Hari lahir anak ke-2 dan anak ke-4, Hana Sumayyah dan Lu’lu’ Badriyyah jatuh pada hari yang sama iaitu 12 Mac. Hana Sumayyah dilahirkan tepat hari pertama Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu menutup wad bersalin sepenuhnya dan dipindahkan ke Hospital Ibu dan Kanak-Kanak, Likas. Sementara Lu’lu’ Badriyyah dilahirkan 4 hari selepas pilihanraya umum ke-12 yang berlangsung pada 8 mac 2008.

Tahun ini 12 mac jatuh pada hari isnin dan kami awalkan sehari sambutannya pada petang ahad secara sederhana dengan dihadiri oleh sepupu-sepupunya dan anak-anak jiran khususnya yang mengaji al-Quran di rumah kami. Sekadarnya untuk menggembirakan hati anak-anak, apatah lagi saya banyak masa di luar.

Tahun ini Lu’lu’ Badriyyah sudah bersekolah di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Taman Pasir Putih Putatan untuk kelas 4 tahun sementara Hana Sumayyah sudah masuk darjah 1 di SK Kem Lok Kawi dan darjah 2 sekolah agama di Pusat Pendidikan Islam an-Nur Taman Austral. Doakan anak-anak kami dan kita semua soleh dan solehah. Amin.