Foto terakhir Raynold sebelum dibawa ke hospital
Kali terakhir kami bertemu dengan Raynold ialah pada 11 Februari 2012, ketika kami berziarah ke lokasi tempat tidur mereka dekat Dewan Masyarakat Kota Kinabalu. Linda memaklumkan kami situasi Raynold yang agak teruk. Punggungnya berdarah, matanya mulai kuning, dia tidak boleh bangun berjalan, hanya sekadar duduk di himpunan batu bata yang menjadi tempat pembaringannya.
Untuk rekod, Raynold seorang muslim berumur 34 tahun berasal dari Kota Belud adalah penghidap HIV sejak 8 tahun lalu dan sudah menginap di sini 6 tahun lalu. Raynold pernah mengaku kepada kami dia satu ketika dahulu adalah penagih dadah dan berkongsi jarum suntikan dengan kawan-kawannya. Awal perkenalan kami, dia masih berjalan untuk jarak yang sederhana, tetapi akhir-akhir ini dia semakin tidak larat berjalan. Perjalanan sejauh 100 meter beliau kena berhenti 3 kali kerana keletihan.
Pada malam itu – 11 Februari – kami mengambil keputusan memanggil van ambulan untuk menahan Raynold kerana melihat keadaannya yang agak menyedihkan. Jam 1.30 pagi 12 Februari van ambulan dengan skuadnya mengambil Raynold di lokasi yang dimaksudkan dan membawanya ke Hospital Lingzi seperti yang kami dimaklumkan. Itulah pertemuan kami yang terakhir kerana kami tidak dapat menziarahi beliau di wad hospital. Kami tidak tahu langsung perkembangannya sehinggalah 2 malam lepas.
Linda, salah seorang penghuni memaklumkan bahawa Raynold sudah kembali kerahmatullah pada 15 Februari lalu, iaitu kira-kira 4 hari selepas pertemuan kami yang terakhir. Itu pun hampir sebulan, janazahnya tidak dituntut kerana sebab yang kami tidak ketahui. Baru beberapa hari lepas janazahnya dibawa balik ke Kota Belud dan diuruskan secara Islam.
Sesuatu yang saya akan ingati ialah pada akhir hayatnya Raynold pernah meminta kain bersih untuk beliau cuba sembahyang. Pernah juga kami melihat beliau membaca sebuah buku berkaitan sembahyang. Semoga keluarganya memaafkannya dan Allah mengampunkan dosa-dosanya.
Foto bawah ialah antara tempat Raynold melelapkan mata selama 6 tahun.