KUALA LUMPUR, 14 Mac: Apabila kerajaan menganggap kuasa yang dimiliki mereka sebagai peluang melakukan apa sahaja dan bukan amanah yang perlu dijaga, maka akan berlakulah segala kepincangan dalam pentadbiran negara. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Umno BN perlu menyedari bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar setelah dipilih rakyat melalui pilihan raya.

“Tanggungjawab menjadi kerajaan adalah amanah. Bila diberi peluang menjadi kerajaan bukan bermakna boleh melakukan apa sahaja. Apabila ada sikap mahu melakukan apa sahaja, berlakulah kecelaruan dan penyelewengan. Konsep memilih pemimpin juga adalah amanah terbesar. Rakyat yang menyertai pilihan raya pun menjalankan amanah,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan yang tidak menjaga amanah yang diberi menyebabkan wang rakyat termasuk zakat diseleweng untuk kepentingan mereka.

“Ibadat zakat sebagai contoh, sepatutnya orang yang mengendalikan wang zakat mengendalikan urusan bagaimana zakat itu sampai kepada sasaran, bagaimana zakat menyelesaikan kemiskinan. Bukan wang zakat dilaburkan untuk dapat untung sebanyak-banyaknya dan tak turun kepada sasaran. Bila zakat dijadikan modal untuk persaingan dalam perniagaan bukan menunaikan tanggungjawab, maka berlakulah pelbagai penyelewengan,” katanya.

Tambahnya, sikap kerajaan yang mengambil kesempatan di atas kuasa yang ada juga menyebabkan kebajikan rakyat diiketepikan.

“Ini  termasuklah duit KWSP, Tabung Haji disonglap, diambil di tengah jalan. Ini kerana kerajaan menganggap menjadi pemimpin adalah peluang, bukan untuk menunaikan amanah termasuk tabung haji sebagai contoh. Tabung haji pada awalnya ditubuhkan untuk memberi khidmat untuk orang menunaikan haji. Tapi jadi perniagaan. Khidmat tabung haji tak banyak, lebih besar untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Menyentuh mengenai pilihan raya  pula, beliau berkata penggunaan dakwat kekal sahaja belum menjamin pilihan raya yang bersih. Katanya, selagi elemen-elemen lain tidak diperbaiki, pilihan raya tidak akan memenuhi prinsip demokrasi.

“Penggunaan dakwat kekal sahaja tidak menjamin pilihan raya yang adil. Selagi ada undi pos, pengundi yang meragukan, media yang tidak adil, selagi itulah pilihan raya tidak boleh dianggap bersih,” katanya.