Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Firman Allah (bermaksud) : “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan meghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka akan masuk syurga dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun” (Maryam : 59-60).

Walaupun ayat-ayat ini berkaitan dengan peristiwa yang berlaku kepada zuriat Nabi Adam AS selepas kewafatan baginda, begitu juga zuriat Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Nabi Yaakub AS selepas kewafatan mereka, yang mana selepas berlalu masa yang lama zuriat-zuriat mereka itu menjadi lalai dan leka, bermula dengan meninggalkan solat diikuti dengan mengikuti hawa nafsu dan selepas itu mereka mengikut ajaran sesat, akhirnya menghumbankan diri mereka ke dalam neraka.

Para ulama’ menyatakan ayat ini berkait juga dengan umat Nabi Muhammad SAW setelah berlalunya masa, ada dalam kalangan umat Muhammad SAW sendiri yang alpa dalam menunaikan solat mereka, juga menerima nasib yang sama melainkan mereka bertaubat dan beramal soleh, mereka diselamatkan Allah SWT. Sebab itu Allah mengingatkan umat Muhammad SAW supaya mereka menjaga solat yang diwajibkan serta menjadi tiang agama. Apabila tiang itu dipatahkan, maka agama akan dirosakkan sedikit demi sedikit.

Allah SWT juga menyifatkan sebuah kerajaan Islam yang sebenar adalah kerajaan yang mendirikan solat, bukannya mendirikan masjid sebagai hiasan. Firman Allah (bermaksud) :

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat baik serta melarang berbuat mungkar, (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan” (al-Hajj : 41)

Sepanjang hari dalam kehidupan, Allah SWT hanya memerintahkan kita menghadapnya lima kali sahaja setiap hari. Adakah dalam masa yang pendek ini kita menjadi liar dan malas untuk menghadap Allah SWT? Orang yag meninggalkan solat ini sangat besar dosanya. Kita juga melihat amalan meninggalkan solat dalam hidup masyarakat hari ini sudah menjadi perkara biasa. Ibu bapa hanya memerhatikan perkara makan minum dan pakaian sahaja. Jika sekadar itu maka tidak ada bezanya dengan memelihara binatang ternakan. Jika menjaga anak sama seperti menjaga haiwan ternakan, maka kita tidak melaksanakan tuntutan yang sebenar.