saya ketahui (tetapi entah sudah beroperasi atau belum?) dan satu di Membakut.  Kalau tidak salah juga ada di sebelah Sandakan.

Lokasi R&R juga biasanya strategik dan memudahkan orang awam untuk makan minum, membeli belah seperti aksesori dan buah-buahan, solat, urusan di tandas dan seumpamanya. Permusafiran di sepanjang lebuh raya, jika di semenanjung bertemu dengan R&R akan memudahkan urusan solat umat Islam yang ingin menunaikannya di perjalanan.

Perjalanan antara Putatan ke Sipitang contohnya, hanya bertemu dengan beberapa buah masjid atau surau di tepi jalan seperti Masjid Kimanis, Masjid Bongawan, Masjid Pekan Sipitang dan beberapa masjid lain. Sebenarnya banyak masjid dan surau di perjalanan itu tetapi semuanya perlu ke dalam sedikit. Begitu juga perjalanan dari Penampang hingga ke Tambunan hanya ada satu surau di hentian Gunung Emas.

Maka stesen minyak petronas yang memang berada di tepi jalan telah melakukan satu tindakan yang betul apabila mereka mengadakan surau di semua premisnya. Beberapa tahun lalu, kerajaan negeri Sabah pernah memberi anugerah khas sempena Maal Hijrah kepada Petronas kerana usaha mereka menyediakan surau di seluruh premis mereka.

Walau kecil muat 2-4 orang sahaja, ia sangat memudahkan pergerakan orang yang ingin menunaikan solat. Saya suka sekali mempromosi surau petronas Papar yang begitu comel dan kemas. Lengkap kemudahan asas ruang wudhu, kain pelikat, telekung, sajadah dan selipar. Tahniah kepada pengurusan dan staf stesen minyak ini.