Archive for 9 Mac 2012


Malam berkenaan, saya menangguhkan kuliah mingguan di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral kerana ingin bersama-sama dalam Majlis Dakwah Bersama Ulama’ di Masjid Negeri Sabah bersama al-Habib Idrus bin Salim al-Jufri, pimpinan majlis ta’lim dan zikir al-khairat Jakarta dan pemimpin Pasantren Pemuda al-Khairat, Palu Sulawesi Indonesia.

Majlis bersama al-Habib Idrus keseluruhannya malam khamis lepas di Masjid Negeri Sabah menjurus kepada mencintai Rasulullah SAW. Beliau menjelaskan dalil dalil dan saranan yang mewajibkan kita mencintai Rasulullah SAW. Kata al-Habib memberi contoh tentang perintah bersolawat, Allah SWT sendiri dan para malaikat bersolawat kepada Rasulullah SAW, berbeza dengan perintah sujud hormat kepada Adam yang hanya diperintahkan kepada para malaikat.

Terdahulu, majlis yang bermula selepas solat maghrib itu dimulakan dengan bacaan qasidah dan maulid bersama kira-kira 400 jamaah yang hadir. Majlis berkenaan yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Bugis Sabah dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Majlis yang sama juga diadakan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (8 Mac) dan Masjid Pekan Ranau (9 Mac).

Pagi selasa saya dihubungi oleh Puan Lisa, seorang pegawai sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu. Mereka menemui jenglot, dakwa mereka di sebuah bilik yang sudah beberapa bulan dikosongkan untuk kerja-kerja pembaikan. Saya jawab, akan menghubungi mereka semula kerana ingin bertanya terlebih dahulu pendapat kawan-kawan lain. Malangnya kerana kesibukan, saya terlupa langsung sehingga mereka menghubungi saya  semula pada pagi rabu.

Saya solat zuhur di Masjid Negeri Sabah dan sekitar jam 2, saya bergerak ke hotel berkenaan bersama-sama Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, sementara Tuan Haji Pozi, Abdul Hamid dan Ustaz Nazri Yakob masing-masing datang sendiri. Kehadiran kami disambut oleh bahagian keselamatan hotel berkenaan, saudara Mazlan. Kelihatannya warga hotel berkenaan ramai yang maklum juga berkenaan penemuan jenglot tersebut.

Kami difahamkan sejak awal penemuan jenglot berkenaan, pihak pengurusan hotel kebingungan hendak melakukan apa-apa tindakan. Khabarnya Puan Lisa menghubungi seorang sahabat kami dan sahabat kami ini pula memaklumkan kepada kami akan masalah hotel berkenaan. Kami kira, pihak pengurusan bertindak bijak mencari pihak yang berkelayakan untuk menyelesaikan isu jenglot mereka. Saya bimbang jika tersalah percaturan, mereka mencari bomoh-bomoh atau pawang-pawang untuk menyelesaikan masalah mereka.

Ustaz Muchlish kata, memang benda ini asalnya adalah alat untuk melakukan sihir. Pengamalnya biasanya akan menjampi dengan serapah-serapah tertentu dengan tujuan menyihir mangsa mereka. Satu segi lagi ‘makhluk’ ini juga selalu dimiliki oleh peminat-peminat aksesori patung sebagai koleksi peribadi mereka, kata Hamid. Keputusannya, kami bawa balik untuk sebagai bahan ‘alat bantu mengajar’ sekiranya ada sebarang kuliah atau ceramah berkenaan tajuk sihir dan seumpamanya.

%d bloggers like this: