Archive for 13 Mac 2012


Sumber : http://abdnaddin.blogspot.com/

SETIAP kali berkunjung ke kampung-kampung dan melewati bangunan sekolah-sekolah agama di negeri ini, saya segera teringat ucapan Ustaz Hamdani Omar. Ucapan itu disampaikannya dalam satu majlis di Hotel Promenade, kira-kira tiga tahun yang lalu. Bukan saja isinya, tetapi yang lebih menarik ialah kerana ucapan itu sendiri disampaikan diselangi gurindam.

Ketika itu, beliau mewakili kira-kira 700 guru Sekolah Agama Negeri (SAN) dulunya Sekolah Ugama Islam (SUI) dan Sekolah Agama Rakyat dari seluruh Sabah yang berhimpun untuk sambutan Hari Guri JHEAINS Peringkat Negeri. Ramai ustaz dan ustazah yang menghadirinya. Ucapan Ustaz Hamdani itu melekat dalam ingatan saya, mungkin kerana perkara yang disampaikannya itu, saya fikir masih lagi relevan.

Saya mengenalinya, walaupun tidak begitu rapat, dan pernah beberapa kali dengan beliau tetapi pada saya, ucapan yang disampaikannya pada hari itu, sungguhpun diselitkan gurindam amat memerlukan perhatian pihak kerajaan. Ketika melukiskan keadaan sekolah agama di negeri ini,yang serba kekurangan, Ustaz Hamdani berkata halangan dan kekangan yang dihadapi pihak sekolah bukanlah sedikit di sebalik harapan ibubapa yang menggunung. Katanya, kemampuan guru agak terbatas.

“Koleh kami sedepa, halangan kami selaut, telapak kami pendayung, harapan tuan segunung”, katanya. Selain itu, Hamdani juga menceritakan mengenai permasalahan pelajar, prasarana yang tidak mencukupi, bangunan yang semakin uzur dan sebagainya. Keadaan fizikal kebanyakan sekolah agama, katanya; “condong ke datar tanah, meja yang kurang, kursi yang hampir patah.”

“Bilangan guru yang makin pupus, tilam bantal kusam”, tambahnya lagi.

Walaubagaimanapun, kata Hamdani, kita harus menghadapi pelbagai cabaran untuk terus cemerlang, melaksanakan yang terbaik bak kata pepatah “umpama memiliki beras segenggam bagi menjamu jiran sekampung”. Seterusnya beliau meminta; “maaf jika ketidakselesaan ketika ke sekolah kami, yang rimbun dengan rumput, yang lusuh pudar warna, yang padat lagi sendat, pintu tak berdaun, tingkap tak berkelopak, taman tak berbunga, halaman tanah merah, tempat riadah sekangkang kera.

Jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah lain yang serba lengkap, pencapaian sekolah agama juga agak memuaskan dan setanding dengan sekolah lain. Oleh sebab itu, kerajaan hendaklah memberikan perhatian terhadap kekurangan tenaga pengajar, dan kekurangan dana yang dihadapi sekolah. Kerajaan perlu menyediakan peruntukan kerana; “masih ada lagi sekolah menengah agama yang menumpang, dan sekolah rendah yang makin uzur”.

Keadaan sekolah agama, dan guru-gurunya, seperti yang dilukiskan oleh Ustaz Hamdani itu memerlukan perhatian pihak kerajaan. Dalam setiap kunjungan saya, ke kampung-kampung di seluruh negeri, saya seringkali menemui perkara itu. Prasarana yang tidak mencukupi, sekolah yang fizikalnya uzur, guru yang yang tidak mencukupi, dan sebagainya. Walaupun begitu, masih banyak juga sekolah agama yang mencatatkan kecemerlangan dalam pelajaran. Pencapaian mereka boleh ditingkatkan lagi sekiranya semua keperluan mereka dilengkapi.

Dalam Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak lama dulu, beliau mengumumkan peruntukan berjumlah RM100 juta untuk sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan di seluruh negara. Kita berharap, peruntukan itu juga dapat dinikmati oleh sekolah-sekolah agama di negeri Sabah. sekolah-sekolah agama di Sabah, baik yang berada di bawah kelolaaan JHEAINS atau sekolah agama rakyat, masih memerlukan bantuan agar prasarana yang ada dapat ditingkatkan demi kepentingan pelajar.

Jika sekolah-sekolah agama mendapat bantuan yang diperlukan, ia akan memberikan suasana pembelajaran yang lebih selesa kepada para pelajar selain dapat meringankan bebanan guru melalui bayaran gaji dan elaun. Koleh kami sedepa, halangan kami selaut, saya teringat kata-kata Ustaz Hamdani. Semoga Allah merahmatinya. Tapi katanya, telapak kami pendayung, harapan tuan segunung. Sungguh mengesankan kata-katanya itu, dan kita harus memikirkan dan menaakulnya bersama-sama.

Kami sekeluarga merakamkan tahniah kepada Dayang Asnizah Haji Ismail dan Muharman Olang yang selamat disatukan. Sebenarnya mereka telah selamat dinikahkan pada 10 Februari 2012 lepas, dan pada ahad lepas adalah kenduri majlis perkahwinan mereka. Tuan Haji Ismail sekeluarga adalah termasuk keluarga besar kami yang tinggal di Kg Andus Papar, hanya saya kurang maklum daripada segi salsilah keluarga.

Saya rasa berbesar hati, setiap kali kenduri kendara beliau ada mengundang saya datang walaupun tidak semua saya dapat penuhi.  Kenduri baru ini, saya terlambat datang. Tetapi anak-anak beliau dan seangkatannya kesemuanya mengalu-alukan ketibaan saya. Majlis sudah selesai sebenarnya, tetapi mereka semua berkumpul kembali untuk sesi fotografi keluarga besar mereka.

Buat Dang Nijah dan Muharman, selamat menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Semoga Allah SWT memberkati kehidupan kalian berdua dan berkekalan sehingga ke syurga. Ada masa, datanglah ke rumah. 🙂

%d bloggers like this: